Friday, 26 October 2012

terakhir di sini

dan takbir syahdu sempena eidul adha baru sahaja bermula di bumi kiwi ini; sebentar tadi. kesyahduan dan kesungguhan para hamba Allah menyatakan kesyukuran mereka kepada Ya Rabb, sempena hari dan malam penuh bermakna ini. dan aku, masih lagi saat ini bertanyakan diri; apa erti pengorbanan?

Maka dirikanlah shalat karena Tuhanmu; dan berqurbanlah. (Al-Kautsar, 108: 2)

eidul adha secara simbolik meraikan pengorbanan umat Islam dan para nabi terdahulu yang telah menunjukkan bukti; bukan sekadar manifestasi cinta mereka, tetapi jasad dan nyawa sanggup dikorbankan tatkala Allah memerintahkan, maka seluruh jiwa dikerahkan mentaati-Nya. Kisah istimewa Nabi Ibrahim a.s. dan putranya Ismail a.s. begitu menjadi satu pembuktian besar cinta mereka kepada Allah. kasih sang ayah kepada putranya, tidak dapat mengatasi kuatnya cinta kepada Yang Esa. Subhannallah. Kisah Siti Hajar yang ditinggal keseorangan oleh suami tercinta; kerana perintah Yang Maha Esa; maka bukit Safa dan Marwah menjadi saksi pengorbanan agung Siti Hajar dan Ibrahim a.s.

dan makanya, aku bertanya pada diri ini; saat ini masih terlalu banyak perkara yang boleh dan perlu dikorbankan jika diri benar mengaku cinta kepada Tuhan. masa lapang; sudahkah dimanfaatkan sepenuhnya beribadah semampu boleh? duit dan harta; sudahkah ada sebahagian disumbangkan buat mereka yang memerlukan dan sedekah? masa dan tenaga; adakah masih yang tersisa buat membantu meringankan beban sahabat dan keluarga yang tercinta; atau sudah tidak berbaki kerana semuanya telah dihabiskan mengejar cita dunia? tidak salah berhabis masa dan tenaga buat dunia; namun saat bekal akhirat makin kurang dan menipis, mungkin ada sedikit pengorbanan yang diperlukan. Buat kesenangan di hari pengadilan. InshaAllah.

masih banyak dan terlalu banyak. hakikatnya, bumi new zealand yang aku jejaki hampir 3 tahun ini; semakin berlalu pergi. masa yang tinggal di sini; tidak banyak yang berbaki. tarbiyyah itulah harta yang telah aku jumpai; satu-satunya jalan yang telah banyak mengajar dan mengubah diri; belajar erti pengorbanan hanya kerana ingin menjadi seorang hamba yang kenal erti perhambaan kepada Tuhan.

dan simboliknya; perayaan yang mengingatkan diri tentang pengorbanan ini mungkin jadi yang terakhir di sini. mungkin iniah saatnya mencari dan bermuhasabah diri; saat diri masih diberi peluang menggenggam erat tarbiyyah di bumi kiwi ini; agar dapat dibawa kembali ke tanah air; bersama jiwa yang kental, hati yang ikhlas untuk menyambung perjuangan; buat agama tercinta. islam yang harus tertegak dalam jiwa setiap hamba.

dan saat ini; masih merefleksi diri; mana lagi kekurangan, mana lagi kelemahan dan mana lagi kekhilafan yang masih boleh diperbetulkan. dan moga saja masa yang berbaki bakal diberkati Ilahi; dengan niat yang satu; kerana diri ini mengharapkan redha-Mu.


teringat kata seorang teman; "dalam hidup ini, kita sebenarnya tiada apa yang mampu dikorbankan, melainkan kerana semuanya datang dari Allah dan akan kembali kepada Allah. semuanya adalah milik-Nya; cuma kita mempunyai pilihan, pilihan dengan nikmat kurniaan dan ujian; adakah kita memilih untuk menjadikannya satu bekalan menghadap Tuhan; atau hanya membiarkan diri dihambat sesalan; kerana lupa untuk mengorbankan nafsu dan godaan"

moga saja aidil adha ini mengajar diri; untuk sentiasa merasa tidak cukup dengan amalan yang telah dilakukan.


salam raya korban dari welly;
farahfareen

No comments:

Post a Comment