Sunday, 21 October 2012

kamu saksikan cinta?

kamu bicarakan cinta
pada manusia dengan jutaan kiasan
dan warna bunga dari kata-kata
kamu menyangka kata-kata
mampu mekarkan 
rasa bahagia pada mereka

kamu bicarakan cinta 
seolah mereka tiada pernah mengerti 
makna sebenar bahagia, 
seolah mereka itu 
teramat mudah dan murah untuk kamu
beli dengan mainan hati

kamu bicarakan cinta
seolah dunia kamu yang punya
seolah mampu dikorbankan segala
kerana mereka pada fikiranmu
mudah terpedaya dengan awang-awangan rekaan minda
dan kerana kamu menyangka
mereka bakal khayal dengan seribu mimpi
dan impian darimu

kamu bicarakan cinta
tanpa kamu benar-benar saksikannya
tahukah kamu cinta yang mereka idamkan bukan kerana dunia
cinta yang mereka idamkan adalah redha Allah
dan kerana itu sukar jika kamu bicarakan cinta
jika definisinya berbeza
jika haluannya tidak sama


kamu perlu saksikan cinta
dan rasai cinta
seperti mana cinta yang tertanam di hati mereka
cinta kepada Ya Rabb
hingga hati ini tiada lagi tergantung kepada manusia
hingga kekecewaan dunia tiada mampu mencedera
hati mereka walau sedikit
kerana agungnya cinta kepada Ilahi


kerana mereka telah menyaksikan
dan merasakan nikmat-Nya; mencintai ya rabb
hidup yang sederhana dirasakan bahagia
hidup sebagai hamba yang tawadhu' dirasakan tenang
 tiada perlu dihibur dengan kata-kata manis manusia
malah jika dihiris bicara tajam manusia
hati ini masih dan bakal tetap utuh 
untuk sembuh


kerana mereka telah bersaksikan cinta
cinta yang agung kepada Allah
Maha Pencipta cinta dan segala
dan kerana itu belajarlah mencintai manusia
dengan mencintai-Nya, terlebih dahulu
sebelum kamu mencintai apa-apa di dunia ini

"Hamba-Ku adalah dia yang banyak mengerjakan amalan sunat, yang mana dia mengerjakannya sehingga Aku menyintainya. Dan apabila Aku menyintainya, Akulah matanya semasa dia melihat, Akulah telinganya semasa dia mendengar, Akulah tangannya ketika dia memukul. Apabila dia meminta nescaya Aku akan memperkenankannya, apabila dia memohon perlindungannya nescaya Aku akan melindunginya."
 Hadis Sahih Al-Bukhari

bangunkan cintamu kepada Maha Pencipta dengan memelihara yang wajib, isitiqamah dalam amalan sunat, perbanyakkan zikir dan tahajjdmu. moga Allah meredhai tiap langkah dalam hidupmu. sungguh, kerana bahagia kita dipegang Allah; dan bukan manusia. Jika mengharapkan manusia, bahagia mungkin sementara cuma. Bahagialah kerana cinta Allah, seperti mana bahagianya Saidatina Aisyah dan Fatimah Az Zahra, yang mencintai Rabb mereka, sebelum mencintai manusia.



hadiah dari hati buat seorang ukhti, 5 Oktober 2012

ana ukhtikum fillah, 
farahfareen


No comments:

Post a Comment