Thursday, 18 August 2011

kisah ramadhan kali ini

assalamualaikum, rasanya belum terlewat untuk aku coret kisah aku di bulan ramadhan ini. Pengalaman berpuasa di bumi new zealand untuk tahun yang kedua ini sangat aku syukuri. Walau beberapa hari sebelum menjelang ramadhan ini aku hampir menyangka aku bakal tidak bertemu dengannya kerana satu peristiwa ngeri. Alhamdulillah, alhamdulillah Allah masih memberi peluang untuk aku memanfaatkan sepenuhnya bulan yang sangat dicintai umat islam ini. Saat itu aku merasa nyawa seolah di hujung tanduk. Ya Allah cukup sudahkah bekalan untuk aku menemui-Mu, jika ditakdirkan aku tidak lagi bernafas saat ini. Syukur sangat aku masih diberi peluang berdiri, berusaha dan berdoa untuk mencari redha-Nya hingga saat ini.


Realiti yang harus aku terima adalah, setiap hari yang baru menandakan dekatnya kita kepada kematian. Semoga kita terus istiqamah beribadah kepada-Nya, dan meneruskan iabadah-ibadah itu sehingga ke bulan seterusnya. teringat kata-kata seorang blogger di facebook awal ramadhan lalu, "jadilah hamba Allah, bukannya hamba Ramadhan". Maknanya semua ibadah kita haruslah dilakukan semata-mata kerana mengharap redha Allah, bukan kerana mengharap pahala sahaja, kerana jika kita ikhlas kerana Allah, inshaAllah kita akan terus kuat beribadah walaupun selepas Ramdhan berlalu meninggalkan kita.



Cerita aku tentang ramdhan kali ini. Aku mahu ramadhan ini berbeza. Tidak mahu lagi sama seperti tahun dahulu. Tidak mahu lagi ia berlalu tanpa meninggalkan kesan pada diri. Alhamdulillah diberi kekuatan untuk meneruskan ibadah sebelumnya, juga menambah lagi amalan lainnya. Istiqamah. Itu peringatan buat diriku sepanjang ramadhan. Walau sudah hari ke lapan belas berpuasa, dan berbaki cuma dua minggu, tapi sepuluh hari terakhir ramadhan itu bakal jadi kayu ukur kemampuan aku untuk terus istiqamah. Moga diizinkan-Nya inshaAllah.

Musim sejuk ramadhan kali ini memang mencabar. Sibuk dengan tugasan, ujian dan peperiksaan. Bumi wellington yang tidak pernah bersalji selama hampir 50 tahun, menerima kehadiran salji yang pada aku cukup menggambarkan kekuasaan Allah Maha Esa. Dia Maha Pencipta, dan tidak pernah aku menyangka aku bakal melihat salji turun di rumah, subhanallah. Moga jadi pengajaran untuk diri, kerana semua yang ada di langit dan bumi itu cuma milik-Nya. manusia itu cuma hamba yang lemah tidak berdaya. 

salji di belakang rumah- 15 julai 2011

Teringat ayat surah An-Nur : 41 "Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menjadikan awan bergerak perlahan, kemudian mengumpulkannya, lalu Dia menjadikannya bertumpuk-tumpuk, lalu engkau lihat hujan keluar dari celah-celahnya, dan Dia juga menurunkan (butiran-butiran) ais dari langit, iaitu dari gumpalan-gumpalan awan seperti gunung-ganang, maka ditimpakan-Nya butiran-butiran ais kepada siapa yang Dia kehendaki dan dihindarkan-Nya dari siapa yang Dia kehendaki. Kilauan kilatnya hampir-hampir menghilangkan penglihatan" Subhanallah, subhanallah. Indahnya nikmat kurniaan Tuhan.


Dua minggu terakhir ramadhan akan menjadi minggu yang teramat sibuk. Cuti pertengahan semester yang bakal bermula, juga sebenarnya bermakna tiada cuti untuk aku kali ini. perlu menyahut cabaran tugasan seorang guru. Praktikal akan bermula selama dua minggu di Waineomata High School. Tapi aku tahu, betapa sibuk dan penat pun nanti, hari-hari terakhir Ramadhan perlu aku isi sebaik mungkin. Penat itu cuma ilusi, dan kekuatan itu dari Ilahi. Jika merasa lemah, berdoalah pada-Nya agar diberi kekuatan untuk menghadapi apa juga onak duri. InshaAllah.


Ramadhan kali ini penuh makna. Penuh warna-warni. Juga sarat dengan peringatan yang berguna untuk diri. Walau tanpa kehadiran keluarga disayangi. ramadhan kali ini aku merasai keindahan ukhuwwah sahabat-sahabat sejati. Bersyukur sekali. Ya Allah, moga diri ini tidak akan pernah berhenti mencari redha-Mu. Kuatkan hati dan himmah (semangat) diri. InshaAllah.

ayahanda dan bonda ketika aidilfitri 2009

untuk keluarga di malaysia, moga bertemu di penghujung tahun ini. kasih dan rindu aku pada kalian tidak akan pernah terhenti walau sesaat, moga Ramadhan ini lebih diberkati dan lebih membawa erti. Salam ramadhan untuk semua. 

Saturday, 13 August 2011

kuat sangat ke?



alhamdulillah hari ini masih bernafas di bumi wellington ini. semalam hari yang sangat indah, jumaat yang cukup memberi makna untuk aku. Berbuka puasa dengan sahabat-sahabat seperjuangan juga saudara-saudara seagama yang menuntut di universiti yang sama. Seolah-olah terasa sebuah kekuatan dari keindahan ikatan ukhuuwah yang terbina. "Muslim itu bersaudara". Satu ayat rigkas, tapi punya makna yang cukup mendalam. Saudara itu ertinya kita dari satu ayah yang sama, iaitu Islam. Aku teringat kisah seorang sahabat ketika dalam perang badar, adik kandungnya menjadi tawanan tentera islam saat itu. Adiknya memohon untuk dilonggarkan sedikit ikatan tangannya, tetapi sahabat itu menyatakan kepada tentera muslim yang mengikat adiknya, agar mengetatkan lagi ikatan itu. Katanya, "kau bukan saudaraku. Dialah saudaraku (tentera muslim), dan aku tiada ayah melainkan islam" Subhanallah, utuhnya pegangan, teguhnya pendirian sahabat ini tentang ikatan ukhuwwah dalam islam, sehingga adik kandungnya sendiri itu dilupakan, kerana bukan islam.


Hari ini aku mahu berbicara tentang kekuatan. Kuat? apa makna kuat? siapa rasa dirinya kuat sila angkat tangan! kuat itu bererti mampu, mempunyai daya dan usaha untuk melakukan sesuatu. Sekurang-kurangnya itu definisi kuat pada aku. Tapi sekuat mana pun seorang manusia itu, semuanya datang dari Allah s.w.t. Ya, SEMUANYA DAN SEGALANYA. termasuklah kekuatan untuk kita bernafas, kekuatan untuk bangun pagi, kekuatan untuk makan, kekuatan untuk pergi bekerja juga kekuatan untuk mengerdipkan mata! Selemah-lemah kekuatan yang kita ada untuk melakukan sesuatu itu, semuanya dari Allah. Apa jadi kalau Allah tarik nikmat kekuatan pada diri kita? Mampukah aku menaip entri ini? Mampukah aku untuk menggerakkan jari menulis blog ini? mampukah kamu membaca tulisan ini? Sudah tentu sekali tidak mampu! Bahkan untuk melihat skrin laptop ini juga ini aku tidak mampu tanpa izin-Nya. Sekarang kita faham satu hakikat..

SEMUA KEKUATAN MANUSIA ITU DATANGNYA DARI ALLAH S.W.T

jadi setujukah kamu jika aku katakan manusia itu TIDAK LAYAK mengatakan dirinya cukup kuat. Ya, mungkin tabah dan kental fizikalnya, tapi tanpa izin Allah semua itu tidak mungkin dan jauh sekali dari genggaman. Fitrah manusia itu adalah sebagai hamba. Apa konsep hamba? hamba bereti lemah dan sentiasa mengharap pertolongan dan pemberian daripada tuannya, dengan syarat dia berkhidmat kepada tuannya. Maka dia akan mendapat ganjaran. Kamu faham itu bukan? Sekarang, hakikat kedua yang kita WAJIB faham adalah:

MANUSIA ITU ADALAH HAMBA, HAMBA LEMAH YANG PERLU BERBAKTI KEPADA TUANNYA, IAITU ALLAH S.W.T.

Baik, sekarang apa kaitan hakikat sumber kekuatan manusia itu dengan konsep hamba? Tanggungjawab hamba adalah berbakti kepada tuannya bukan? Jadi, bagaimana manusia berbakti kepada tuannya, iaitu Allah s.w.t? Maka sudah tentu dengan beribadah, menyeru manusia ke arah kebaikan dan meninggalkan larangan. Itu antara tuntutan sebagai seorang hamba. Namun manusia itu juga banyak beralasan. Aku tidak cukup kuat, aku malu, aku segan, diri ini tidaklah sebaik mana. Emm, beribu-ribu alasan. Nak beribadah pun masih memilih. Malaslah, dah buat yang wajib pun cukuplah. 

Baik. Sekarang kita tanya pada diri kita. Kalau nak kekuatan dalam beribadah, kalau nak kekuatan untuk menunjukkan contoh akhak yang baik, dan apa juga kekuatan pun, maka kita perlu berdoa pada Allah. Doa itu senjata orang mukmin. Allah itu Maha Pengasih, berdoalah dengan penuh harap dan redha, nescaya dia memakbulkannya dan mengurniakan kita dengan kekuatan yang tidak pernah fikir kita mampu. Masalahnya anda percaya atau tidak? 

Dalam hadis sahih yang lain yang bermaksud : Doa adalah senjata bagi orang mukmin, tiang agama dan cahaya yang menerangi langit dan bumi.

Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Tiada daripada seorang muslim yang memohon doa sedangkan dia sendiri bersih dari dosa dan juga dia tidak pernah memutuskan perhubungan silaturrahim sesama manusia melainkan Allah akan menganugerahi kepadanya satu dari tiga perkara ini : sama ada terus diterima doanya, sama ada Dia akan menangguhnya sehingga hari akhirat ataupun disimpan(ampun) segala kejahatan yang seumpanya (permintaan tadi). Maka para sahabat bertanya : Sekalipun banyak? Sabda 
baginda S.A.W : Allah lebih banyak pemberian-Nya.



Daripada Anas bin Malik Radhiallahu 'anhu telah berkata : Aku mendengar Rassulullah S.A.W bersabda : Sesungguhnya Allah berfirman (maksud) : Wahai anak Adam! Apabila engkau memohon dan mengharapkan pertolonganKu maka Aku akan mengampunimu dan Aku tidak menganggap bahawa ia suatu yang bebanan. Wahai anak Adam! Sekalipun dosa kamu seperti awan meliputi langit kemudian kamu memohon keampunanKu, nescaya Aku akan mengampuninya. Wahai anak Adam! Jika kamu menemuiku(selepas mati) dengan kesalahan sebesar bumi, kemudiannya kamu menemuiKu dalam keadaan tidak syirik kepadaKu dengan sesuatu nescaya Aku akan datang kepadamu dengan pengampunan terhadap dosa sebesar bumi itu.
-Riwayat imam Tarmizi dan kata beliau ia adalah hadis Hasan Sahih-


Menitis air mata baca hadis yang terakhir ini. Besarnya kurnia dan kasih Allah pada kita, sedangkan Dia sentiasa memberi nikmat pada kita tiap saat, tidak terhitung jumahnya. Namun, soalan penting yang kita harus tanya pada diri kita adalah : sejauh mana aku telah melaksana tugas sebagai hamba? apa sumbangan aku pada Maha Pencipta?


Jangan risau jika kamu merasa lemah, kekuatan itu ada di sisi-Nya berdoalah, berusahalah dan bertawakallah. Jangan pernah putus asa, kerana putus asa itu sifat orang yang GAGAL. Teliti, fahami dan hayati. Moga tulisan aku yang tidak seberapa ini, mampu meniupkan semangat pada diri sendiri, juga saudara-saudara segama yang aku cintai.


InshaAllah. Amin. 

Monday, 8 August 2011

wanita, kamu permata berharga!!


aku menulis coretan ini dengan linangan air mata. Mulanya dengan hati yang penuh sakit dan luka melihat wajah rakan-rakan aku sendiri, memaparkan wajah mereka untuk tayangan semua, kerana ingin memenangi undi. hati aku ibarat dicarik-carik juga dikoyak-koyak oleh kaca yang tajam. Saat komputer ini memainkan lagu wanita, oleh kumpulan nasyid de hearty, air mata aku terus mengalir laju. hati ini terguris sekali.

wanita yang aku sayangi diluar sana, jika kamu tahu betapa mahal harga dirimu, betapa mulianya kedudukanmu, kamu tidak akan pernah membiarkan dirimu menjadi tatapan dan bahan hiburan untuk mereka yang tidak layak untukmu. wanita, kamu permata berharga, jauh lebih berharga dari berlian jutaan dolar, kerana kamu dicipta untuk yang teristimewa. kecantikan kamu adalah untuk suamimu juga pada yang halal bagimu.

wanita, jangan rendahkan martabatmu dengan mencalarkan permata itu. jangan biar dirimu diselaputi noda, jangan biar dirimu menjadi fitnah kepada agama. jangan mencelakakan manusia yang lainnya, manusia yang tergoda dengan kecantikanmu, manusia yang menatap rupamu sedangkan mereka bukan orang yang layak bagimu.


wanita, sedarlah betapa mahalnya dirimu. Islam itu menjaga martabat wanita setingg-tingginya, jangan pernah kamu lemparkan martabat kamu dengan melemparkan islam jauh dari hidupmu. Kembalilah kepada tuntutan agama, nescaya kamu menjadi perhiasan dunia yang paling berharga, dan juga di satu masa bakal bergelar bidadari syurga. Syaratnya, agama itu menjadi pegangan juga amanah yang tersemat sentiasa dalam jiwa.


wanita, fahamilah. aku juga seperti kamu. wanita lemah yang tidak berdaya. tapi jauh di sudut hati, aku sangat menyayangi kamu, saudaraku. jadikan dirimu permata yang berharga, bukannya kaca. permata yang dihiasi indah oleh agama, juga cinta kepada Maha Pencipta.

Thursday, 4 August 2011

kelas

maaf, aku tiada niat itu. mencalar nama negara sendiri. jauh sekali. tapi dalam kelas hari ini, apa yang bakal aku ceritakan adalah realiti. kata mereka, negara aku negara demokrasi, mendukung perlembagaan sejati, rakyat itu sentiasa menjadi prioriti. Tapi aku melihat hakikat hari ini, realiti sebaliknya.

mengapa kamu tuduh mereka yang tidak bersalah merosak keamanan? sedangkan mereka rakyat yang patut kamu lindungkan? demonstrasi itu kata kamu hasutan dan ancaman kepada keamanan. neraca apa yang kamu gunakan? mata dan otak, atau ikut suka hati sendiri? terserah.

aku letih dengan tipu daya dan helah kamu. tiba masa nanti, kebenaran akan terbukti. keadilan akan tegak berdiri. maka saat itu jangan pernah terfikir kamu dapat lari. lari dari mimpi yang kamu cipta untuk diri sendiri. negara aku itu amat aku sayangi. dan ketahuilah diri ini tidak akan pernah berhenti melangkah dan mengubah realiti hari ini.

-victoria library, 3:46 p.m.-