Thursday, 4 October 2012

secebis dari tahun tiga

tahun ketiga di New Zealand bakal melabuhkan tirainya beberapa minggu lagi, dan jujur saya akui terlalu banyak pengalaman, kenangan mahupun yang manis atau sebaliknya telah terukir. Namun perjalanan hidup ini masih panjang atau dalam kata lainnya; tiada pernah kita tahu adakah bersambung sehingga tertunai semua hasrat dan impian kita. Kerana Allah lah yang paling berhak menentukan panjang pendek usia kita; rezeki dan juga kejadian dan peristiwa sepanjang melalui kehidupan ini. kerana semoga dengan masa yang tersisa kita sentiasa mendapat keberkatan masa dari-Nya.

kerana Dialah Yang Maha Kuasa; yang telah menciptakan alam ini, dan semua makhluk-makhluk yang terdahulu, sekarang dan akan datang. Tiada alasan untuk manusia mengatakan semua ini terjadi dengan sendirinya; tanpa ada pencipta yang memulakannya. Baru-baru ini saya menghadiri sebuah forum anjuran Vic Muslims (persatuan pelajar Islam dari serata dunia; di Victoria University) yang melibatkan panel-panel dari beberapa negara Arab dan Fiji. Muncul persoalan tentang mengapa Islam dikaitkan dengan keganasan; atau teroris. Sungguh; saya kagum teramat mendengar petahnya bicara salah seorang panel dalam menghalusi perbicaraannya untuk menjawab persoalan tersebut daripada pelajar bukan muslim yang bertanya. Senyuman manis tidak pernah lekang dari bibirnya; saat berbicara mengenai isu sensitif umat Islam dan beliau cukup yakin dalam memberikan hujah berdasarkan contoh dari Al- Quran yang cukup meyakinkan; bahasa yang sangat sopan dan penuh hormat.

mengapa saya bercerita tentangnya? sebenarnya kita dalam kehidupan seharian ini perlu banyak belajar daripada mereka yang lebih banyak ilmu dan pengetahuan; terutama sekali dalam memberikan nasihat atau teguran; barangkali juga saat memberikan jawapan kepada persoalan. jangan biarkan diri kita menghukumi seseorang kerana prasangka buruk kita kepadanya; atau bertindak melulu dengan berbahasa yang kurang sopan kerana emosi yang tidak terkawal. fitrah manusia adalah mereka berhati lembut; walau mungkin ada sesetengah daripada kita mengaku mereka tidak begitu sensitif; tetapi percayalah manusia mana yang mahu menerima nasihat jika dirinya tidak diperlakukan dengan sopan dan hormat? maka berhati-hatilah saat kita cuba menyantuni pelbagai ragam dan peringkat umur manusia; berlainan jantina; berlainan negara, semuanya perlukan pendekatan yang berbeza. 

Walau terkadang kita tidak mampu mengenal mereka dengan kadar segera; tetapi berlemah-lembutlah dan merendah hati; tiada ruginya jika kita terlebih dahulu yang berbudi dan berbahasa, walau ada saat kita dihentam dengan kata-kata berbisa. lapangkan hati dengan kesabaran yang tinggi; sungguh kemaafan kita saat itu tiada ternilai harganya, jangan sebaliknya kita yang kurang berbudi; namun kemudian mengharapkan manusia berbahasa dengan kita. itu fantasi.

saya ambil contoh tentang Islam. Islam yang menggalakkan umatnya menjaga akhlaknya; tiap masa tiap saat tanpa mengira waktu. bahkan akhlak baik boleh juga dianalogikan ibarat pakaian yang jika kita tanpa sedar meninggalkannya; bakal memalukan diri kita sendiri. justeru, jika kita sendiri tidak berusaha menyampaikan keindahan islam dengan cara yang baik, dengan perkataan yang baik, adakah manusia yang tidak kenal Islam bakal tertarik? adakah begitu cara kita mengiklankan islam kepada mereka? sudah tentu tidak. 

dan sudah tentu, contoh terbaik untuk menyampaikan nasihat, teguran malahan apa saja sudut kehidupan kita; contoh yang terbaik adalah mengikut Rasulullah s.a.w. Bagindalah seharusnya menjadi panduan dan ikutan kita dalam kehidupan. kerana bagindalah yang diutuskan Allah s.w.t untuk menjadi rahmatul a'lamin; rahmat bagi seluruh alam. maka, untuk berhikmah dan mendapat rahmat saat menyantuni manusia, bukankah baginda merupakan solusi buat kita?


kesopanan dalam berbahasa, kepentingan untuk berlapang dada dengan kerenah manusia, belajar untuk memberi teguran yang berhikmah, menunjukkan contoh dan akhlak yang baik kepada manusia, mengiklankan islam dengan menjaga akhlak kita setiap masa; semua itu tidak datang bergolek. Kita harus mengutipnya daripada pengalaman, pemerhatian, bacaan (Quran terutama sekali), mencontohi Sunnah, dan juga menjaga iman. ya, imanlah perkara yang terpenting untuk melahirkan (amal) perbuatan yang manis dan indah dipandang mata, perbuatan yang Allah sentiasa meredhainya. Iman yang membuahkan akhlak baik, kerana saat iman lemah, kesabaran pun bakal pudar dan sedikit kemarahan mungkin sahaja boleh menjadi api yang membara dan mencelakakan kita. 

Kerana itu iman yang harus kita refleksi; sejauh mana ia terpancar kepada perbuatan, lidah dan hati?

dan pengalaman menyantuni pelbagai jenis manusia itulah antara secebis dari banyak perkara yang telah banyak Allah ajarkan buat saya di bumi kiwi ini. terlalu banyak dan saya teramat bersyukur kerana masih diberi peluang saat ini, untuk hidup dan bernafas dalam nikmat Islam itu sendiri; sungguh pengalaman ini bakal jadi harta yang tidak ternilai harganya di tanah air kelak, sebagai pendidik, sebagai anak, sebagai rakyat dan yang terpenting sebagai seorang muslimah yang menjadi duta Islam setiap masa, dan kerana kita semua adalah duta-duta Islam itu. yakinilah.

Rasulullah s.a.w bersabda,
''Percakapan orang yang berakal muncul dari balik hati nuraninya. Maka ketika hendak berbicara, terlebih dahulu ia kembali pada nuraninya. Apabila ada manfaat baginya, dia harus bercakap dan apabila ia boleh mendatangkan keburukan, maka dia hendaklah tidak melafazkannya. Sesungguhnya hati orang yang bodoh berada di mulut, ia berbicara sesuai apa sahaja yang dia mahukan''.


dan bukankah kerana iman itu sendiri; bermaksud mengaku dalam hati, mengucap dengan lidah dan beramal dalam perbuatan? hidup ini juga adalah perjalanan untuk menguji sejauh mana kita memaknai iman itu sendiri.

inshaAllah kita semua adalah antara yang dipilih untuk beriman dalam agama terbaik ini, Islam. Syukuri nikmat ini dengan menambah usaha-usaha dan doa, kerana masa tidak menunggu kita.

botanical garden wellington, spring sept 2012. I've always love red, always :p

"berdebar menantikan musim panas, malam yang panjang kini bakal berubah menjadi beberapa jam"

salam dari kota tulip,
ff



Sunday, 23 September 2012

you'll be in my heart

yes you there
my beloved sisters, my beloved akhwat fillah,
you'll always be close in thought

you'll be in my heart
each and every second of this life
cause you're the one
who have shown me the light
beautiful colours which turned my gloomy ones, bright


you'll be in my heart 
cause we are together in this journey
for whatever bitterness that we tasted in this life
will always be overcome by the sweetness of our love
love because of Allah
yes, He's in our hearts


you'll be in my heart
i would not say why
i need no reasons of keeping you in my heart
the place has already answered
this love will always remind
why this beautiful feelings 
will always stay and rewind

you'll be in my heart 
though distance might set us apart
but illusion never wins
because in reality 
our hearts are tied, and tight

you'll be in my heart
because your words are my cure
in this poisoned world
your smiles are my saviour
in this world of horror

you'll be in my heart
from this day on, now
and forever more!

a token of appreciation to all the sisters who are always close in thoughts, right here right now or thousands miles away but, we shared the same beautiful sun, moon and the stars. may Allah bless ♥ 


Thursday, 13 September 2012

kita putih, hitam atau kelabu?

as salam dari kejauhan buat rakan- rakan pembaca. maaf yang teramat, sekali lagi blog ini terabai buat seketika, bukan kerana sengaja, namun kesihatan yang menduga. saat Allah menghantar ujian ini untuk diri ini bermuhasabah dan bersyukur atas kehadirannya, moga sakit ini jadi kifarah dosa inshaAllah.

hari ini saya mahu bercerita tentang warna. eh, kenapa warna? warna yang mungkin pernah mewarnai hidup kita dan mungkin juga saat ini kita masih memilih warna ini untuk menjadi paparan kepada dunia. Namun, hati-hati sahabat, saat kamu memilih warna. andai tersalah pilih, sesalan mungkin menghinggapi hati kita.

mengapa cuma putih, hitam dan kelabu?

kisah warna ini cuba saya kaitkan dengan sepotong ayat dari surah Al-Baqarah : 208.

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hakamnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata"

adakah anda mula memahaminya? benar dalam hidup ini, cuma ada dua hakikat, sama ada Islam atau bukan Islam. dan sudah tentu, saya dan anda (yang kad pengenalannya bertulis : islam), boleh menarik nafas lega. Alhamdulillah kita Islam dan masih dipilih berada di dalam agama yang mulia dan terbaik ini. Namun sedarkah sahabat, antara hakikat Islam dan bukan Islam itu tersembunyi satu hakikat yang tidak begitu indah. 

mengapa Allah masih menekankan dalam ayat ini, setelah dikatakan masuklah Islam secara keseluruhan, Dia berfirman : janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan? kerana jika kita memilih untuk tidak mengikut Islam secara total atau separuh-separuh, maka kita ibaratnya masih memilih mengikuti jejak langkah syaitan. Nau'zubillah.

contoh analogi : masuklah dalam rumah, jangan duduk di luar. (maksudnya jika kita tidak melangkah masuk ke dalam rumah sepenuhnya dengan dua kaki, bermakna kita masih berada di luar).

Islam itu putih, dan bukan Islam itu hitam. 

Jika kita mencampurinya, maka terhasillah warna kelabu. hakikat kita sebagai Islam, tapi masih lagi dilumuri oleh karat-karat jahiliyyah? Jahiliyyah? Apa tu? Jahiliyyah bermaksud tidak tahu atau tidak berpengetahuan dan maksud lainnya, perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan Islam (tidak ada dalam silibus Al Quran dan Sunnah, tiada pernah diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Pendek kata, apa-apa perkara yang tidak Allah suruh kita buat. Kebanyakan kita merasakan kita berada di zon 'selamat', kerana sudah Islam sejak lahir. Tapi sebenarnya, cuba kita selidiki dan siasat amal dan perbuatan kita sehari-hari. Realiti masyarakat hari ini beragama Islam, tetapi kerana tuntutan fesyen, mereka mengenepikan arahan untuk menutup aurat seperti yang sepatutnya. (bayangkan ibarat anda sedang koyak halaman Quran tentang aurat) dan ada yang beragama Islam tapi menghisap rokok dan minum arak tanpa segan silu. (koyak halaman Quran tentang arak pula). Nah, tadi kita dikatakan Islam, eh, kenapa bayi-bayi bertaburan di jalanan? (tak koyak, cuma terlupa ada ayat Quran ada sebut tentang masyarakat Arab Jahiliyyah yang tanam anak perempuan hidup-hidup). Kata Islam, kenapa pilih-pilih dan koyak ayat Quran yang mana suka dan buang yang tak nak diamalkan? ????  ????

Baik, mungkin kita tidak se'ekstrem' sesetengah golongan di atas. Kita solat, tak minum arak, tak hisap rokok. Baguslah jika begitu, dan lebih bagus lagi jika kita mampu singkirkan semua "gaya hidup 'ala-ala barat-nak-seronok-sekejap-sebab-hidup-saya-bosan" seperti contohnya :

berfacebook berjam-jam tanpa tujuan
tengok wayang cerita mengarut
dengar muzik cintan-cintun, jiwang karat meleleh? ade ke?
shopping bukan keperluan/ berlebihan
karaoke dan konsert artis-artis 
lepak sana-sini
bercakap perkara sia-sia
bergelak tawa melampau
bergurau senda sampai melukakan hati kawan
mengumpat etc etc......


saya tak sanggup nak senaraikan semua. jujur saya mengaku, saya bukanlah orang yang 100% bersih dari semua dosa atau jahiliyyah, tapi inshaAllah saya sedar akan kepentingan dan sedang berusaha meninggalkan semua dosa ini selangkah demi selangkah. Memang kita bukan nabi yang ma'sum tu, tapi perkara di atas inilah antara yang menyebabkan kita jadi 'kelabu' bukan putih, yang sepatutnya. 

Apa kekurangan jadi 'kelabu'?
Kita sering doa pada Allah, berikan kita itu ini, itu ini, semuanya. Tapi jika kita masih memilih untuk bersuka-ria dan ikut gaya hidup dalam kawasan kelabu itu, macam mana Allah nak kabulkan doa kita? kita sekejap solat, sekejap tengok movie lagha. sekejap dating, eh? bercampur-baur. tak salah berhibur, atau berseronok, tapi biarlah mengikut landasan syariat, tengok wayang Islamik (di rumah) bukan panggung wayang kerana ada percampuran lelaki & perempuan. contoh : umar mukhtar, sang murabbi, muhammad al fateh etc. dengar lagu nasyid, anda tahu siapa penyanyinya. 

supaya dalam apa juga urusan kita, kita tidak lupakan Allah, kita tidak berseronok dengan kehadiran si dia (syaitan) atau nafsu yang bermaharajalela.

kerana apa? tidak semua orang boleh yakin ajal dia di mana atau bila? anda mahu nyawa ditarik saat sedang leka di konsert atau di panggung wayang? na'uzubillah tiada siapa mahu nyawanya ditarik dalam keadaan begitu, kerana pengakhirannya, dahsyat sekali. Kerana hanya orang yang dimatikan dalam keadaan baik 'khusnul khatimah' akan memperoleh redha Allah di syurga kelak. InshaAllah.

dan kerana itu berusahalah untuk keluar dari kawasan kelabu : kerana nafsu dan syaitan sentiasa akan memaksa dan menarik kita untuk bersamanya ke arah warna yang lebih dahsyat ; hitam. (keluar daripada Islam) itulah matlamat mereka. Islam itu bermaksud menyerah diri, dan sekiranya kita sudah memilih Islam, maka kita seharusnya memelihara diri agar terus berada di kawasan putih (islam sepenuhnya, islam pada gaya hidup, akhlak dan semuanya. seperti baginda s.a.w yang cuba kita contohi. Amin.

bagaimana nak tinggalkan? cuba penuhi masa kita dengan perkara-perkara yang berfaedah, fahamkan makna Al Quran dan Sunnah. bergaul dengan rakan-rakan yang baik, sentiasa membasahkan lidah dengan istighfar, berusaha melawan nafsu diri (mujahadah), tambah ilmu tentang Islam dan bangun malam, berduaan dengan Allah s.w.t. menangis, taubat dan meluahkan segala kelemahan kita, agar Allah permudahkan usaha kita untuk memutihkan hati dan jiwa. Dan percayalah Allah tidak pernah meninggalkan hamba-hamba-Nya yang berdoa kerana Dia dekat :

Dan sungguh Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” Al- Qaf : 16.


dan jika kita benar-benar mengimani agama Islam ini, tiada istilah putus asa :

"Sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat Allah, hanyalah orang-orang kafir" 
Surah Yusuf : 87


kerana saat kita memilih kelabu,
kita telah memilih untuk mengaburkan pandangan yang satu,
pandangan yang seharusnya tertuju
kepada Allah pemilik semesta yang satu

kerana kelabu
dunia akan terus menghimpit jiwamu
sehingga dada terasa sempit untuk menghirup nafas kembali
mencari jalan memperoleh bekal
menuju akhirat yang abadi

kerana kelabu
tidak selamanya bererti kamu selamat dari genggaman sang hitam
yang tiada putusnya menjauhkan kamu dari kebenaran
islam yang putih penuh suci
milik hamba-Nya yang benar-benar mahukan
dan mengusahakan agar hidup ini
sentiasa bermatlamatkan redha Ilahi


Allah ghayatuna,
farah fareen












Saturday, 25 August 2012

Salam Perantauan

di saat kemeriahan syawal semakin lama semakin menggamit hati ini untuk pulang ke tanah air kerana rindu yang teramat, aku masih lagi mensyukuri keindahan lebaran di perantauan ini. Untuk kesekian kalinya, ini merupakan tahun ketiga meraikan lebaran di bumi kiwi dan biri-biri ini, sungguh terharu dan menyentuh sanubari. Walau harus diri ini akui, bahawa suasana beraya bersama ibu bapa dan keluarga sudah tentunya lebih bermakna, namun pada satu sudut aku merasakan masih ada banyak keistimewaan meraikan lebaran di bumi rantau ini bersama rakan-rakan kesayangan.

Minggu terakhir Ramadhan lalu merupakan antara minggu yang penuh sebak. Sungguh aku tidak tahu adakah bakal bertemu lagi dengannya. kerana Ramadhan ini antara Ramadhan terbaik yang pernah lalui bersama bi'ah yang cukup membina di sini. Nyatanya di Malaysia selama aku melalui Ramadhan sebelumnya, tiada pernah begitu menghargai Ramadhan seperti ini. Ramadhan tahun ini, cukup terisi dari sudut jasadi dan ruhi, syukur alhamdulillah, kerana Allah menghantarkan rakan taulan yang terlalu banyak mengubah dan memperingat diri di saat terleka dan teralpa. Sungguh, Ramadhan kali ini tiada bakal pernah sama dengan Ramadhan selepas ini, kerana ini Ramadhan terakhir di bumi kiwi tercinta. Namun aku mengharapkan walau di mana jua Ramadhan dilalui selepas ini, kita semua bakal keluar darinya dengan membawa segulung ijazah istiqamah berbekal ikhlas dan taqwa kerana Allah inshaAllah. Kerana kita bukannya hamba Ramadhan, tetapi hamba Allah sepenuh masa.


Minggu pertama syawal, sungguh sederhana namun cukup membahagiakan. walaupun aku dihimpit dengan perasaan gembira dan sedih yang bercampur baur tetapi nyatanya menyambut syawal kerana meraikan kemenangan sesudah Ramadhan itu jauh berbeza. Syawal yang disambut dengan salam kemaafan dari sahabat seperjuangan, syawal yang disambut kerana bersyukur dengan limpah kurnia-Nya sepanjang bulan yang diberkati itu. Syawal itu bukanlah disambut kerana berlumba-lumba memeriahkan suasana dengan pelbagai juadah atau warna-warni semata, tetapi kebahagiaan syawal yang sebenar kerana nikmat menjadi hamba Allah yang mencari cinta-Nya. Syawal yang walaupun tanpa disisi keluarga, namun dihadirkan perasaan cinta dan bahagia kerana kehadiran saudara seakidah dan seagama.

Syawal juga telah membentangkan kepada kita, adakah kita mampu untuk istiqamah dengan amalan seperti Ramadhan sebelumnya. nyata aku juga tidak terlepas dari ujian, namun sejauh mana kita mensyukuri ujian yang hadir kerana itu tanda sayangnya Tuhan kepada hamba-Nya, memberi peringatan untuk sentiasa dekat kepada-Nya, tanpa mengira masa. Walau aku juga turut dihimpit kesibukan akademik dalam minggu pertama syawal yang menyebabkan diri ini terasa kosong sebentar, namun akhirnya aku sedar bahawa ujian-ujian kehidupan ini hadir kerana tanda sayang-Nya kepada kita, dan bukankah dalam doa kita sering memohon dikuatkan iman? dan lantas bukankah itu tujuan ujian itu didatangkan? untuk meningkatkan iman kita? syaratnya harus redha dan ikhlas, barulah diri akan sentiasa tenang dan penuh kesabaran saat ujian menjelmakan dirinya. InshaAllah.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya, jika Allah s.w.t. mencintai sesuatu kaum, maka mereka akan diuji. Andainya mereka redha dengan ujian tersebut, maka baginya keredhaan Allah s.w.t."

syawal ini aku belajar erti sederhana. syawal ini mengajar aku erti sabar dan redha, dan teramat penting, syawal ini mengajar aku istiqamah, sungguh kehidupan yang dilimpah kenikmatan dan kemewahan mudah sahaja melekakan dan menjauhkan diri daripada Tuhan, astaghfirullah. Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba yang sentiasa dirahmati-Nya, walau dalam apa juga keadaan, semoga Ramadhan kita diterima juga semoga kita hati kita terus mudah tersentuh dengan kebesaran Tuhan seperti mana sensitifnya dan tersentuhnya hati kita dengan cinta Allah saat beribadah dalam Ramadhan. InshaAllah.

hati manusia itu mudah berbolak balik, awas dan pastikan kita sentiasa mendekatkan hati kita kepada kebaikan dan bukannya sebaliknya, istiqamah itu yang dicari. 


selamat menunaikan puasa enam syawal.

Kelburn Field VUW, 5 Syawal 1433H

salam 7 syawal dari bumi kiwi,
farahfareen


Monday, 13 August 2012

mujahadah kata-kata

sedih, tetapi saya tidak mahu menangis. gembira tetapi saya tidak mampu mengukir senyuman. astaghfirullah, diri ini masih lagi mencari kekuatan untuk menjadi hamba Allah yang cekal hatinya, kuat kesabaran dan keredhaannya. Sungguh, Allah akan menguji setiap butir kata-kata kita kepada manusia, dan sebenarnya menuntut kita mengamalkan apa juga kefahaman kita selama ini. hakikatnya hidup ini bersulamkan ujian dan ditaburi pelbagai onak duri. ya, saya masih lagi bertatih mencari kekuatan dari Ilahi, tidak putus mengharap dalam doa saban hari. Putus asa itu bukan satu pilihan.

hidup ini bukan atas diri kita sendiri, tugas sebagai seorang khalifah di muka bumi, menuntut pengorbanan yang bukan sedikit, juga membutuhkan pelaksanaan segala ilmu dan amal yang dipelajari untuk diterjemahkan ke dalam kehidupan dan perbuatan sehari-hari. Akhlak, tutur kata, hati dan semuanya. ya, semuanya. Ada kala jiwa sebagai seorang muslimah yang begitu halus ini, terlalu amat sensitif dengan kata-kata manusia. ya, memang mereka tiada langsung niat apa-apa yang tidak baik, namun hati yang mudah berbolak-balik ini seolah-olah tidak mahu melepaskan diri dari cengkaman kata-kata manusia itu. Sungguh, mujahadah itu pahit, namun kerana kita manusia yang ditarbiyyah, dan belajar erti berlapang dada sebagai batu-bata dalam pembinaan ukhuwah, maka kita tidak boleh mengaku kalah dan akur dengan kehendak hati yang sensitif itu.



Sungguh aku manusia biasa, masih dan akan terus mencari kekuatan menjadi hamba Allah yang tawadhu' dan mengharapkan satu hari nanti dapat memiliki jiwa yang mutma'innah, (jiwa yang tenang) jiwa yang setiap saat memandang dugaan hidup ini sebagai seni kehidupan yang harus dipelajari sebaik dan setenang mungkin. Jiwa yang ibaratnya seluas lautan, tidak terkesan dengan lontaran batu-batu kecil ke dalamnya. Dan pembentukan jiwa yang tenang itu sudah tentu mengambil masa bukan sehari dua untuk dimiliki.

aku tidak kuat tetapi tidak bermakna aku harus akur dan mengaku kalah kepada kerapuhan hati, sungguh iman itu sahaja yang mampu menjaga dan memelihara hati agar cuma tunduk kepada-Nya, Allah Maha Pencipta dan Maha Kuasa. dan kekuatan itu datang hanya dari Dia, langkah ini tidak akan terhenti di sini kerana redha Ilahi itulah destinasi.

"kerana kata-kata itu juga menuntut pengorbanan untuk diamalkan, agar ia menjadi pengalaman dan pengajaran, bukan angan-angan kosong semata"

"wahai hati yang bersedih, umat ini sedang dimamah oleh keindahan dunia dengan dahsyatnya, anda tiada masa untuk melayan perasaan remeh temeh seperti ini kerana kerja membina umat masih jauh perjalanannya"

Sungguh ayat ini memujuk diri, sangat memujuk diri. syukur. 


"dan janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, kerana kamu orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman" 
Al -Imran : 139

"Sungguh, Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu menyedihkan hatimu, (janganlah bersedih hati) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakan engkau, tetapi orang-orang zalim itu mengingkari ayat-ayat Allah"
Al -An'am : 33

senyum itu sedekah,
farahfareen

Wednesday, 8 August 2012

buihkah?

pertengahan ramadhan telah meninggalkan kita beberapa hari yang lalu, dan tanpa kita sedar kita sudah menghampiri 10 hari terakhir bulan yang mulia ini. sedih atau gembira? jujur saya katakan, kita seharusnya risau jika kita tidak berasa apa-apa malah tidak merasai kesedihan kerana bulan yang dirahmati Allah ini berlalu dengan begitu cepatnya, kerana Ramadhan ini terlalu berharga, dan bermakna jika kita sedar akan hikmahnya dan berusaha memanfaatkannya. Bulan inilah peluang untuk mendidik nafsu diri, mengajar erti sabar dan ketabahan hati, mendidik rasa ikhlas dalam beribadat mencari redha Ilahi. Anda perlu sedih, tapi apa yang lebih penting adalah untuk memotivasikan diri menambah amal menambah bekal dengan masa yang masih berbaki ini. Ayuh, sama-sama teruskan usaha menjadi hamba Allah yang rabbani.

baru-baru ini saya telah mengikuti satu program anjuran Wellington Malaysian Student Organization (WMSO) di sini tentang Ghazwul Fikr, atau dalam kata lainnya, serangan pemikiran. Namun bukan itu yang akan saya bahaskan di sini hari ini, cuma saya sekadar ingin berkongsi dengan anda tentang sebuah hadis yang cukup memberi kesan kepada saya, dan juga merupakan intipati kesan Ghazwul Fikr itu sendiri. Saya telah mendengar hadis ini sejak tahun pertama menjejak kaki di bumi kiwi ini, tetapi baru-baru ini saya merasai keperluan untuk saya berkongsi serba sedikit dengan anda tentang hadis ini. 

Rasulullah s.a.w bersabda :
"Hampir tiba masanya kamu dikerumuni oleh manusia seperti mana orang-orang mengerumuni sesuatu hidangan" Berkata seorang sahabat, "Adakah ia lantaran pada waktu kita yang sedikit?" Nabi menjawab, "Tidak, sebaliknya kamu ramai tetapi kamu menjadi seperti buih ketika berlaku banjir. Allah mencabutkan rasa gerun dari hati musuhmu dan memasukkan perasaan wahan ke dalam hatimu." Sahabat-sahabat bertanya, "Apakah itu wahan?" Bersabda nabi, "Cintakan dunia dan takutkan mati ".
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Saya pasti ada di kalangan anda pernah mendengar tentang hadis ini. Pertama kali saya mendengarnya, saya kurang mengambil perhatian tentang analogi buih, dan lebih menekankan kepada wahan. tetapi bila saya amati kembali analogi buih itu, barulah saya faham dan terkesan betapa rendahnya nilai umat Islam saat ini, hanya ibarat buih, bukan buih dalam minuman coklat panas yang gemar dihirup, tetapi buih yang datang ketika bencana seperti banjir, yang langsung tidak dipeduli kehadirannya. Kita seperti buih? tidakkah anda merasa sedih? bukankah umat Islam satu masa dahulu pernah menjadi rujukan ilmu dari seluruh dunia, di masa kegemilangannya ketika Bani Abbasiyah memerintah? Mengapa kita sekarang menjadi buih??

buih ketika banjir? 

Saya tinggalkan persoalan di atas setakat itu. Saat ini, saya ingin anda cuba memahami apakah kita selama ini tahu apa matlamat sebenar kehidupan kita di muka bumi ini? Lebih-lebih lagi sebagai seorang yang menjadi duta kepada agama Islam, agama terbaik yang Allah turunkan untuk menjadi rahmat kepada semua umat manusia, tanpa mengira bangsa. Mengapa umat Islam saat ini dipijak-pijak ibarat kain buruk yang usang dan lusuh? mengapa maruah kita dikoyak dan dirobek sebegitu rupa? (maksud saya, lihat realiti saudara kita di Syria, Palestin, Myanmar, Iraq, Afghanistan and the list goes on,...........Malaysia dengan serangan pemikirannya, hidup seperti robot yang tak kenal tujuan hidup?)

Apa tujuan hidup?

Allah berfirman surah Al-Baqarah ayat 30 : 
 “(Ingatlah) ketika Tuhan mu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku akan menjadikan seorang khalifah di atas bumi . Maka jawab mereka itu : Adakah patut Engkau jadikan di atas bumi orang yang akan berbuat bencana dan menumpahkan darah sedangkan kami tasbih memuji Engkau dan mensucikan Engkau? Allah berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui.”

Firman Allah swt dalam Surah Ad-Dzariyat, 51:56 :
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepada-Ku”

Khalifah? tegakkan Islam dan sebarkan agama di bumi ini. Perkataan dakwah bukan perkataan ekstremis kerana itu kewajipan kita. Mahu atau tidak, buktinya ada di dalam Quran. Dan tugas sebagai a'bid atau hamba Allah yang ikhlas beribadat kepada-Nya, semata-mata. Jasad yang ada ini cuma pinjaman untuk kita melaksana perintah di atas. Bukannya milik kekal kita. Dan saya tidak perlu hurai panjang lebar tentang akibat orang yang melanggar perintah Allah, kita belajar pendidikan Islam sejak dari tadika, malah ada yang lebih awal dari itu. Langgar perintah Allah-dosa-??? Ikut perintah Allah-pahala-???

Realitinya tidak ramai yang menyedari itulah sebenar matlamat kehidupan ini. Menjadi abid dan khalifah di muka bumi. Kita tanpa sedar menjadikan kurniaan Allah (harta, jasad, rezeki, kerjaya, manusia, hatta apa sahaja di dunia ini) yang dipanggil 'alat' untuk mencapai matlamat, sebagai matlamat itu sendiri. Tidak percaya? contoh terdekat, mengapa orang yang memegang kuasa (muslim) ada yang sanggup menerima rasuah? kerana dia bekerja dan berkhidmat bukan kerana Allah (matlamat) tetapi untuk kepentingan diri (harta & dunia = alat). contoh lain, kita belajar pendidikan Islam sejak sekolah rendah, agama dll; tapi mengapa sekarang kita seolah-olah lupa, tidak lagi boleh mengingati semua fakta sirah seperti yang kita berjaya jawab dengan yakinnya dalam peperiksaan? kerana mungkin sahaja kita belajar kerana (manusia (ibu bapa) dan kerjaya= alat) bukan beribadah menuntut ilmu kerana Allah (matlamat).

beza manusia yang menjadikan alat sebagai matlamat mereka adalah mereka tidak bakal pernah merasa puas dengan apa yang telah dicapai, dan mungkin sahaja menyalah guna untuk kepentingan nafsu dan diri. kerana alat itu sendiri tidak mampu menjanjikan apa-apa, melainkan kesenangan yang singgah sebentar dan bersifat sementara. dan apabila manusia begitu gelojoh memenuhi tuntutan "alat" ini sebagai matlamat mereka, saat itulah syaitan dan nafsu datang memujuk untuk terus menerus melupakan matlamat mereka yang sebenar, seperti yang tertulis di atas, abid & khalifah.

lantas, apa yang harus kita lakukan? saya ingin mengajak anda, untuk kembali bermuhasabah tentang apa juga perancangan, keinginan, cita-cita juga impian anda, untuk menilai sejauh mana anda mampu memanfaatkannya untuk melaksanakan matlamat 2:30, dan 51:56 di atas? tidak salah mahu berharta banyak, tetapi merancanglah bagaimana untuk menyalurkan harta itu untuk umat yang serba kekurangan juga. Tidak salah ingin menjadi doktor falsafah, asalkan anda juga berfikir bagaimana anda mampu menarik ramai orang untuk bercerita tentang keindahan Islam dan mengembalikan orang lain kepada matlamat sebenar.


Gunakan alat untuk mencapai matlamat (redha Allah), bukannya menggunakan matlamat untuk mencapai alat.

Ayuh, kita semak kembali semua impian dan cita-cita, bahkan urusan kehidupan seperti makan dan tidur pun haruslah betul matlamatnya. Makan bukan untuk kenyang, tapi agar diberi kesihatan yang baik dan mampu beribadah kepada Allah, tidur bukan kerana mengantuk atau penat, tetapi kerana ingin memenuhi hak diri agar mempunyai tenaga melakukan urusan sehari-hari. Semuanya harus kerana Allah. Bahkan saya yang menulis saat ini, perlu sentiasa meluruskan niat, menulis bukan kerana manusia tetapi kerana mencari keredhaan Allah dengan mengajak manusia berfikir tentang islam. InshaAllah.

Ingatlah matlamat sebenar kita dalam kehidupan ini, menjadi abid dan khalifah, bukan mengejar 'alat' yang menyebabkan kita menjadi ibarat buih saat kebanjiran, kerana penyakit wahan & bakal mencelakakan kita di akhirat. Nauzubillah, moga dijauhkan.


Enggan jadi buih,










Tuesday, 24 July 2012

jangan sempitkan cinta!

dia bukan orang asing bagi kamu. dia antara orang yang menyaksikan jatuh bangun, nangis dan tawa kamu saat diri masih bertatih mencari makna kehidupan. dia juga hadir dalam setiap kenangan dan memberi erti dalam perjalanan mencari arah dan cita-cita. dia pernah membisikkan kata semangat juga tidak pernah jemu mendoakan kamu. Dan walau dalam sembunyi, dia ternyata merindukan kamu dari kejauhan walaupun tidak pernah dia ungkap secara jelas, walaupun kata kasih dan sayang kamu padanya tiada berbalas. Kerana dia manusia yang cinta dan sayangkan kamu dalam hati, terlalu dalam hingga tidak terluahkan. dia, bukan orang jauh. dekat teramat dekat.

'dia' ahli keluarga kamu, mungkin seorang adik, kakak, abang, atau ibu bapa yang kenal benar perangai nakal dan keanakan kamu satu masa dulu.

Tapi mengapa pada satu sudut kehidupan ini, pada satu jendela yang terbuka menceritakan sebaliknya. mengapa wajah kamu yang mengukir senyum tidak membuktikan bahagia? mengapa hadir satu perasaan bahawa kamu seolah sedang berusaha mencari sesuatu yang masih tidak jua kunjung tiba? mengapa pencarian kamu tentang erti cinta seolah sementara dan tidak pernah berjaya memuaskan jiwa?

Di mana kurangnya?

Kerana itu aku teramat ingin berpesan kepada kamu, keluarga, sahabat dan sesiapa jua yang sedang mecari erti bahagia. Jangan sempitkan cinta. jangan sempitkan cinta dengan membenarkan harta menjadi taruhannya. jangan sempitkan cinta dengan sekadar memenuhi keperluan dunia. jangan sempitkan cinta dengan sekadar memenuhi kepentingan nafsu semata. jangan sempitkan cinta dengan menggadai ikatan keluarga, jangan sempitkan cinta kerana tiada punya cukup masa, jangan sempitkan cinta kerana mengejar cita, jangan sempitkan cinta atas apa alasan pun jua. Kerana jika benar kamu fahamkan cinta, kamu akan korbankan semuanya. Tiada alasan dan tiada masa untuk berbasi-basi dengan rekaan atau sandiwara.

jangan sempitkan cinta. Kerana cinta itu luas, hanya dengan satu syarat. Cinta itu akan membahagiakan, hanya dengan membetulkan niat dalam hati kamu, cinta kerana Allah, cinta kerana Maha Pencipta. Manusia bahagia bukan kerana harta, bukan kerana dunia, bukan kerana pangkat, bukan kerana nafsu. tetapi definisi bahagia adalah kembali kepada fitrahnya, iaitu cinta kepada Pencipta cinta, Allah s.w.t.


Aku hairan melihat manusia yang seolah membeli cinta dan bahagia dengan harta, anak kecil yang tidak mengerti apa-apa dilimpahkan kesenangan dan kemudahan, hingga hatinya kering dan tiada lagi basah dengan kasih sayang yang teramat dia dahagakan. ya, anak itu dahagakan kasih sayang ibu bapanya, yang seharusnya mencintai dia kerana Allah, mengembalikan dia kepada fitrah, dengan mengajar anak itu kenal Allah, jadi hamba yang taat dan soleh, bukannya menjadi hamba kepada dunia yang sementara dengan lambakan material dan harta belaka.

"jika keluarga yang dibina terasa seolah kosong dan kekurangan, nilailah kembali adakah keluarga itu mendidik setiap ahlinya agar bahagia dengan mencintai Allah, bukannya mencintai dunia atau harta atau cita-cita semata?"


kerana itu jangan sempitkan cinta dengan fikiran yang sempit. Luaskan hati, luaskan minda, manusia hanya bahagia dengan ketaatan dalam agama dan kecintaan kepada Tuhannya. cuma itu penyelesaiannya.

Katakanlah: “Jika bapak-bapak, anak-anak, saudara-saudara, istri-istri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.(9:24)



mencari cinta Tuhan, 
farahfareen