pertengahan ramadhan telah meninggalkan kita beberapa hari yang lalu, dan tanpa kita sedar kita sudah menghampiri 10 hari terakhir bulan yang mulia ini. sedih atau gembira? jujur saya katakan, kita seharusnya risau jika kita tidak berasa apa-apa malah tidak merasai kesedihan kerana bulan yang dirahmati Allah ini berlalu dengan begitu cepatnya, kerana Ramadhan ini terlalu berharga, dan bermakna jika kita sedar akan hikmahnya dan berusaha memanfaatkannya. Bulan inilah peluang untuk mendidik nafsu diri, mengajar erti sabar dan ketabahan hati, mendidik rasa ikhlas dalam beribadat mencari redha Ilahi. Anda perlu sedih, tapi apa yang lebih penting adalah untuk memotivasikan diri menambah amal menambah bekal dengan masa yang masih berbaki ini. Ayuh, sama-sama teruskan usaha menjadi hamba Allah yang rabbani.
baru-baru ini saya telah mengikuti satu program anjuran Wellington Malaysian Student Organization (WMSO) di sini tentang Ghazwul Fikr, atau dalam kata lainnya, serangan pemikiran. Namun bukan itu yang akan saya bahaskan di sini hari ini, cuma saya sekadar ingin berkongsi dengan anda tentang sebuah hadis yang cukup memberi kesan kepada saya, dan juga merupakan intipati kesan Ghazwul Fikr itu sendiri. Saya telah mendengar hadis ini sejak tahun pertama menjejak kaki di bumi kiwi ini, tetapi baru-baru ini saya merasai keperluan untuk saya berkongsi serba sedikit dengan anda tentang hadis ini.
Rasulullah s.a.w bersabda :
"Hampir tiba masanya kamu dikerumuni oleh manusia seperti mana orang-orang mengerumuni sesuatu hidangan" Berkata seorang sahabat, "Adakah ia lantaran pada waktu kita yang sedikit?" Nabi menjawab, "Tidak, sebaliknya kamu ramai tetapi kamu menjadi seperti buih ketika berlaku banjir. Allah mencabutkan rasa gerun dari hati musuhmu dan memasukkan perasaan wahan ke dalam hatimu." Sahabat-sahabat bertanya, "Apakah itu wahan?" Bersabda nabi, "Cintakan dunia dan takutkan mati ".
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Saya pasti ada di kalangan anda pernah mendengar tentang hadis ini. Pertama kali saya mendengarnya, saya kurang mengambil perhatian tentang analogi buih, dan lebih menekankan kepada wahan. tetapi bila saya amati kembali analogi buih itu, barulah saya faham dan terkesan betapa rendahnya nilai umat Islam saat ini, hanya ibarat buih, bukan buih dalam minuman coklat panas yang gemar dihirup, tetapi buih yang datang ketika bencana seperti banjir, yang langsung tidak dipeduli kehadirannya. Kita seperti buih? tidakkah anda merasa sedih? bukankah umat Islam satu masa dahulu pernah menjadi rujukan ilmu dari seluruh dunia, di masa kegemilangannya ketika Bani Abbasiyah memerintah? Mengapa kita sekarang menjadi buih??
buih ketika banjir? |
Saya tinggalkan persoalan di atas setakat itu. Saat ini, saya ingin anda cuba memahami apakah kita selama ini tahu apa matlamat sebenar kehidupan kita di muka bumi ini? Lebih-lebih lagi sebagai seorang yang menjadi duta kepada agama Islam, agama terbaik yang Allah turunkan untuk menjadi rahmat kepada semua umat manusia, tanpa mengira bangsa. Mengapa umat Islam saat ini dipijak-pijak ibarat kain buruk yang usang dan lusuh? mengapa maruah kita dikoyak dan dirobek sebegitu rupa? (maksud saya, lihat realiti saudara kita di Syria, Palestin, Myanmar, Iraq, Afghanistan and the list goes on,...........Malaysia dengan serangan pemikirannya, hidup seperti robot yang tak kenal tujuan hidup?)
Apa tujuan hidup?
Allah berfirman surah Al-Baqarah ayat 30 :
“(Ingatlah) ketika Tuhan mu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku akan menjadikan seorang khalifah di atas bumi . Maka jawab mereka itu : Adakah patut Engkau jadikan di atas bumi orang yang akan berbuat bencana dan menumpahkan darah sedangkan kami tasbih memuji Engkau dan mensucikan Engkau? Allah berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui.”
Firman Allah swt dalam Surah Ad-Dzariyat, 51:56 :
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepada-Ku”
Khalifah? tegakkan Islam dan sebarkan agama di bumi ini. Perkataan dakwah bukan perkataan ekstremis kerana itu kewajipan kita. Mahu atau tidak, buktinya ada di dalam Quran. Dan tugas sebagai a'bid atau hamba Allah yang ikhlas beribadat kepada-Nya, semata-mata. Jasad yang ada ini cuma pinjaman untuk kita melaksana perintah di atas. Bukannya milik kekal kita. Dan saya tidak perlu hurai panjang lebar tentang akibat orang yang melanggar perintah Allah, kita belajar pendidikan Islam sejak dari tadika, malah ada yang lebih awal dari itu. Langgar perintah Allah-dosa-??? Ikut perintah Allah-pahala-???
Realitinya tidak ramai yang menyedari itulah sebenar matlamat kehidupan ini. Menjadi abid dan khalifah di muka bumi. Kita tanpa sedar menjadikan kurniaan Allah (harta, jasad, rezeki, kerjaya, manusia, hatta apa sahaja di dunia ini) yang dipanggil 'alat' untuk mencapai matlamat, sebagai matlamat itu sendiri. Tidak percaya? contoh terdekat, mengapa orang yang memegang kuasa (muslim) ada yang sanggup menerima rasuah? kerana dia bekerja dan berkhidmat bukan kerana Allah (matlamat) tetapi untuk kepentingan diri (harta & dunia = alat). contoh lain, kita belajar pendidikan Islam sejak sekolah rendah, agama dll; tapi mengapa sekarang kita seolah-olah lupa, tidak lagi boleh mengingati semua fakta sirah seperti yang kita berjaya jawab dengan yakinnya dalam peperiksaan? kerana mungkin sahaja kita belajar kerana (manusia (ibu bapa) dan kerjaya= alat) bukan beribadah menuntut ilmu kerana Allah (matlamat).
beza manusia yang menjadikan alat sebagai matlamat mereka adalah mereka tidak bakal pernah merasa puas dengan apa yang telah dicapai, dan mungkin sahaja menyalah guna untuk kepentingan nafsu dan diri. kerana alat itu sendiri tidak mampu menjanjikan apa-apa, melainkan kesenangan yang singgah sebentar dan bersifat sementara. dan apabila manusia begitu gelojoh memenuhi tuntutan "alat" ini sebagai matlamat mereka, saat itulah syaitan dan nafsu datang memujuk untuk terus menerus melupakan matlamat mereka yang sebenar, seperti yang tertulis di atas, abid & khalifah.
lantas, apa yang harus kita lakukan? saya ingin mengajak anda, untuk kembali bermuhasabah tentang apa juga perancangan, keinginan, cita-cita juga impian anda, untuk menilai sejauh mana anda mampu memanfaatkannya untuk melaksanakan matlamat 2:30, dan 51:56 di atas? tidak salah mahu berharta banyak, tetapi merancanglah bagaimana untuk menyalurkan harta itu untuk umat yang serba kekurangan juga. Tidak salah ingin menjadi doktor falsafah, asalkan anda juga berfikir bagaimana anda mampu menarik ramai orang untuk bercerita tentang keindahan Islam dan mengembalikan orang lain kepada matlamat sebenar.
Ayuh, kita semak kembali semua impian dan cita-cita, bahkan urusan kehidupan seperti makan dan tidur pun haruslah betul matlamatnya. Makan bukan untuk kenyang, tapi agar diberi kesihatan yang baik dan mampu beribadah kepada Allah, tidur bukan kerana mengantuk atau penat, tetapi kerana ingin memenuhi hak diri agar mempunyai tenaga melakukan urusan sehari-hari. Semuanya harus kerana Allah. Bahkan saya yang menulis saat ini, perlu sentiasa meluruskan niat, menulis bukan kerana manusia tetapi kerana mencari keredhaan Allah dengan mengajak manusia berfikir tentang islam. InshaAllah.
Gunakan alat untuk mencapai matlamat (redha Allah), bukannya menggunakan matlamat untuk mencapai alat.
Ingatlah matlamat sebenar kita dalam kehidupan ini, menjadi abid dan khalifah, bukan mengejar 'alat' yang menyebabkan kita menjadi ibarat buih saat kebanjiran, kerana penyakit wahan & bakal mencelakakan kita di akhirat. Nauzubillah, moga dijauhkan.
Enggan jadi buih,
No comments:
Post a Comment