kabur, samar dan kelabu. mungkin itu sedikit ungkapan saya tentang cuaca yang kurang baik di Malaysia sejak belakangan ini. Namun, di sebalik ujian yang Allah hadirkan buat kita ini, terlalu banyak yang boleh kita pelajari dan muhasabahkan terutamanya diri sendiri. Jujur saat ini saya diuji dengan masa lapang, sehingga saya seolah merasakan sangat 'loser' jika gagal menjadi produktif untuk mengisi hari-hari di rumah ini dengan baik. Mujur ada adik tersayang menemani kerana menghabiskan cuti study week di rumah, hadirlah beberapa peluang untuk saya berkongsi tentang kehidupan, refleksi dan mencari inspirasi. Kita, manusia, terkadang tidak dapat melepaskan diri dari cengkaman sunyi saat sendiri, dan yang lebih bahayanya adalah syaitan itu teramat suka membisik dan menggoda untuk merobekkan iman kita saat sendirian. Dan benarlah kata-kata ini, serigala hanya berani menerkam sang kambing saat ia sendirian.
namun itu bukanlah alasan untuk kita menyalahkan keadaan dan berputus asa. sudah tentu tidak. walaupun dalam keadaan tanah air yang sangat menuntut kesabaran diri untuk mengadaptasi dengan cuaca baru ini, saya cuba untuk memujuk diri menjadi positif. saat diri terkadang berusaha teramat mencari cara selesa untuk menghirup nyamannya udara yang segar, namun haba yang terkadang hangat membaluti tubuh ini, membuat saya refleksi, ah, neraka nanti lebih panas. sudah cukupkah aku berusaha menjauhkan diri darinya, sedangkan hangatnya bumi ini terkadang tiada tertahan lagi. bersyukurlah, bersyukurlah masih diberi peluang untuk berusaha menjauhkan diri dari azab-Nya di akhirat kelak. usaha, tidak sepatutnya terhenti sampai mati.
manusia itu mudah alpa. dan saat kita diuji, kita juga terkadang alpa, merasa diri seolah mampu dan terlupa akan Tuhan yang berkuasa atas segala. Tuhan itu sentiasa melihat dan memerhati tingkah laku kita, tidak pernah leka walau sesaat pun. dan manusia ini sifantya kikir, terkadang terlalu berkira-kira dalam menyumbangkan masanya untuk Tuhan, sibuk dan sibuk teramat dengan urusan dunia. tidak salah mengejar dunia, tetapi jangan biarkan ia menggenggam hati kita, hinggakan masa, tenaga dan harta yang Allah kurnia, kita terlupa akan hak untuk menyumbang kepada islam, kepada kebaikan. sedangkan Allah itu sangat pemurah, Maha Pemurah bagi semua hamba-hamba-Nya.
dunia itu seharusnya jadi ibarat bola sepak, dikejar untuk disepak ke gol (matlamat) dan bola hanya sekadar alat untuk mengejar matlamat. bola itu bukan matlamat, saat kita cuba mengejar matlamat, kita harus mematuhi undang- undang bola sepak (peraturan islam) dan berusaha dengan sepenuh hati untuk mengejar matlamat yang cemerlang di akhirat (gol). Bola (dunia) itu bukan untuk disimpan untuk jadi milik kita selamanya.
dalam surah Az- Zumar ayat 32-35; Allah berfirman "dan orang yang membawa kebenaran dan orang yang membenarkannya, mereka itulah orang yang bertakwa. Mereka memperoleh apa yang mereka kehendaki di sisi Tuhannya, demikianlah balasan bagi orang-orang yang berbuat baik, agar Allah menghapus perbuatan mereka yang paling buruk, yang pernah mereka lakukan dan memberi pahala kepada mereka dengan yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan"
Betapa bertuahnya kita, jika benar menjadi hamba yang membawa kebenaran Islam dan membenarkannya, kerana Allah menjanjikan balasan yang bukan sedikit, tetapi lebih dari apa yang dapat kita bayangkan. dosa diampuni, malah pahala berganda, diberi apa saja yang diminta, dan untuk setiap kebaikan yang dibuat dengan niat yang betul. bayangkan jika telah berbuat kesalahan yang terbesar kepada manusia, sudah tentu sukar teramat buat mereka untuk mengampuni kita, apatah lagi memberi anugerah dan hadiah yang kita ingini kemudiannya. subhanallah. Allah itu sebaik- baik pemberi, tiada apa yang dapat menandingi kurnia-Nya.
Allah memperingatkan lagi kita tentang sifat Maha Pemurah-Nya dalam ayat seterusnya surah az-zumar ayat 53, "katakanlah bahawa hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah mereka berputus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh Allah Dialah Maha Pengampun, Maha Penyayang"
nah, tiada alasan lagi buat kita untuk tidak bermujahadah melawan hawa nafsu dan mencuba sehabis daya mematuhi perintah dan menjauhi larangan-Nya. sungguh, janji Allah itu benar dan pasti. syurga atau neraka itu pengakhiran abadi. pilihan dan usaha di tangan kita saat diri masih dipanjangkan usia dan dikurnia rezeki.
yakinlah, wahai diri dan semua, yakinlah. tiada yang lebih pemurah selain Dia.