tahun ketiga di New Zealand bakal melabuhkan tirainya beberapa minggu lagi, dan jujur saya akui terlalu banyak pengalaman, kenangan mahupun yang manis atau sebaliknya telah terukir. Namun perjalanan hidup ini masih panjang atau dalam kata lainnya; tiada pernah kita tahu adakah bersambung sehingga tertunai semua hasrat dan impian kita. Kerana Allah lah yang paling berhak menentukan panjang pendek usia kita; rezeki dan juga kejadian dan peristiwa sepanjang melalui kehidupan ini. kerana semoga dengan masa yang tersisa kita sentiasa mendapat keberkatan masa dari-Nya.
kerana Dialah Yang Maha Kuasa; yang telah menciptakan alam ini, dan semua makhluk-makhluk yang terdahulu, sekarang dan akan datang. Tiada alasan untuk manusia mengatakan semua ini terjadi dengan sendirinya; tanpa ada pencipta yang memulakannya. Baru-baru ini saya menghadiri sebuah forum anjuran Vic Muslims (persatuan pelajar Islam dari serata dunia; di Victoria University) yang melibatkan panel-panel dari beberapa negara Arab dan Fiji. Muncul persoalan tentang mengapa Islam dikaitkan dengan keganasan; atau teroris. Sungguh; saya kagum teramat mendengar petahnya bicara salah seorang panel dalam menghalusi perbicaraannya untuk menjawab persoalan tersebut daripada pelajar bukan muslim yang bertanya. Senyuman manis tidak pernah lekang dari bibirnya; saat berbicara mengenai isu sensitif umat Islam dan beliau cukup yakin dalam memberikan hujah berdasarkan contoh dari Al- Quran yang cukup meyakinkan; bahasa yang sangat sopan dan penuh hormat.
mengapa saya bercerita tentangnya? sebenarnya kita dalam kehidupan seharian ini perlu banyak belajar daripada mereka yang lebih banyak ilmu dan pengetahuan; terutama sekali dalam memberikan nasihat atau teguran; barangkali juga saat memberikan jawapan kepada persoalan. jangan biarkan diri kita menghukumi seseorang kerana prasangka buruk kita kepadanya; atau bertindak melulu dengan berbahasa yang kurang sopan kerana emosi yang tidak terkawal. fitrah manusia adalah mereka berhati lembut; walau mungkin ada sesetengah daripada kita mengaku mereka tidak begitu sensitif; tetapi percayalah manusia mana yang mahu menerima nasihat jika dirinya tidak diperlakukan dengan sopan dan hormat? maka berhati-hatilah saat kita cuba menyantuni pelbagai ragam dan peringkat umur manusia; berlainan jantina; berlainan negara, semuanya perlukan pendekatan yang berbeza.
Walau terkadang kita tidak mampu mengenal mereka dengan kadar segera; tetapi berlemah-lembutlah dan merendah hati; tiada ruginya jika kita terlebih dahulu yang berbudi dan berbahasa, walau ada saat kita dihentam dengan kata-kata berbisa. lapangkan hati dengan kesabaran yang tinggi; sungguh kemaafan kita saat itu tiada ternilai harganya, jangan sebaliknya kita yang kurang berbudi; namun kemudian mengharapkan manusia berbahasa dengan kita. itu fantasi.
saya ambil contoh tentang Islam. Islam yang menggalakkan umatnya menjaga akhlaknya; tiap masa tiap saat tanpa mengira waktu. bahkan akhlak baik boleh juga dianalogikan ibarat pakaian yang jika kita tanpa sedar meninggalkannya; bakal memalukan diri kita sendiri. justeru, jika kita sendiri tidak berusaha menyampaikan keindahan islam dengan cara yang baik, dengan perkataan yang baik, adakah manusia yang tidak kenal Islam bakal tertarik? adakah begitu cara kita mengiklankan islam kepada mereka? sudah tentu tidak.
dan sudah tentu, contoh terbaik untuk menyampaikan nasihat, teguran malahan apa saja sudut kehidupan kita; contoh yang terbaik adalah mengikut Rasulullah s.a.w. Bagindalah seharusnya menjadi panduan dan ikutan kita dalam kehidupan. kerana bagindalah yang diutuskan Allah s.w.t untuk menjadi rahmatul a'lamin; rahmat bagi seluruh alam. maka, untuk berhikmah dan mendapat rahmat saat menyantuni manusia, bukankah baginda merupakan solusi buat kita?
kesopanan dalam berbahasa, kepentingan untuk berlapang dada dengan kerenah manusia, belajar untuk memberi teguran yang berhikmah, menunjukkan contoh dan akhlak yang baik kepada manusia, mengiklankan islam dengan menjaga akhlak kita setiap masa; semua itu tidak datang bergolek. Kita harus mengutipnya daripada pengalaman, pemerhatian, bacaan (Quran terutama sekali), mencontohi Sunnah, dan juga menjaga iman. ya, imanlah perkara yang terpenting untuk melahirkan (amal) perbuatan yang manis dan indah dipandang mata, perbuatan yang Allah sentiasa meredhainya. Iman yang membuahkan akhlak baik, kerana saat iman lemah, kesabaran pun bakal pudar dan sedikit kemarahan mungkin sahaja boleh menjadi api yang membara dan mencelakakan kita.
Kerana itu iman yang harus kita refleksi; sejauh mana ia terpancar kepada perbuatan, lidah dan hati?
dan pengalaman menyantuni pelbagai jenis manusia itulah antara secebis dari banyak perkara yang telah banyak Allah ajarkan buat saya di bumi kiwi ini. terlalu banyak dan saya teramat bersyukur kerana masih diberi peluang saat ini, untuk hidup dan bernafas dalam nikmat Islam itu sendiri; sungguh pengalaman ini bakal jadi harta yang tidak ternilai harganya di tanah air kelak, sebagai pendidik, sebagai anak, sebagai rakyat dan yang terpenting sebagai seorang muslimah yang menjadi duta Islam setiap masa, dan kerana kita semua adalah duta-duta Islam itu. yakinilah.
Rasulullah s.a.w bersabda,
''Percakapan orang yang berakal muncul dari balik hati nuraninya. Maka ketika hendak berbicara, terlebih dahulu ia kembali pada nuraninya. Apabila ada manfaat baginya, dia harus bercakap dan apabila ia boleh mendatangkan keburukan, maka dia hendaklah tidak melafazkannya. Sesungguhnya hati orang yang bodoh berada di mulut, ia berbicara sesuai apa sahaja yang dia mahukan''.
dan bukankah kerana iman itu sendiri; bermaksud mengaku dalam hati, mengucap dengan lidah dan beramal dalam perbuatan? hidup ini juga adalah perjalanan untuk menguji sejauh mana kita memaknai iman itu sendiri.
inshaAllah kita semua adalah antara yang dipilih untuk beriman dalam agama terbaik ini, Islam. Syukuri nikmat ini dengan menambah usaha-usaha dan doa, kerana masa tidak menunggu kita.
botanical garden wellington, spring sept 2012. I've always love red, always :p |
"berdebar menantikan musim panas, malam yang panjang kini bakal berubah menjadi beberapa jam"
salam dari kota tulip,
ff
No comments:
Post a Comment