Saturday, 25 June 2011

matangkah kamu wahai diri?


matangkah kamu wahai diri
jika segala yang baik dan kamu sukai itu 
kamu terima dengan seyum riang gembira
namun saat secebis kesulitan datang menjelma
engkau menangis meratap hiba
lupa akan rahmat Maha Pencipta?

matangkah kamu wahai diri
tidak bersyukur dengan apa yang kamu punya
juga sering merasa tidak cukup segala
sedang saudara seagamamu derita dan sengsara
bermandi darah dan keringat sentiasa

matangkah kamu wahai diri
jika sering mencari redha manusia
sedangkan redha Allah kerap dilupa
mengejar dunia yang fana
sedangkan akhirat tercicir entah ke mana

matangkah kamu wahai diri
mengejar cinta sementara manusia
sedang kamu terlupa
hanya dengan cinta agung Maha Pencipta
 kamu masih lagi bernyawa di bumi milik-Nya

matangkah kamu wahai diri
berbangga dengan kelebihan diri
sedang kamu cuma seorang hamba
hamba yang diberi tugas oleh penciptanya
untuk melaksana amanah dan janji pada-Nya
sedangkan kamu lalai dan leka

matangkah kamu wahai diri?
tepuk dada, tanya iman sendiri.
Moga Allah redha.


Friday, 10 June 2011

bukan dengan seorang

google.com
"islam itu hebat dengan berjemaah". pada aku dulu, ini cuma ungkapan ringkas, tidak punya banyak makna, kerana saat itu aku tidak faham tentang beberapa hakikat.


Hakikat pertama : bahawa islam itu bersaudara.


Semuanya bermula dari keturunan yang sama, agama yang sama, dari Nabi Adam a.s. Setiap muslim itu bersaudara, dan fitrah manusia adalah saling menjaga antara satu sama lain, mennyayangi dan mencintai saudara. Tanpa saudara, hidup ini bukan satu perjuangan yang mudah, bahkan menambah lagi resah kerana hakikatnya manusia saling bergantung antara satu sama lain.


Dari riwayat Bukhari & Muslim "tidak beriman seorang dari kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri" 


Subhanallah, KEIMANAN seseorang muslim itu juga harus dibuktikan dengan kasih sayang pada saudaranya, bukan sekadar melaksana rukun iman dan islam, malah lebih dari itu. 


Lantas, jika benar sayangkan saudara-saudaramu, apa buktinya?


Hakikat kedua : Sayang pada saudara, bukan sekadar pada kata-kata.


Bila aku mula faham hakikat itu, lalu aku cuba mencari, bagaimana pula cara untuk membuktikan aku benar sayang pada saudara seagama, dan lebih penting dari itu, bagaimana aku membuktikan aku juga orang yang beriman?


Jawapannya, sayangilah saudara-saudara segama denganmu, dengan mengajak mereka kepada kebenaran dan meninggalkan kemungkaran. Ajaklah mereka melaksana perintah-Nya, dan meninggalkan larangan-Nya. Sayang pada saudara, tidak terhenti dan tamat di dunia, jika benar sayang maka harus bersama di akhirat sana, bersama ke SYURGA, bukannya NERAKA. Subhanallah, adakah diri ini benar-benar sayang pada saudara, rakan, keluarga dan semua? Adakah diri ini cukup kuat untuk mengajak mereka bersama-sama menuju cinta-Nya, menggapai indahnya syurga milik-Nya? 


"Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebaikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan" Al Maidah :2


Berdoalah, kerana doa itu senjata mukmin, semoga diberi kekuatan untuk sama-sama menikmati keindahan islam, islam itu indah dan lebih indah dengan jemaah (bersama-sama), islam itu tidak hanya baik pada diri sendiri, islam itu hebat pada semua. Islam itu sejahtera.


missmacadamia.tumblr.com


Bayangkan jika semua muslim itu sayangkan agama, sayangkan saudara, sayangkan rasulnya, dan cintakan penciptanya, MAKA :


dunia tidak akan seperti hari ini, penuh duka dan sengsara;
dunia tidak akan seperti hari ini penuh tipu daya dan tamak haloba,
dunia tidak akan seperti hari ini yang banyaknya mengejar pangkat dan harta,
dunia tidak akan seperti hari ini, bumi semakin tenat kerana perbuatan manusia,
dunia tidak akan seperti hari ini penuh dengan hiburan yang melekakan hamba tentang tugas kepada pencipta-Nya,


Jika benar cintakan agama, jika benar cintakan saudara seagama. Buktikan. Ingatlah, mengajak kepada kebaikan itu, walau sebesar zarah, akan dibalas-Nya. Hakikat aku juga bukan manusia sempurna, kerana sempurna itu cuma milik-Nya, namun aku mahu ingatkan diri, hakikat aku seorang muslim, muslim yang cintakan saudara, dan ingin bersama mereka di syurga sana, inshaAllah, juga muslim yang mahu agama itu indah sebagaimana indahnya islam di zaman kegemilangannya. Juga kerana aku hanya hamba, yang cuma melaksana perintah pencipta diri ini. Semoga Allah redha, seribu maaf jika tersilap kata dan bicara. 

"Jangan resah andai ada yang membencimu, kerana masih ramai yang mencintaimu di dunia. Tetapi resahlah andai Allah membencimu, kerana tiada lagi yang mencintaimu di akhirat". -Imam AlGhazali-