Saturday, 26 April 2014

A sharing session with Salim A.Fillah : Kisah Julaibib yang penuh ibrah

Bertempat di Coburg Mosque (surau KITA) di Melbourne pada malam 23 April lalu, ana sempat mengikuti sesi perkongsian bersama Ustaz Salim A.Fillah, berikut merupakan satu daripada banyak cerita yang menyentuh hati ketika mendengar perkongsian dari beliau, mashaAllah.

Moga bermanfaat inshaAllah. 

Kisah Julaibib

Tersebut kisah seorang sahabat bernama Julaibib, beliau sering tidak dipeduli oleh banyak orang yang berada di lingkungannya. Dan adapun rupa Julaibib, bukanlah seindah orang biasa, dia diceritakan tidak punya paras rupa yang menarik,dan sering dikatakan punya rupa pelik, sepelik namanya. Namun, Julaibib tidak pernah menjadikan itu sebagai penghalang buat dirinya untuk mengabdi diri kepada Allah, menjadi hamba yang baik yang senantiasa berusaha menyumbang untuk Islam bersama-sama para sahabat yang lain juga bersama Rasulullah saw yang dicintainya.

Dan kerana kegigihan beliau ini, Rasulullah sentiasa menyenangi Julaibib di sisinya berjuang. Dan pernah suatu ketika Rasulullah saw bertanyakan kepada Julaibib, mengapa dia masih belum bernikah, maka dijawabnya Julaibib, dia malu dan merasakan dia tidak layak buat meminang anak gadis kerana rupanya yang dirasakan jelek oleh banyak orang. Namun, Rasulullah akhirnya membantu Julaibib, dengan melamar seorang gadis untuk diri Julaibib, dan bapa kepada gadis itu gembira bukan kepalang kerana menyangkakan Rasulullah saw meminang gadis buat baginda. 

Baginda kemudiannya menjelaskan bahawa anak gadis beliau dipinang bagi pihak Julaibib. Mendengar jawapan baginda saw, sang bapa merasa keberatan, memandangkan sebelum ini dia dan isterinya juga telah banyak menolak pinangan para saudagar di Mekah yang datang untuk melamar anak gadisnya. Namun, si anak gadis itu, tanpa ragu, menyatakan pendiriannya kepada sang bapa, bahawa jika Rasulullah saw yang membuat keputusan untuk meminang dirinya buat Julaibib, dia sanggup menerima dengan penuh lapang dada, walaupun rupanya yang teramat cantik itu, pada kebanyakan orang tiadalag setanding buat Julaibib.

Tidak dapat dipastikan, berapa lama setelah Julaibib menikahi si gadis rupawan itu, namun ada yang mengatakan cuma sehari atau beberapa hari menikah, Julaibib telah dipanggil untuk panggilan jihad mempertahankan Islam di medan perang. Makanya, julaibib dengan rasa penuh semangat menyahut panggilan itu, namun sebelum itu, telah dia pesankan pada isterinya, bahawa jika dia tidak pulang, iaitu syahid di medan perang, maka Julaibib dengan rela hati membenarkan isterinya itu untuk bernikah dengan orang lain, walau mereka terlalu singkat baru menikah.

Dan pada saat muslimin telah selesai berperang dengan musuh Islam, maka Rasulullah dan para sahabat sibuk menguruskan jenazah dan sahabat-sahabat yang tercedera selepas pertempuran. Maka, pada hujungnya Rasulullah saw bertanyakan adakah mereka kehilangan seseorang. Dan mereka dengan yakin menjawab, "tidak ya Rasulullah, semuanya sudah ditemukan dan dikumpulkan. Rasulullah bertanya lagi, "adakah kamu kehilangan seseorang?" Dan mereka tanpa ragu lagi memberi jawapan yang sama. Dan kemudiannya, mereka baru menyedari bahawa Julaibib masih belum ditemukan. 

Setelah mencari, mereka menemukan jasad Julaibib yang penuh luka, bersama beberapa mayat musuh Islam di kelilingnya, jasad Julaibib penuh luka di bahagian depan, menunjukkan betapa dia tidak gentar melawan musuh hingga ke akhir, walau berhadapan dengan ramai musuh dan dia cuma seorang. 

Dan akhirnya, Julaibib mencapai impiannya menjadi seorang yang syahid fi sabilillah. Rasulullah saw begitu mengagumi pengorbanan dan contoh yang Julaibib berikan, Rasulullah saw sendiri kemudian mengangkat jasad Julaibib, didukungnya ke bahunya, kemudian baginda saw sendiri mengkafankan mayat Julaibib. Para sahabat sungguh merasa cemburu dengan penghormatan yang diberikan kepada Julaibib itu, dan akhirnya Rasulullah saw juga yang mengangkat jenazah Julaibib untuk disemadikan ke dalam liang lahad.

Dan isteri Julaibib yang kehilangan suaminya itu kemudiannya bernikah dengan beberapa orang lagi, dan kesemuanya suaminya itu juga syahid di medan perang. Sehingga pernah suatu saat, isteri Julaibib mengatakan, jika ada sesiapa yang ingin syahid di jalan Allah swt, maka menikahlah dengan dirinya.

Betapa, melalui kisah ini terlalu banyak pengajaran dan ibrah untuk kita kutip, dan betapa Allah swt itu akan memuliakan manusia yang benar-benar ikhlas berjuang demi mencari redha-Nya semata, walau mungkin pada mata manusia di dunia, mereka bukanlah orang yang disanjung kerana harta, atau rupa, tetapi ternyata itu bukanlah faktor untuk mengukur taqwa, kerana Allah swt lebih tahu dan Dia yang Maha Mengetahui siapa yang benar-benar layak melihat wajah-Nya kelak. 


No comments:

Post a Comment