Showing posts with label travelog. Show all posts
Showing posts with label travelog. Show all posts

Tuesday, 25 December 2012

Episod2 :Travelog Warna Takdirku Wellington; EMC


dari cuma impian anak kecil yang berusia lima tahun; kini kuasa dan takdir-Nya yang tertulis membawanya mengenal kehidupan di bumi kiwi ciptaan-Nya...



Februari 2010.

diri bergegas ke pintu yang cuma beberapa langkah dari kamar tidurnya. dan ada wajah manis tersenyum menghulur bungkusan buat dirinya.

"adik, ni untuk makan tengahari. kirim sekali pada kawan-kawan serumah ya. petang nanti akak datang untuk bawa jalan dan cari barang" senyuman manis diukir lagi. lantas diri berterima kasih atas budi kakak yang sejak pagi tadi menyambut kami di lapangan terbang; membuat diri terlupa akan gusar sejak tiba di Stafford House ini.

baik sungguh senior ini, detik hati. dan memang rezeki yang tidak disangka-sangka, walau cuma beberapa belas jam berlalu sejak meninggalkan tanah air, nyata nasi bungkus bersama lauk ayam membuat diri rasa cukup bertuah. masih ada nasi di sini? detik hati gembira dan lantas bergegas memanggil rakan serumah, menikmatinya. Alhamdulillah.

keesokannya kami dibawa senior-senior yang teramat baik hati untuk mengenal ibu kota negara biri-biri ini. Sungguh perkara pertama yang terdetik sejak aku kenal nama New Zealand; bukanlah ibu kota canggih dihiasi hutan konkrit seperti di Wellington ini, cuma ladang-ladang terbentang luas yang dihiasi rumput segar nan hijau dihiasi lembu hitam putih dan biri-biri yang comel teramat. itu impian seorang anak kecil ketika berusia lima tahun, anak kecil yang pernah bertanyakan kepada ibunya, mana negara indah milik panorama dalam tin susu fernleaf yang selalu dilihatnya itu? jawab ibu, "itu New Zealand. jika kamu mahu ke sana, belajarlah rajin-rajin. inshaAllah ada rezeki, bakal jadi realiti."

dan anak kecil itu juga pernah terdetik dalam hati kecil yang saat itu teramat mentah untuk kenal dunia, sahabat kecil yang lainnya bertanya, mengapa New Zealand, Farah? bukannya London, Paris atau New York? 

anak kecil itu bertegas; "ahh, kota itu cuma penuh bangunan dan manusia, jauh dari ketenangan. sedang New Zealand itu hijau, penuh mendamaikan. dan aku suka begitu"

dan hari ini, anak kecil ini menjejak kaki melihat dunia; walau Wellington ini adalah ibarat New Zealand pada sudut modennya, namun dia tahu, panorama hijau itu ada di sini, satu saat nanti dia bakal menjejak kaki di ladang hijau impiannya itu, dan mengatakan pada diri, itu bukan lagi mimpi si anak kecil, tapi telah Allah tuliskan baginya menjadi realiti.


Lindale Farm, Kapiti 2010

Subhanallah, alhamdulillah agungnya aturan Tuhan. agungnya kuasa milik-Nya, yang tanpa sedar telah membimbing langkah anak kecil itu hingga ke sini. Kun fayakun...

Ertinya: Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya) dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya:Jadilah engkau! Lalu menjadilah ia.
Al-Baqarah : 117

tangga-tangga dan bukit yang didaki menuntut tenaga yang bukan sedikit. Oh, masih jauh rupanya bangunan gah yang dipanggil universiti. ya, Victoria University of Wellington. itulah sebab yang membawanya ke sini, sedang diri tidak pernah menyangka untuk bergelar mahasiswi di menara gading ini, namun takdir Allah yang mendahului segala-gala membuat diri ini akur. perjalanan masih jauh menanti. 

senior yang turut bersama tadi tidak henti berseloroh dengan kami, inilah tradisi pelajar di sini. mendaki bukit sudah jadi kebiasaan mereka setiap hari, kerana muka bumi wellington ini sudah dihias cantik oleh-Nya, maka cabaran buat kami untuk punya tenaga mendaki dan menjalankan amanah sebagai pelajar. dan setelah seharian diperkenal tentang selok-belok kehidupan sebagai mahasiswa/i di menara gading yang mencecah umur hampir satu abad ini, kami beransur pulang.


dan beberapa ketika setelah melepaskan lelah, ada sesuatu yang menangkap pandangan. nyatanya semalam diri ini masih tidak sempat untuk mengemas bagasi yang penuh berisi untuk disusun rapi, tapi hadiah dari seorang sahabat ini, membuat diri rasa tertanya. apa agaknya yang tersembunyi di sebalik balutan kemas ini?

dan sungguh, aku mengucap syukur, walau sebenarnya diri ini terkejut sedikit, saat balutan hadiah itu dibuka. ada sesuatu yang membuat diri ini kaget, subhanallah pertama kali menerima hadiah buku seumpama itu dari sahabat. terlalu lama tidak membaca sesuatu sepertinya. terlalu lama. dan saat itu aku bertanya ke dalam hati; mencari hikmah apa yang Allah cuba ajarkan kepada diri ini melalui hadiah ini?

tajuk dan kulit buku itu ditatap. karya Burhan Sodiq. 

Engkau Memang Cantik.

#EMC.

"selagi kau reda menerima Islam sebagai satu-satunya cara hidup kerana inilah satu-satunya jalan yang memandu arah dan tujuan, Oleh itu katakanlah pada dirimu sendiri bahawa "EMC selagi kau tampak cantik dalam bingkai cermin berbunga dari kamar bernama iman"

EMC, Burhan Sodiq, m/s ix

air mata mengalir laju.





bersambung.....

Saturday, 3 November 2012

Episod1 : Travelog Warna Takdirku, Wellington; EMC

kerana dalam hidup ini, tiada istilah kebetulan bagi mereka yang benar beriman. dan mereka percayakan walau sekecil dan seremeh bilangan kerdipan mata kita setiap minit; tiada yang mengizinkan-Nya kecuali dengan izin dan takdir Tuhan..

15 Februari 2010.


dia melangkah keluar dari kenderaan yang disewa khas oleh pihak universiti ke rumah penginapan pelajar itu. Stafford House. Sungguh kerdipan mata pada papan tanda itu, disentak hebat oleh hembusan angin laju yang ibarat menusuk ke dalam tulang. Sejuk. Ahh, dahulu dia pernah terbaca, kota ini ditangga pertama, the most windy city in the world. Dia melangkah dengan degupan jantung penuh debar, bukan kerana ini kali pertama menjejak kaki di bumi kiwi, tetapi kerana inilah detik perjalanan kisah baru hidupnya, dan bangunan ini bakal jadi saksi, kehidupan tahun pertamanya jauh dari pangkuan keluarga dan tanah airnya. 

Perjuangan baru bermula. Dia kemudian disapa mesra oleh senyuman wanita yang barusia hampir separuh abad, cukup bertenaga memberi penerangan tentang peraturan dan selok-belok ruang penginapan itu. Saat melangkah, dia merasakan dirinya seolah berada di dimensi lain? khayalankah? namun dia sedar inilah takdir indah yang Allah telah pilihkan untuknya, Jutaan masih menunggu di luar sana; mahu bergelar mahasiswa dan mahasiswi luar negara; dan dia hari ini selangkah ke hadapan untuk merealisasikan impian mereka. sungguh bertuah empunya diri. namun, hati dilambung gelisah, ada sesuatu yang mengganggu fikiran. 

stafford house, 2010
 sebuah apartmen yang punya tiga bilik. ruang tamunya dikongsi dengan ruang dapur. cukup ringkas dan fleksibel. buat anak rantau yang pertama kali menjejak kaki ke tanah orang putih, ini mewah buatnya. dan kerana hidupnya di Malaysia, bukanlah dihimpit kesusahan, namun kesederhanaan telah mendidiknya membezakan dan menghargai. sekali lagi; banyak sungguh nikmat yang Tuhan beri. alhamdulillah, alhamdulillah. nafas dihela tenang, udara di bilik ini lebih nyaman dan selesa buatnya. lantas pandangan tingkap kecil yang dihiasi bangunan-bangunan pejabat yang mencakar langit itu diselak kemas. tiada lagi rumput hijau yang menjadi renungan buatnya. hembusan angin di luar masih seolah mengamuk pada dirinya, terkadang membuatnya gusar. jadi anak kota lagi, bisiknya. Mengenangkan tempat kelahirannya, tiada mampu langsung untuk dibanding dengan kota ini. tapi kehidupan menjadi anak kota ini; dalam hiruk-pikuk kesibukan, pelbagai ragam manusia yang tanpa hentinya mengejar masa, bukanlah asing baginya. tapi, pasti ada sesuatu yang berbeza di sini. lantas dia teringatkan keluarga; tahukah mereka ketibaan di sini? risaukah?

tanpa berlengah dia berlalu memanggil rakan serumah yang cuma berada di bilik sebelah. kebetulan mereka tiga gadis ini, punya 'jodoh'; sejak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); walau masing-masing punya latar belakang berbeza; seorang Biologi, dan seorang lagi Matematik. sedangkan dirinya memilih jurusan TESL di sana, mereka bertemu saat temuduga di Bangunan Mara ibu kota tak lama dulu; maka terbit bibit perkenalan tanpa sengaja kerana mereka semuanya secara kebetulan menginap di kolej kediaman yang sama; Kolej Pendeta Za'ba. Sungguh, dunia ini tidaklah besar mana. dan atas rezeki Tuhan juga, ketiga-tiga dari penghuni apartment 031 ini, berjaya menjejak kaki ke bumi ini. Wellington. itu yang telah tertulis di Luh Mahfuz- Nya. Bukan satu kebetulan lagi.

fikiran ini masih menerawang memikirkan keluarga di Malaysia. lantas dia mencuba ikhtiar untuk menghubungi keluarga melalui password online yang telah diberi. sekarang telefon bimbit bukan lagi medium komunikasi yang murah seperti selalu. dia harus terus cuba. pasti keluarganya masih tertanya-tanya akan keadaannya lagi. tidak berjaya. hampa. dia melepaskan lelah di katil yang disusun rapi; di sebelah meja belajar yang kini jadi miliknya. bagaimanakah? 

kerisauan dirinya bukan sahaja kerana keluarga, ada sesuatu yang masih tidak mahu meninggalkan kotak fikirannya itu. puas sudah dia mengingatkan diri; hidup jadi anak rantau ini harus tabah. belum pun 24 jam di negara orang, mana mungkin dia mampu melawan emosi yang kini menjadi-jadi jika diri tidak dididik untuk tabah hadapi dugaan sekecil ini. saat kerisauan dan kelelahan mulai berperang dalam hati; dia dikejutkan oleh ketukan pintu. ada suara yang memberi salam. em, kenalkah dia dengan tetamu itu?


apartment 031, stafford house

bersambung.........