Sunday 27 March 2011

cinta yang lebih indah : bahagian II



aku pernah bicara tentang setiap orang yang punya definisi cinta berbeza itu. Tapi aku tahu, dan sentiasa mahu ingatkan hati itu, tiada cinta yang lebih agung selain cinta kepada Tuhan yang satu. Dan selayaknya sebagai hamba, cinta kita hanya untuk Dia, bukan pada manusia atau harta. InshaAllah.

Mengapa kita bercinta? Atau mengapa kita rasa perlu dicintai? memetik kata Burhan Sodiq dalam karyanya, beliau  mengatakan ada tiga sebab manusia itu jatuh cinta.

-Pertama, kerana Allah memberi fitrah kepada manusia untuk mencintai keindahan sehingga kita mudah kagum dengan dan kecantikan yang nampak pada zahir. Allah memang menciptakan keindahan kerana Allah itu indah dan mencintai keindahan.

-Kedua, kerana manusia cenderung dengan sifat lemah dan tidak berdaya. Oleh itu manusia akan mencari seseorang atau sesuatu yang dapat memberi kekuatan, keperkasaan dan kegagahan.

-Ketiga, kerana sifat manusia cenderung memerlukan orang lain. Tidak berdaya hidup sendirian sehingga rasa memerlukan itu akan menimbulkan rasa sayang, rasa untuk tidak menyakiti, lantaran dia atau mereka itu adalah orang yang kita perlukan.

Al Imran: 14 " Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta dari emas dan perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang sebaiknya (syurga)"


Dalam Islam terdapat peringkat-peringkat cinta, siapa yang harus didahulukan dan siapa pula yang harus diutamakan dan siapa pula yang harus diakhirkan.

Pertama, yang juga peringkat paling tinggi dan utama adalah tatayyum, iaitu cinta kepada Allah, yang merupakan hak Allah semata. Kedudukan-Nya tidak boleh diletakkan kedua atau ketiga. Ungkapan " kau selalu di hatiku, ku sebutkan namamu dalam setiap detik jantungku" cintaku hanya untukmu' selayaknya ditujukan hanya kepada Allah, kerana Dia yang telah memberi rahmat kepada kita sejak dari dalam rahim ibu itu.

Al Baqarah: 165 " Bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya"


Peringkat kedua, 'isyk yang hanya milik Rasulullah s.a.w. Cinta yang melahirkan sikap hormat, patuh, ingin selalu membelanya, ingin mengikutinya, mencontohinya tapi bukan untuk menghambakan diri kepadanya. Kita rindu kepada baginda kerana kemuliaan yang ada pada Rasulullah dan kita mencuba untuk mencontohinya dalam setiap aspek kehidupan itu.  Demikian juga membela sunnah-sunnahnya bila sunnahnya diinjak-injak orang lain.

Al Imran: 31 " Katakanlah jika kalian cinta kepada Allah, maka ikutilah aku Rasulullah, maka Allah mencintai kalian dan mengampuni dosa-dosa kalian"


Subhanallah, besarnya nikmat cinta kepada Rasul itu. Alangkah indahnya jika manusia memahami cinta kepada Rasul itu. Dan aku sendiri, sentiasa cuba untuk mengingatkan diri, cinta kepada Allah dan Rasul itu harus tersemat kuat dalam hati, semoga menjadi kekuatan untuk menegakkan agama Allah di muka bumi. InshaAllah :)

Peringkat ketiga, syauq iaitu cinta antara mukmin dan mukmin yang lainnya. Antara suami isteri, ibu bapa dan anak-anak yang membuahkan rasa mawaddah wa rahmah. Cinta suami yang sepenuhnya kepada isterinya, cinta ayah kepada anaknya. Walau ada kalanya timbul perselisihan,  akan mudah diselesaikan kerana aspek cinta mereka yang begitu besar. Cinta ayah kepada keluarga, yang sanggup berkorban harta, jiwa dan raga untuk kebahagiaan rumah tangganya. Subhanallah.

Peringkat keempat, shababah iaitu cinta sesama muslim yang melahirkan ukhuwwah islamiah. Cinta yang menuntut kesabaran untuk menerima perbezaan dan melihatnya sebagai sebuah hikmah yang berharga. Misalnya berbeza cara gerakan solat. Walau ada kalanya perbezaan sekecil ini mampu menimbulkan perpecahan kerana tidak ditangani dengan dewasa.

Peringkat kelima, 'ithf, (simpati) yang ditujukan kepada sesama manusia. Rasa simpati yang cenderung menyebabkan manusia untuk menyelamatkan manusia lain, termasuk juga dalam konteks dakwah, iaitu menyebarkan prinsip agama sebenar yang seharusnya menjadi pegangan hidup saudara seagamanya.

Peringkat keenam, cinta yang paling akhir iaitu cinta yang paling rendah martabatnya, iaitu cinta atau keinginan kepada selain manusia, iaitu harta benda. Namun cinta in sering kali menggelincirkan manusia jika tidak dikawal. Justeru kita harus bijak menanganinya dengan menguatkan iman untuk mengawal hawa nafsu dan pujukan syaitan itu.

Masih panjang penjelasan tentang cinta yang lebih indah itu. Mohon maaf aku jika tersilap bicara, aku manusia lemah dan hanya mengharap belas dari-Nya, yang buruk itu kelemahan aku, yang baik itu datangnya dari Allah Yang Maha Kuasa. Harap sabar menanti sambungan seterusnya :)

Thursday 24 March 2011

cinta yang lebih indah- bahagian I



InshaAllah, kali ini rasanya lebih berani nak kongsi pengalaman diri. Cerita jadi anak rantau. Alhamdulillah, Tuhan itu Maha Penyayang dan selayaknya semua rasa syukur dan cinta itu hanya dituju untuk-Nya yang Maha Kuasa. Kali ini aku nak bercerita, walau mungkin bukan semua, tapi di sebalik pengalaman dan masa yang mengajar diri ini jadi lebih matang, banyak yang aku ingin kongsikan. Walau mungkin tidaklah sehebat mana, cukuplah sebagai coretan untuk rakan yang sudi menjenguk tulisan aku yang tidak seberapa ini. Dalam bahagian pertama ni, aku nak kongsi cerita indah tatkala pertama kali menjejak kaki di bumi nz ini. 

Dulu aku selalu tanya pada diri sendiri? Apa sebenarnya yang aku cari di bumi asing ini. Adakah sekadar segulung ijazah yang membuktikan aku pernah belajar di negara itu? adakah untuk berseronok melancong sana sini menikmati indahnya hidup di perantauan itu? Apa hikmah Tuhan hantar aku ke sini, sedangkan ada kalanya aku rasa seolah bermimpi dan tidak percaya hakikat aku sudah berada di sini. Apa yang ada di sini, dan tidak mampu aku cari di tanah air sendiri? Alhamdulillah, Tuhan itu Maha Kuasa dan lama-kelamaan aku mula sedar, beza tanah air dan bumi asing itu. Hikmah mengapa aku berada di sini. Tanggungjawab yang kini belum pernah aku sedar di tanah air, kini aku makin mengenalinya. InshaAllah.


Di malaysia, aku ibarat berada dalam ‘zon selesa’, mengikut arus dan majoriti, tanpa fahami niat sebenar..solat, puasa, zakat tu mungkin sudah biasa..insyaAllah.Tapi gaya hidup? Emm..selama ni ikut sedap rasa dan bisik hati saja..bila kat nz ni, orang putih semua pandang lain mcm, pakai tudung tu macam  pelik sangat di mata mereka..diperhati dan susah untuk bergaul, sentiasa rasa dinilai orang..dan ada kalanya waktu malam berjalan seorang diri, lagi risau, banyak orang mabuk menghembur kata-kata kesat kerana tahu kita adalah muslim..emm.  tiba-tiba rasa islam tu susah sgt nk dipraktikkan..barulah nak hargai masa kat malaysia dulu ..ada kalanya diri ini terasa kerdil sekali. Tapi bila kita sedar yang kita inshaAllah berpegang pada prinsip yang benar, rasa itu terus hilang., dulu islam pada aku hanya pada nama..dan kini nikmat dan pengajaran yang aku kutip ketika berada di negara orang itu, memang sangat disyukuri…(^_^)


Makin lama makin banyak yg dipelajari..dan bila banyak yg difahami, diri ini mula merasakan bnyak tanggungjawab yang perlu dipenuhi, terutamanya sebagai muslim. Perbuatan dan tutur kata itu refleksi diri, bukan sebagai seorang pelajar, bukan sebagai rakyat Malaysia, tapi membawa imej yang jauh lebih penting dari itu, imej seorang Muslim. 

Rasanya cukup di sini sebagai permulaan kepada tajuk ini. Sebenarnya ada perkara yang lebih menarik aku belajar di negara ini, nikmat cinta hakiki. InshaAllah. Setiap orang itu punya definisi cinta mereka sendiri dan jauh sekali aku layak mengatakan mana satu definisi cinta yang tepat. Namun perjalanan beribu batu dari tanah air ke bumi asing ini, sejujurnya telah mengubah definisi cinta aku dahulu. Definisi aku dahulu yang cuma memandang sepi erti cinta hakiki dan suci. Aku masih cuba kenal dan faham cinta itu, tidak akan pernah berhenti. Semoga Allah permudahkan. InshaAllah. Nantikan sambungan entri ini di lain waktu. Maafkan bahasa aku yang picisan cuma. Semoga terus kuat mengejar cinta-Nya :) 

Friday 18 March 2011

pesan ayah pada aku

aku seolah mahu lepaskan segala tangis rindu pada kamu. Ayah. Saat mendengar suara kamu yang penuh rasa rindu, aku seolah mahu terbang saat itu. Terbang ke sana di samping kamu, kerana aku rindu dan cinta amat pada kamu. Memang ayah cuma insan dan lelaki biasa yang punya ego. Tapi aku tahu di sebalik ego itu, tersimpan cinta dan sayang kuat kamu pada aku. Saat kamu tegas pada aku, saat kamu tidak jemu mengingatkan aku. Tentang betapa penting sihat itu buat aku. Perlunya gigih usaha itu, tanpa kenal putus asa. Memang nasihat itu tidak pernah aku lupa, saat diri ini ini diberi ujian dari- Nya.

Pesan ayah pada aku. Kuatkan diri, jangan tinggal solat itu. Solat itu menjaga diri. Pesan ayah, jaga pemakanan kamu. Ayah memang sangat faham aku. Tatkala cuti di tanah air, dia teman setia aku di rumah. Walau ayah tidak pernah bertanya betapa perit, suka dan duka jadi anak rantau itu, sedangkan aku yang gembira teramat bercerita kepadanya, bezanya tanah air dengan negara mat saleh itu. Ayah mendengar seolah berminat, tapi aku tahu jauh di sudut hatinya, dia percayakan aku. Dan ternyata rasa percaya dia pada aku itu, menambah sayang aku padanya. Semoga tiap kebebasan dan percaya yang ayah beri pada aku, dimanfaat untuk yang terbaik. InsyaAllah.

Pesan ayah pada aku. Aku pernah sakit dahulu. Saat aku dalam tahun pertama kelahiranku, ayah dan mama tidak pernah putus asa berdoa dan berusaha agar aku sembuh segera. Cerita ayah pada aku, tahun itu ayah dan mama berulang alik ke hospital, merawat aku. Alhamdulillah, sehingga hari ini aku masih bernafas. Syukur pada Tuhan. Pesan ayah pada aku, aku harus peka tentang sakitku. Kata ayah, aku sensitif amat pada cuaca. Hujan dan cuaca sejuk itu berisiko buat aku. Pesan ayah pada aku, jangan makan makanan yang sejuk, amalkan makan madu, ini dan itu. Pesan ayah pada musim cuti lalu, sebelum kembali ke bumi wellington ini, kuatkan hati dan doalah pada-Nya selalu. Tuhan sentiasa bersama hamba yang ingat pada-Nya. Akan aku selalu ingat itu.

Maafkan aku ayah. Saat ini aku masih cuba jadi anak kuat itu. Semoga cinta dan sayang amat kamu pada aku, akan terus menguatkan langkah anak kerdil ini untuk capai bintang kamu. Semoga diri ini tabah mengejar cita di bumi yang sentiasa mengingatkan aku pada dekatnya mati itu. Aku mahu jadi bintang. Bintang yang dapat kamu banggakan selalu dan walau aku tahu jasa kamu itu tidak terhitung, doa itu sentiasa aku titip buat kamu. Semoga dirahmati-Nya selalu dan semoga aku dapat berbakti untuk kamu, ayah tercinta. Selalu.

Tuesday 15 March 2011

bisik hati kamu

entri istimewa buat adik tercinta yang menyentuh hati hari ini, kakak teramat sayang kamu selalu...

tatkala awan mendung menampakkan wajah di kala hari penuh dingin ini, kamu datang bersama suara itu. Suara dari bisik kalbu. Suara yang pada aku punya sejuta makna dalam kata. Bisik hati kamu pada hati ini, jua bisik harapan kamu pada satu cita dan angan tinggi. Kamu mahu genggam mimpi indah itu dalam diri. Cuma kita yang mengerti. Kamu punya hati kuat itu untuk kamu gapai mimpi jadi realiti. Selalu ingat itu.

Kamu insan aku yang aku sayang selalu. Walau sukar untuk aku ungkap pada bibir, tapi rindu dan cinta kamu selalu aku semat dalam hati. Bicara kamu tentang warna dunia yang aneka, bicara kamu tentang manusia yang punya sejuta warna dan rupa. Ingin sekali aku tatap wajah kamu dan cerita semua kisah suka dan duka saat ini. Cerita tentang aku yang selalu rasa bersendiri. walau aku tahu, Tuhan itu sentiasa di sisi dan atas sebab itu aku masih memujuk diri tabahkan hati, namun aku sering rindu senyum dan tawa kamu yang mewarnai hari pada masa lalu. Aku mahu lontarkan resah pada kamu yang mengerti tentang duka dan rasa sunyi ini. Saat aku rasa masa itu sesaat cuma, saat aku rasa dunia itu kosong dan mula hilang warna. Saat aku bertanya pada diri, mana satu mimpi yang aku cari. Juga saat diri ini tidak terdaya dan lemah dalam sakit yang kadang kunjung tiba.

Aku rindu bicara kamu tentang segenap cerita aku pada kamu. Mungkin kita dipisahkan jarak dan masa, tapi hakikatnya kamu selalu dekat di segenap rasa dan ketika. Biar aku genggam rindu dan cinta sayang yang kuat pada kamu, untuk aku kira detik waktu masa kita akan bertemu. Semoga kamu dilindungi-Nya selalu. Itu doa aku.

buat kamu

setiap insan itu punya kelemahan, termasuk diriku sendiri. tapi kamu, yang aku anggap sahabat, pinta aku cuma satu..kerana kelemahanku tidak mampu buat kamu mengerti, maafkanlah..dan ketahuilah sehingga saat ini, aku masih buntu. buntu untuk memahami apa sebenar yang harus ku lakukan setelah apa yang aku lalui. tapi kamu yang tidak mengerti, jangan cuba sakiti aku. hati ini memang serapuh kaca, yang retak menanti belah..aku mohon kamu, ya, kamu sahabat, temanku, supaya terus bersabar denganku, bukan niatku untuk melukai kamu, tapi aku sedang mencuba yang terbaik buat aku dan kamu, dan semua.

cukup sekadar apa yang kamu tahu tentang aku. biarkan aku simpan semuanya, kerana aku belum merasa kamu bersedia, untuk tahu hakikat itu. walau betapa pahit untuk aku telan semuanya, tapi aku tahu rasanya pasti lebih pahit buat kamu untuk mengerti saat ini. aku perlu waktu, waktu yang aku harapkan dapat membuat kamu dan aku lebih mengerti. lebih fahami semua ini. sahabatku, terima kasih buat semuanya, tiap kata dan waktu yang pernah aku kongsi bersamamu, aku hargainya. hanya doa yang mampu aku titipkan buat kamu sahabat, agar terus tabah menghadapi hari-hari seterusnya. maafkan aku yang tak sempurna, maafkan aku yang buat kamu terluka, bukan niatku begitu, tapi harap aku cuma satu, biar waktu yang menentukan segalanya. tabahkan hatimu, agar hatiku ini juga tabah melihat kamu. maafkan semuanya, aku sahabatmu yanglemah, hanya berharap agar Yang Maha Esa akan memudahkan segala. InsyaAllah.

ada apa dengan air mata

mahu tidak mahu tahun ini sudah sampai ke penghujungnya. walau usia yang mencecah 20 tiga bulan cuma, tapi aku sudah merasa bahawa detik itu semakin dekat. pertambahan usia juga bermakna dekatnya diri kita dengan mati, dan setiap hari yang berlalu itu tanda dunia ini semakin tua. Tinggalkan sebentar soal usia, kerana hari ini aku ingin bicara. Tentang peneman setia, penawar duka yang telah menghiasi perjalanan aku sepanjang usia ini. air mata? bukankah ianya sangat dekat dengan kita? satu anugerah yang tidak ternilai harganya.

jangan ambil mudah soal ini. kerana air mata bukan tanda lemahnya diri kita, tapi sebenarnya tanda kekuatan hati, kerendahan diri yang mengakui kelemahan kita sebagai hamba-Nya. Tapi jangan salah sangka, air mata bukanlah jua sebab untuk kita bersedih dan menangisi takdir yang menimpa diri, tapi sebagai penawar segala duka di hati. penguat semangat yang pernah hilang dari dalam diri. air mata juga hadiah kurniaan Tuhan kerana bisa mengeluarkan racun dari badan yang tidak kita ketahui apa kesannya, tapi percayalah Allah Maha Mengetahui atas setiap rahsia ciptaanNya.

wanita yang menjadi sahabat karib air mata, bukanlah bermakna kamu insan lemah, tapi itu tanda kekuatan hati kamu yang tabah. tidak hairanlah, purata wanita hidup lebih lama berbanding lelaki, kerana mungkin saja air mata itu menjadi pernawar hati yang berduka. buat lelaki, janganlah kamu terlalu tunduk tunduk dengan egois pada diri, kerana air mata itu ada kalanya perlu untuk kamu sedari bahawa air mata adalah baik sebagai pengawal emosi.

tapi janganlah kamu terlalu menangisi keperitan hidupmu itu, kerana ingatlah sentiasa ada insan yang lebih malang dari kamu, bersyukurlah dengan rahmat dari-Nya,jadikan setiap titis air mata itu sebagai tanda kerendahan hatimu yang hanya mengharap kepada Maha Pencipta. semoga coretan ini bermanfaat buat semua. InsyaAllah (^_^)






jalan ini yang ku pilih

baru balik dari ibu kota menghadiri sebuah kursus yang banyak membuka mata aku. Mata yang terlena dibuai mimpi indah, tatkala masa cuti panjang musim panas ini. Aku begitu bersyukur diberi peluang dan kesempatan untuk merefleksi diri. Aku cuma manusia biasa yang punya banyak kelemahan, ada kalanya jatuh tersungkur di tengah jalan. Tetapi aku masih cuba untuk terus bangun dan melangkah ke penghujungnya. Dan walaupun terpaksa menempuh pelbagai onak duri di sepanjang perjalanan itu, aku tahu akan sentiasa ada tangan yang menyambut tubuh yang ada kalanya lemah gemalai meniti perjalanan dipenuhi badai. 

Jalan itu masih jauh, malah aku masih merasa aku baru sahaja memulai perjalanan itu saat ini. Walau ada ketika manusia yang memandang dan cuba memperlahan langkahku, namun terpaksa aku menguatkan semangat, memekakkan telinga dan membutakan mata kerana hidup ini tidak akan dapat memuaskan semua. Bukannya pandangan manusia yang patut dicari, tapi hanyalah pandangan Yang Maha Esa pada diri kita. Semoga Dia akan sentiasa menunjukkan kita, jalan untuk menemui-Nya kelak di Firdaus. InsyaAllah.

tanggungjawab ini telah menyedarkan aku, agar tidak boleh leka walau cuma sesaat. Kerana sentiasa ada yang akan cuba menarik dan menolak aku ke arah yang dimurkai-Nya. Tanggungjawab yang harus dilaksana setiap saat dan detik, walau di mana jua, tanpa mengenal putus asa. Tanggungjawab yang sebelum ini dilupakan kerana hanya mengenal pada nama, yang sepatutnya disemat dalam hati dan dijelmakan dengan perbuatan. Ketahuilah, tanggungjawab kita sebagai islam, harus bermula sekarang. Tidak boleh ditangguh-tangguh lagi kerana kematian itu datang tiba-tiba. Mungkin esok atau lusa. Malaikat Maut menjenguk kita 70 kali sehari. Tiada manusia yang akan pernah sempurna. Justeru tinggalkan semua alasan, pujukan dunia yang hanya membutakan hati dan mata. Cinta kepada Tuhan itu lebih indah, jangan cintakan hawa nafsumu dan pujukan syaitan. Kelak celaka di akhirat. Nau'zubillah.



indah cinta itu

cinta itu indah
bukan sesuatu yang menyakitkan
bukan sesuatu yang meresahkan
bukan juga sesuatu yang melukakan

kenapa aku kata ia indah?
kerana di setiap perjalanan bersamanya
tersemat rasa tenang di jiwa
terukir senyuman tanda bahagia
hati tunduk syukur pada Maha Pencipta

dan ia akan sentiasa indah
jika kamu sentiasa menjaganya
membatasi setiap sisinya
dengan syariat dan juga doa
agar keredhaan-Nya tetap bersama

namun ia akan lebih indah
jika pengorbananmu setulus jiwa
yang cuma mengharap belas dari-Nya
yakin bahawa Dia Maha Mengetahui segala
jua tabah dengan kehendak-Nya.

ketahuilah
ia itu CINTA
cinta yang dikurnia-Nya
pada setiap hamba
cintalah semuanya kerana Dia
cinta hanya pada Maha Pencipta.

"Katakanlah Muhammad, jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun Maha Penyayang." Al-Imran: 31

harapan dan angan-angan. samakah?

Jika ya, kenapa?

Harapan itu merujuk pada satu impian, cita-cita atau apa juga yang diinginkan dalam kehidupan, yang "selalunya" relevan dengan kemampuan kita sebagai manusia. Angan-angan pula lebih kepada cita-cita atau impian yang 'selalunya' tidak setimpal dengan usaha dan kemampuan kita, bahkan juga boleh jadi sesuatu yang tidak pernah kita mungkin capai, namun masih membayangkan diri kita di situasi itu. Sekarang, apa beza yang anda lihat?

Kenapa ramai yang mengatakan angan-angan itu negatif?
Pada saya, angan-angan dan harapan adalah perkara yang sama. Punya sifat positif dan negatif yang sama. Punya impak yang sama selagi mana anda menyandarkan niat anda hanya pada yang satu.Tidak salah berangan-angan, juga tidak salah mempunyai harapan setinggi gunung selagi kita ingat bahawa apa juga yang kita harapkan dan inginkan, semuanya kuasa Tuhan. Kita sebagai hambanya hanya mampu berusaha, berikhtiar, berdoa dan bertawakal untuk merealisasikan apa jua angan-angan atau harapan. Tapi jangan lupa, niatkan segala perkara dan perbuatan kita hanya kerana Allah, nescaya kita memperoleh keredhaan-Nya.

Di mana silapnya?
Ramai di antara manusia hari ini, malah sebagai peringatan buat diri ini, tergelincir kerana angan-angan juga harapan. Angan-angan yang sekadar sesaat, yang hanya menurut pujukan syaitan, terpedaya dengan keindahan dunia, juga menurut hawa nafsunya. Nah, inilah sebabnya angan-angan itu bahaya kerana sandarannya kerana cinta kepada dunia, bukan akhirat yang jauh lebih menjanjikan bahagia. Contohnya manusia yang mengimpikan kehidupan serba mewah, yang punya segala-galanya sehingga sanggup bergelumang dengan dosa untuk menggapai citanya itu. Sedangkan dia lupa kematian yang mencari-carinya juga balasan di akhirat yang kekal selama-lama. Muhasabahlah diri kita, apa jua harapan, impian, cita-cita dan angan-angan kita, tercapai atau tidak, semuanya ditentukan oleh-Nya Yang Maha Berkuasa dan Maha Kaya.

Lalu, bagaimanakah?
Apa jua harapan dan cita yang kamu punya, sandarkan hanya pada yang satu, Yang Maha Esa. Jua ingatlah bahawa kita hidup di dunia sementara cuma, sedangkan akhirat mungkin terjadi bila-bila masa. Sebagai seorang muslim, harapan, angan-angan, cita-cita dan impian kita cuma satu, iaitu untuk bertemu dengan Allah Yang Maha Pencipta di syurga sana. Jika inilah cita-cita yang kita tanamkan, nescaya kita tidak akan membazir walau sesaat untuk berusaha melaksanakan syariat-Nya dan meninggalkan larangan-Nya agar bahagia itu milik kita, sampai bila-bila. InsyaAllah =)


taa'ruf

emm, santai je petang ni sebab baru balik dari kenduri di rumah jiran. Haa, banyak kan orang kahwin musim cuti ni? nak makan nasi minyak sampai puas, lepas ni dekat welly, memang susah nak jumpa. Masak sendiri? hee, tengoklah kalau rajin xp i have always thought that everytime i write, it's gonna be the last entry for this year..but we still have a long way to go before 2011 right? haa, hari ni nak cerita pasal diri sendiri. selalunya entri agak berat, and sound really serious..tapi hari ni sengaja nak ubah rasa. Had no idea why i have a very good mood today! ahh, i think it's not too late to introduce myself as this blog owner! haha..let's taaruf!
here are three things about me..selamat membaca :)
                                            
Orang selalu cakap:
1: "Farah ni serius la orangnya." haa, baru tahu ke? kadang-kadang aku rasa sedih jugak, takut nanti orang cakap aku ni macam takde perasaan pulak, buat lawak pun tak senyum..haha! tapi mungkin sebab dari kecik, i have been trained strictly by my dad..lama-lama dah jadi kebiasaan. aku mengaku aku memang serius, tapi ada masanya aku mampu buat kamu tersenyum...aaaaa, mungkin untuk orang yang kenal aku dengan rapat! betul kan?? on the bright side, kalo terlebih ceria nanti orang salah faham pulak? hee xp

 2: "farah ni pemalu/ pendiam"  yang ni pun sama. tak tau nak komen apa. kalau nak cakap aku pendiam, betul jugak sebab kebanyakan masa, even in a group of people that close to me, aku selalunya lebih banyak mendengar dari bercakap. kadang-kadang ada yang menegur, agaknya aku ni memang orang yang banyak berfikir. haa, tu pun betul jugak. aku suka mendengar dan menilai. kadang-kadang sampai terlupa pandangan aku sendiri, yang ingin aku suarakan. emm, tapi ada yang tak setuju bila orang cakap aku pendiam. especially my housemates, cause they been there with me 24 hrs 7, diorang cakap aku ni banyak sangat benda nak cakap, kadang-kadang sampai berebut siapa nak cakap dulu. when i start, i just can't stop. on the other side, it might be cause i am too systematic person, lebih suka menulis dan mendengar dulu sebelum berbicara. haa, salahkah? and i ended up thinking myself as an authoritative person, when it comes to people accepting ideas. isshhh, harap-harap perangai ni boleh diperbaiki lagi. tapi bagus jugak, takde la kena buli. kan kan?

3: "farah suka simpan dalam hati" haha..rasanya banyak orang yang dah tahu, kalau pendiam tu memang maknanya banyak yang dipendamkan. Ya, biarlah aku sendiri yang tahu susah senang hidup ini, selagi tidak melukakan kamu di luar sana.Biar serapuh mana pun hati ini, aku masih punya kekuatan untuk berbicara dengan diri, melalui pena. Walaupun luahan di kamar ini secebis cuma, tapi cukup memberi ketenangan buat aku. Haa, biarlah apa jua pandangan orang, what important is I know what i am doing, and i am happy if others happy..is that so wrong? well, i do admit a lot of patience is needed, but honestly if that can make me a stronger person, why not?

Rasanya cukup dulu sampai di sini. It took me three days to finish this post..penat baru balik dari rumah bapa saudara. Cukuplah untuk melepas rindu pada sepupu kesayangan yang baru pulang bercuti dari Universti Malaysia Sarawak. Namanya, wawa! well, till you hear again from me soon insyaAllah :))

aku mohon jujur kamu

sebetulnya aku perlu berehat hari ini, kerana kesihatan belum baik lagi, tapi aku punya cerita, dalam rasa sakit dan tabah yang aku cari hari ini, mengingatkan aku pada satu kata yang ibu sering pesan pada aku, agar sentiasa tersemat dalam hati. honesty. kejujuran. tulus. panggillah apa sahaja yang kamu mahu, tapi pada aku, maknanya tetap satu. kejujuran pada aku satu kebenaran yang akan tetap dipegang walau sesukar mana pun perjalanan, kebenaran yang tak kenal rasa mudah mengalah pada semua bicara dan tanggapan manusia, juga keikhlasan setulus jiwa mempertahan kebenaran itu. sejujurnya, aku mengaku aku bukan insan sempurna yang tidak pernah berbohong, ada khilafnya dan silap pada diri. tapi aku nilai kejujuran itu amat aku pandang tinggi, dan kejujuran itu juga aku hormat pada kamu. sudah fitrah manusia untuk beri yang terbaik pada yang dikasihi, dan itu termasuklah kejujuran. jujur kamu itu banyak maknanya padaku, juga makna pada semua insan yang hadir dalam hidup kamu.

kejujuran itu juga tidak kenal waktu. waktu yang aku rasa sudah cukup untuk kenal diri kamu, rupanya secebis cuma kisah kamu. jujur kamu, hanya buat sementara pada jiwa yang kau belum cukup fahami. maafkan aku jika jujur dengan kamu, jujur bahawa aku masih punya pelangi indah, untuk digapai pada masa depan. Jujur aku ingin mencari sejuta senyuman bahagia yang menanti. dan tika itu, aku tahu dan sedar bahawa kini aku cuma ingin jujur pada diri. aku bukan insan sempurna untuk lakar impian kamu, aku insan biasa yang cuma menagih kejujuran pada sahabat dan teman yang hadir dalam hidupnya. dan saat itu, sebenarnya aku sudah punya kekuatan, mencari erti pada diri. aku insan yang senyumkan gerimis setelah panas yang lama dan untuk itu, aku mohon jujur kamu.


bicara kamu pada aku

hari ini aku dakap seribu rasa syukur itu, dan untuk selalu aku semat dalam hati tanda terima kasih pada Dia yang  Maha Berkuasa. Syukur masih diberi peluang bernafas hari ini, lebih sihat berbanding sebelumnya. Panjang doaku pada-Mu memohon agar diberi kesabaran menerima apa jua ketentuan dan untuk aku genggam erat kekuatan untuk menagih cinta-Mu.

Bicara aku hari ini kerana bicara kamu pada aku kelmarin. Yang nyatanya sebuah lukisan kehidupan setiap insan itu punya perbezaan, dan aku kagumi semangat yang kamu punya di sisi untuk tabah menempuh juta duri. Bicara kamu pada aku tentang dia yang tidak kenal erti cinta. Walau luka itu cuba untuk kamu buang jauh-jauh di lautan sana, tapi aku tahu kamu punya tabah untuk melalui hari. Biarkan dia yang tak mengerti itu berlalu, kerana kamu masih punya pelangi bahagia untuk dinikmati saat gerimis berlalu pergi, dan kamu punya sejuta senyuman untuk kamu ukir pada yang memahami. Dia cuma ibarat sehelai muka surat pada sebuah diari kehidupan kamu, teruskan melangkah menggapai bahagia.

Walau aku sendiri akui, bukan mudah untuk melupakan dia yang pernah menjadi bunga menghiasi hidup kamu, ikhlaskan hatimu menerima takdir ini. Dia bukan insan untuk lakar impian bahagia kamu. Kuatkan hati kamu, kerana aku percaya kamu. Tuhan penentu segala, dan cinta manusia itu cuma sementara. Bercintalah dengan Dia, kerana Dia pemilik hatimu, pemilik seluruh jiwa ragamu. Tuhan itu Maha Adil, yang terbaik hanya untuk yang terbaik, dan begitu juga sebaliknya. Dakap erat cintamu pada-Nya dan bahagia itu bakal jadi milik kamu. Dalam setiap rasa pahit yang kamu rasa, itu ujian dari-Nya, ujian kekuatan cintamu pada-Nya. Juga pada setiap manis dan indah lakaran hidup kamu, hanya Dia yang berkuasa memberi dan selayaknya cinta kamu hanya untuk Dia. Tuhan Yang Maha Kuasa. Cinta kamu lebih agung untuk insan yang ditakdirkan untukmu dan sebelum tiba saat itu, kamu selalu punya semangat dan cinta kuat dalam diri kamu. Jangan pernah lupa itu.





untuk mama

-a poem written for my beloved mum, your love is always in me-

masih aku ingat senyum itu
tatkala suria menampakkan cahaya
dalam seribu cerita hidupmu
jatuh dan bangun kamu
hanya atas nama cinta itu

walau cinta itu ada kala mengirim duka
senyum itu tetap kamu ukir
di wajah yang punya seribu rahsia
walau tidak jelas pada pandangan mata
kau gagahkan juga menempuh segala

senyum itu
juga kekuatan untuk aku
melakar impian bahagia kamu
walau ada kalanya seribu batu
memisahkan cinta itu
tapi aku ingat
peluk erat sayangmu itu
hangat ciummu di pipiku

kamu kekuatan aku
jua tempat segala tangis tawa
aku cerita segala
tiada ucap atau kata
untuk dibanding cinta kamu
yang takkan ku temu
walau ku cari sedunia

kasih dan cintamu pada aku
akan aku selalu semat dalam kalbu
kerana aku tahu senyum itu
mengubah duka jadi bahagia
cuma doa yang mampu
aku titipkan buatmu selalu

adilkah kamu

salam syukur dan selawat aku panjatkan untuk junjungan Rasulullah s.a.w. sempena hari mulia ini. Sesungguhnya aku insan kerdil yang masih belajar mencontohi akhlak mulia baginda, semoga diri ini terus kuat melangkah menambah cinta pada-Nya dan rasul yang dikasihi. InsyaAllah. Hari ini aku mahu coretkan bicara singkat tentang adilnya kita dalam menerima takdir hidup ini. Salah satu pegangan yang kita percaya dalam rukun iman ialah beriman dengan qadha dan qadar. Dulu pada aku, itu cuma satu ungkapan ringkas, yang mana kita cuma perlu menerima segala yang telah ditentukan untuk kita. Aku mengaku saat itu diri ini cuma anak dangkal yang tidak mengerti apa-apa, tapi aku yakin Tuhan itu Maha Berkuasa atas segala.

Saat ini aku cuba bertanya pada diri. Sejauh mana kepercayaan aku pada salah satu prinsip islam yang wajib diimani ini. Dan nyatanya pengalaman, jatuh bangun, suka duka, juga bunga dan duri yang aku susuri sepanjang hidup ini telah banyak mematangan diri. Matang dalam menilai setiap kejadian itu ada hikmahnya, buruk ataupun baik, kita harus terima dengan hati terbuka dan lapang dada. Al- Baqarah ayat 216: Allah berfirman, "sesungguhnya boleh jadi sesuatu yang kamu suka itu buruk bagi kamu, dan sesuatu yang kamu benci itu baik bagi kamu" Maksud ayat ini jangan pernah menyalahkan takdir atas segala yang menimpa..kita sebagai hamba-Nya sentiasa diuji mahupun dengan kesenangan atau kesusahan sekali pun, Tuhan itu Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita.

Satu soalan yang sering bermain dalam minda aku, adilkah aku pada diriku sendiri? adilkah aku pada takdir hidup ini, ketentuan Ilahi? Jika benar adil, jangan pernah ditangisi hiba jika ujian datang menimpa, kerana hidup ini tidak bahagia atau gembira belaka. Jangan pernah kamu suka pada takdir yang indah sahaja, dan mengeluh duka saat ujian datang menjelma. Ketahuilah, Tuhan itu pemilik segala, pemilik jiwa dan ragamu. Lantas atas alasan apakah kamu berhak menolak takdirnya dan menyalahkan semua atas sesuatu yang tidak kamu sukai, datang mengujimu? layakkah kamu? Lalu, jika kamu masih sedar akan kerdilnya diri di hadapan Tuhan Maha Pencipta, tadahkan tanganmu memohon doa, sesungguhnya Tuhan Maha Pengampun dan insyaAllah ujian itu dapat kamu tangani dengan hati yang tenang dan ikhlas. Allah itu ingat pada hamba yang ingat pada-Nya, begitu juga sebaliknya.

Aku cuma insan biasa yang punya khilaf dan lemah. Lantas bicara ini aku coretkan agar menjadi peringatan buat diri, yang akan terus melangkah menempuh juta duri itu, dan aku tahu jalan ke syurga-Mu itu sangat mahal harganya, semoga terus istiqamah menempuh liku untuk menegakkan agama islam tercinta di atas muka bumi ini, insyaAllah :)

cerita baru.

disebabkan minda ni asyik serabut sejak beberapa minggu lepas, rasanya lebih baik untuk asingkan blog pertama saya dengan blog yang kedua ni. It's just feel so weird mixing english and malay writings in one blog. Jadi ini adalah percubaan saya untuk lebih memperbaiki penulisan, terutamanya dalam bahasa tercinta, bahasa melayu. Disebabkan masih belum berkesempatan untuk menulis blog, minggu ini memang minggu paling sibuk jadi rasanya lebih baik untuk memindahkan penulisan bahasa melayu terdahulu dari blog english (scrutinizing life) ke blog ini :) maafkan jika bahasa saya kelihatan agak pelik, mungkin sebab dah terbiasa guna dua bahasa serentak. Apa-apa pun, harap-harap percubaan ini menjadi. Terima kasih buat yang sudi menjenguk ke ruang kecil ini. Monolog dari hati.