Saturday, 2 April 2011

cinta yang lebih indah : bahagian akhir

aku masih di sini. Mensyukuri nikmat cinta itu. Cinta yang hadir dalam hati kepada Ilahi, keluarga dan sahabat yang setia berada di sisi. Maaf, diri ini masih belajar dan akan terus belajar erti cinta hakiki itu. Dan saat ini aku coretkan bicara cinta itu lagi, sekadar bisik ikhlas aku dari hati dan cuma insan kerdil di hadapan-Nya. Semoga sentiasa di jalan-Nya yang lurus untuk kembali menemui Ilahi. Suatu hari nanti.

Cinta dalam hidup manusia itu ibarat nafas yang manusia dahagakan untuk terus menyambung hasrat  menggapai mimpi, meniti hari suka dan duka. Nafas yang menguatkan jiwa tatkala diri berdiri lemah tidak berdaya, juga nafas yang menyembuh segala semangat yang pernah luput dalam diri. Cinta itu hebat dan seharusnya begitu. Selalu. 

Allah berfirman;

Ar-Rum: 21 " Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang berfikir"

Dan kerana cinta itu lumrah dan fitrah dalam jiwa setiap makhluk bernama manusia, lantas ia pasti menyapa kita tanpa kenal waktu dan masa. Namun, saat cinta itu datang, harus bagaimana? Cinta kurniaan Tuhan itu indah dan kerana cinta itulah kita kenal erti pengorbanan, kesetiaan, kejujuran dan keikhlasan. Bagaimana ukuran kamu terhadap cinta? Cinta manakah yang kuat tersemat dalam hati? Jika benar cinta, haruskah dibuktikan? Tanya pada hati, cinta kamu didasari atas apa? 

Dalam karyanya Burhan Sodiq menambah islam tidak menghalang perasaan cinta itu, khususnya cinta kepada wanita, namun cinta itu harus sentiasa terjaga dan terpelihara kesuciaannya. 
Lantas cara paling tepat untuk menjaga dan memelihara agar cinta sentiasa suci, tiada cara lain melainkan akad nikah, dan Islam melarang sama sekali perhubungan  cinta yang tidak dibingkai oleh ikatan perkahwinan. Alangkah indahnya menjalin cinta dengan ikatan halal yang diredhai Allah. 

Hakikat ini mengingatkan aku pada kata-kata indah dari seorang teman, "kasih sayang dan cinta suci manusia kepada manusia lain (termasuk keluarga, sahabat) itu, jika hanya kerana Allah Yang Maha Kuasa,  itulah yang memberi kekuatan kepada mereka untuk saling mengingati dan menuju syurga-Nya" Subhanallah. Tambah temanku, "manusia itu akan saling menyalahkan antara satu sama lain termasuk ibu bapa mereka sendiri, walau mereka begitu kuat sayang cintanya di dunia, jika tidak mencintai kerana Allah s.w.t., "

Cintalah kerana Allah......



Mencintai seseorang kerana Allah? Sayang keluarga dan sahabatmu hanya kerana-Nya. Memang seharusnya begitu. Jika cinta kepada manusia hanya kerana Allah, lantas dia akan selalu memohon kepada Allah agar menjaga hatinya, supaya tidak digoda syaitan dan hawa nafsu yang melekakan. Jika benar cinta kerana Allah, dia akan berusaha sedaya upaya mencapai cinta dengan jalan yang diredhai-Nya, iaitu perkahwinan. Jika benar cinta kepada Allah, dia akan berkorban segala dan  mengubah diri menjadi yang terbaik, sehabis daya supaya Allah redha dan bukan supaya dipandang manusia.

Manusia itu punya kelemahan. Tidak akan pernah sempurna, kerana sempurna itu hanya milik Tuhan. Dia Maha Kuasa atas segala. Tapi manusia dikurnia kudrat untuk berusaha, tawakal dan berdoa. Berdoalah kepada-Nya agar sentiasa diberi petunjuk menuju cinta hakiki. 


Dan saat cinta itu hadir dan mekar dalam hati, tanya pada diri. Sediakah kamu mengharung juta diri mencapai cinta itu melalui jalan yang Allah redhai?

Punya jawapannya? Jika tidak bersedia, lantas mungkin masanya belum tiba dan diri ini masih banyak perlu diperbaiki. Maka, simpan dan pendamlah cinta itu jauh dalam sudut hati. Suatu saat nanti, dengan izin-Nya, bakal jadi realiti dengan usaha, doa dan tawakal itu. Kerana semuanya telah tercatat di Luh-Mahfuz sejak roh manusia itu ditiupkan ke dalam jasadnya termasuk rezekinya (jodoh). Jangan pernah ragu hakikat itu.


Dalam sebuah hadis marfu' dari sahabat Abbas dan Aisyah, "barangsiapa yang bercinta lalu mampu menahan diri dari perkara yang dilarang, serta dapat menyembunyikan perasaannya, kemudian dia mati, maka dia mati syahid"


Analogi menarik Burhan Sodiq dalam karyanya, "jika benar sudah bersedia bercinta dalam redha-Nya (perkahwinan), maka tekan minyak. Namun jika masih ragu dan tidak bersedia, tekanlah brek sekuatnya, dan lepaskan bila anda sudah bersedia menghadapi segala."


Percayalah pada janji Allah, yang terbaik hanya untuk yang terbaik begitu juga sebaliknya. Berusahalah sehabis daya memperbaiki diri, kerana Allah Yang Maha Mengetahui segala yang terbaik buat hamba-Nya, bukan manusia. Cinta itu milik-Nya, juga kurniaan-Nya. Juga peringatan buat diri aku sendiri, hamba yang sentiasa ingin mengharap redha-Nya. InshaAllah.




Sunday, 27 March 2011

cinta yang lebih indah : bahagian II



aku pernah bicara tentang setiap orang yang punya definisi cinta berbeza itu. Tapi aku tahu, dan sentiasa mahu ingatkan hati itu, tiada cinta yang lebih agung selain cinta kepada Tuhan yang satu. Dan selayaknya sebagai hamba, cinta kita hanya untuk Dia, bukan pada manusia atau harta. InshaAllah.

Mengapa kita bercinta? Atau mengapa kita rasa perlu dicintai? memetik kata Burhan Sodiq dalam karyanya, beliau  mengatakan ada tiga sebab manusia itu jatuh cinta.

-Pertama, kerana Allah memberi fitrah kepada manusia untuk mencintai keindahan sehingga kita mudah kagum dengan dan kecantikan yang nampak pada zahir. Allah memang menciptakan keindahan kerana Allah itu indah dan mencintai keindahan.

-Kedua, kerana manusia cenderung dengan sifat lemah dan tidak berdaya. Oleh itu manusia akan mencari seseorang atau sesuatu yang dapat memberi kekuatan, keperkasaan dan kegagahan.

-Ketiga, kerana sifat manusia cenderung memerlukan orang lain. Tidak berdaya hidup sendirian sehingga rasa memerlukan itu akan menimbulkan rasa sayang, rasa untuk tidak menyakiti, lantaran dia atau mereka itu adalah orang yang kita perlukan.

Al Imran: 14 " Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta dari emas dan perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang sebaiknya (syurga)"


Dalam Islam terdapat peringkat-peringkat cinta, siapa yang harus didahulukan dan siapa pula yang harus diutamakan dan siapa pula yang harus diakhirkan.

Pertama, yang juga peringkat paling tinggi dan utama adalah tatayyum, iaitu cinta kepada Allah, yang merupakan hak Allah semata. Kedudukan-Nya tidak boleh diletakkan kedua atau ketiga. Ungkapan " kau selalu di hatiku, ku sebutkan namamu dalam setiap detik jantungku" cintaku hanya untukmu' selayaknya ditujukan hanya kepada Allah, kerana Dia yang telah memberi rahmat kepada kita sejak dari dalam rahim ibu itu.

Al Baqarah: 165 " Bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya"


Peringkat kedua, 'isyk yang hanya milik Rasulullah s.a.w. Cinta yang melahirkan sikap hormat, patuh, ingin selalu membelanya, ingin mengikutinya, mencontohinya tapi bukan untuk menghambakan diri kepadanya. Kita rindu kepada baginda kerana kemuliaan yang ada pada Rasulullah dan kita mencuba untuk mencontohinya dalam setiap aspek kehidupan itu.  Demikian juga membela sunnah-sunnahnya bila sunnahnya diinjak-injak orang lain.

Al Imran: 31 " Katakanlah jika kalian cinta kepada Allah, maka ikutilah aku Rasulullah, maka Allah mencintai kalian dan mengampuni dosa-dosa kalian"


Subhanallah, besarnya nikmat cinta kepada Rasul itu. Alangkah indahnya jika manusia memahami cinta kepada Rasul itu. Dan aku sendiri, sentiasa cuba untuk mengingatkan diri, cinta kepada Allah dan Rasul itu harus tersemat kuat dalam hati, semoga menjadi kekuatan untuk menegakkan agama Allah di muka bumi. InshaAllah :)

Peringkat ketiga, syauq iaitu cinta antara mukmin dan mukmin yang lainnya. Antara suami isteri, ibu bapa dan anak-anak yang membuahkan rasa mawaddah wa rahmah. Cinta suami yang sepenuhnya kepada isterinya, cinta ayah kepada anaknya. Walau ada kalanya timbul perselisihan,  akan mudah diselesaikan kerana aspek cinta mereka yang begitu besar. Cinta ayah kepada keluarga, yang sanggup berkorban harta, jiwa dan raga untuk kebahagiaan rumah tangganya. Subhanallah.

Peringkat keempat, shababah iaitu cinta sesama muslim yang melahirkan ukhuwwah islamiah. Cinta yang menuntut kesabaran untuk menerima perbezaan dan melihatnya sebagai sebuah hikmah yang berharga. Misalnya berbeza cara gerakan solat. Walau ada kalanya perbezaan sekecil ini mampu menimbulkan perpecahan kerana tidak ditangani dengan dewasa.

Peringkat kelima, 'ithf, (simpati) yang ditujukan kepada sesama manusia. Rasa simpati yang cenderung menyebabkan manusia untuk menyelamatkan manusia lain, termasuk juga dalam konteks dakwah, iaitu menyebarkan prinsip agama sebenar yang seharusnya menjadi pegangan hidup saudara seagamanya.

Peringkat keenam, cinta yang paling akhir iaitu cinta yang paling rendah martabatnya, iaitu cinta atau keinginan kepada selain manusia, iaitu harta benda. Namun cinta in sering kali menggelincirkan manusia jika tidak dikawal. Justeru kita harus bijak menanganinya dengan menguatkan iman untuk mengawal hawa nafsu dan pujukan syaitan itu.

Masih panjang penjelasan tentang cinta yang lebih indah itu. Mohon maaf aku jika tersilap bicara, aku manusia lemah dan hanya mengharap belas dari-Nya, yang buruk itu kelemahan aku, yang baik itu datangnya dari Allah Yang Maha Kuasa. Harap sabar menanti sambungan seterusnya :)

Thursday, 24 March 2011

cinta yang lebih indah- bahagian I



InshaAllah, kali ini rasanya lebih berani nak kongsi pengalaman diri. Cerita jadi anak rantau. Alhamdulillah, Tuhan itu Maha Penyayang dan selayaknya semua rasa syukur dan cinta itu hanya dituju untuk-Nya yang Maha Kuasa. Kali ini aku nak bercerita, walau mungkin bukan semua, tapi di sebalik pengalaman dan masa yang mengajar diri ini jadi lebih matang, banyak yang aku ingin kongsikan. Walau mungkin tidaklah sehebat mana, cukuplah sebagai coretan untuk rakan yang sudi menjenguk tulisan aku yang tidak seberapa ini. Dalam bahagian pertama ni, aku nak kongsi cerita indah tatkala pertama kali menjejak kaki di bumi nz ini. 

Dulu aku selalu tanya pada diri sendiri? Apa sebenarnya yang aku cari di bumi asing ini. Adakah sekadar segulung ijazah yang membuktikan aku pernah belajar di negara itu? adakah untuk berseronok melancong sana sini menikmati indahnya hidup di perantauan itu? Apa hikmah Tuhan hantar aku ke sini, sedangkan ada kalanya aku rasa seolah bermimpi dan tidak percaya hakikat aku sudah berada di sini. Apa yang ada di sini, dan tidak mampu aku cari di tanah air sendiri? Alhamdulillah, Tuhan itu Maha Kuasa dan lama-kelamaan aku mula sedar, beza tanah air dan bumi asing itu. Hikmah mengapa aku berada di sini. Tanggungjawab yang kini belum pernah aku sedar di tanah air, kini aku makin mengenalinya. InshaAllah.


Di malaysia, aku ibarat berada dalam ‘zon selesa’, mengikut arus dan majoriti, tanpa fahami niat sebenar..solat, puasa, zakat tu mungkin sudah biasa..insyaAllah.Tapi gaya hidup? Emm..selama ni ikut sedap rasa dan bisik hati saja..bila kat nz ni, orang putih semua pandang lain mcm, pakai tudung tu macam  pelik sangat di mata mereka..diperhati dan susah untuk bergaul, sentiasa rasa dinilai orang..dan ada kalanya waktu malam berjalan seorang diri, lagi risau, banyak orang mabuk menghembur kata-kata kesat kerana tahu kita adalah muslim..emm.  tiba-tiba rasa islam tu susah sgt nk dipraktikkan..barulah nak hargai masa kat malaysia dulu ..ada kalanya diri ini terasa kerdil sekali. Tapi bila kita sedar yang kita inshaAllah berpegang pada prinsip yang benar, rasa itu terus hilang., dulu islam pada aku hanya pada nama..dan kini nikmat dan pengajaran yang aku kutip ketika berada di negara orang itu, memang sangat disyukuri…(^_^)


Makin lama makin banyak yg dipelajari..dan bila banyak yg difahami, diri ini mula merasakan bnyak tanggungjawab yang perlu dipenuhi, terutamanya sebagai muslim. Perbuatan dan tutur kata itu refleksi diri, bukan sebagai seorang pelajar, bukan sebagai rakyat Malaysia, tapi membawa imej yang jauh lebih penting dari itu, imej seorang Muslim. 

Rasanya cukup di sini sebagai permulaan kepada tajuk ini. Sebenarnya ada perkara yang lebih menarik aku belajar di negara ini, nikmat cinta hakiki. InshaAllah. Setiap orang itu punya definisi cinta mereka sendiri dan jauh sekali aku layak mengatakan mana satu definisi cinta yang tepat. Namun perjalanan beribu batu dari tanah air ke bumi asing ini, sejujurnya telah mengubah definisi cinta aku dahulu. Definisi aku dahulu yang cuma memandang sepi erti cinta hakiki dan suci. Aku masih cuba kenal dan faham cinta itu, tidak akan pernah berhenti. Semoga Allah permudahkan. InshaAllah. Nantikan sambungan entri ini di lain waktu. Maafkan bahasa aku yang picisan cuma. Semoga terus kuat mengejar cinta-Nya :) 

Friday, 18 March 2011

pesan ayah pada aku

aku seolah mahu lepaskan segala tangis rindu pada kamu. Ayah. Saat mendengar suara kamu yang penuh rasa rindu, aku seolah mahu terbang saat itu. Terbang ke sana di samping kamu, kerana aku rindu dan cinta amat pada kamu. Memang ayah cuma insan dan lelaki biasa yang punya ego. Tapi aku tahu di sebalik ego itu, tersimpan cinta dan sayang kuat kamu pada aku. Saat kamu tegas pada aku, saat kamu tidak jemu mengingatkan aku. Tentang betapa penting sihat itu buat aku. Perlunya gigih usaha itu, tanpa kenal putus asa. Memang nasihat itu tidak pernah aku lupa, saat diri ini ini diberi ujian dari- Nya.

Pesan ayah pada aku. Kuatkan diri, jangan tinggal solat itu. Solat itu menjaga diri. Pesan ayah, jaga pemakanan kamu. Ayah memang sangat faham aku. Tatkala cuti di tanah air, dia teman setia aku di rumah. Walau ayah tidak pernah bertanya betapa perit, suka dan duka jadi anak rantau itu, sedangkan aku yang gembira teramat bercerita kepadanya, bezanya tanah air dengan negara mat saleh itu. Ayah mendengar seolah berminat, tapi aku tahu jauh di sudut hatinya, dia percayakan aku. Dan ternyata rasa percaya dia pada aku itu, menambah sayang aku padanya. Semoga tiap kebebasan dan percaya yang ayah beri pada aku, dimanfaat untuk yang terbaik. InsyaAllah.

Pesan ayah pada aku. Aku pernah sakit dahulu. Saat aku dalam tahun pertama kelahiranku, ayah dan mama tidak pernah putus asa berdoa dan berusaha agar aku sembuh segera. Cerita ayah pada aku, tahun itu ayah dan mama berulang alik ke hospital, merawat aku. Alhamdulillah, sehingga hari ini aku masih bernafas. Syukur pada Tuhan. Pesan ayah pada aku, aku harus peka tentang sakitku. Kata ayah, aku sensitif amat pada cuaca. Hujan dan cuaca sejuk itu berisiko buat aku. Pesan ayah pada aku, jangan makan makanan yang sejuk, amalkan makan madu, ini dan itu. Pesan ayah pada musim cuti lalu, sebelum kembali ke bumi wellington ini, kuatkan hati dan doalah pada-Nya selalu. Tuhan sentiasa bersama hamba yang ingat pada-Nya. Akan aku selalu ingat itu.

Maafkan aku ayah. Saat ini aku masih cuba jadi anak kuat itu. Semoga cinta dan sayang amat kamu pada aku, akan terus menguatkan langkah anak kerdil ini untuk capai bintang kamu. Semoga diri ini tabah mengejar cita di bumi yang sentiasa mengingatkan aku pada dekatnya mati itu. Aku mahu jadi bintang. Bintang yang dapat kamu banggakan selalu dan walau aku tahu jasa kamu itu tidak terhitung, doa itu sentiasa aku titip buat kamu. Semoga dirahmati-Nya selalu dan semoga aku dapat berbakti untuk kamu, ayah tercinta. Selalu.

Tuesday, 15 March 2011

bisik hati kamu

entri istimewa buat adik tercinta yang menyentuh hati hari ini, kakak teramat sayang kamu selalu...

tatkala awan mendung menampakkan wajah di kala hari penuh dingin ini, kamu datang bersama suara itu. Suara dari bisik kalbu. Suara yang pada aku punya sejuta makna dalam kata. Bisik hati kamu pada hati ini, jua bisik harapan kamu pada satu cita dan angan tinggi. Kamu mahu genggam mimpi indah itu dalam diri. Cuma kita yang mengerti. Kamu punya hati kuat itu untuk kamu gapai mimpi jadi realiti. Selalu ingat itu.

Kamu insan aku yang aku sayang selalu. Walau sukar untuk aku ungkap pada bibir, tapi rindu dan cinta kamu selalu aku semat dalam hati. Bicara kamu tentang warna dunia yang aneka, bicara kamu tentang manusia yang punya sejuta warna dan rupa. Ingin sekali aku tatap wajah kamu dan cerita semua kisah suka dan duka saat ini. Cerita tentang aku yang selalu rasa bersendiri. walau aku tahu, Tuhan itu sentiasa di sisi dan atas sebab itu aku masih memujuk diri tabahkan hati, namun aku sering rindu senyum dan tawa kamu yang mewarnai hari pada masa lalu. Aku mahu lontarkan resah pada kamu yang mengerti tentang duka dan rasa sunyi ini. Saat aku rasa masa itu sesaat cuma, saat aku rasa dunia itu kosong dan mula hilang warna. Saat aku bertanya pada diri, mana satu mimpi yang aku cari. Juga saat diri ini tidak terdaya dan lemah dalam sakit yang kadang kunjung tiba.

Aku rindu bicara kamu tentang segenap cerita aku pada kamu. Mungkin kita dipisahkan jarak dan masa, tapi hakikatnya kamu selalu dekat di segenap rasa dan ketika. Biar aku genggam rindu dan cinta sayang yang kuat pada kamu, untuk aku kira detik waktu masa kita akan bertemu. Semoga kamu dilindungi-Nya selalu. Itu doa aku.

buat kamu

setiap insan itu punya kelemahan, termasuk diriku sendiri. tapi kamu, yang aku anggap sahabat, pinta aku cuma satu..kerana kelemahanku tidak mampu buat kamu mengerti, maafkanlah..dan ketahuilah sehingga saat ini, aku masih buntu. buntu untuk memahami apa sebenar yang harus ku lakukan setelah apa yang aku lalui. tapi kamu yang tidak mengerti, jangan cuba sakiti aku. hati ini memang serapuh kaca, yang retak menanti belah..aku mohon kamu, ya, kamu sahabat, temanku, supaya terus bersabar denganku, bukan niatku untuk melukai kamu, tapi aku sedang mencuba yang terbaik buat aku dan kamu, dan semua.

cukup sekadar apa yang kamu tahu tentang aku. biarkan aku simpan semuanya, kerana aku belum merasa kamu bersedia, untuk tahu hakikat itu. walau betapa pahit untuk aku telan semuanya, tapi aku tahu rasanya pasti lebih pahit buat kamu untuk mengerti saat ini. aku perlu waktu, waktu yang aku harapkan dapat membuat kamu dan aku lebih mengerti. lebih fahami semua ini. sahabatku, terima kasih buat semuanya, tiap kata dan waktu yang pernah aku kongsi bersamamu, aku hargainya. hanya doa yang mampu aku titipkan buat kamu sahabat, agar terus tabah menghadapi hari-hari seterusnya. maafkan aku yang tak sempurna, maafkan aku yang buat kamu terluka, bukan niatku begitu, tapi harap aku cuma satu, biar waktu yang menentukan segalanya. tabahkan hatimu, agar hatiku ini juga tabah melihat kamu. maafkan semuanya, aku sahabatmu yanglemah, hanya berharap agar Yang Maha Esa akan memudahkan segala. InsyaAllah.