Friday, 18 March 2011

pesan ayah pada aku

aku seolah mahu lepaskan segala tangis rindu pada kamu. Ayah. Saat mendengar suara kamu yang penuh rasa rindu, aku seolah mahu terbang saat itu. Terbang ke sana di samping kamu, kerana aku rindu dan cinta amat pada kamu. Memang ayah cuma insan dan lelaki biasa yang punya ego. Tapi aku tahu di sebalik ego itu, tersimpan cinta dan sayang kuat kamu pada aku. Saat kamu tegas pada aku, saat kamu tidak jemu mengingatkan aku. Tentang betapa penting sihat itu buat aku. Perlunya gigih usaha itu, tanpa kenal putus asa. Memang nasihat itu tidak pernah aku lupa, saat diri ini ini diberi ujian dari- Nya.

Pesan ayah pada aku. Kuatkan diri, jangan tinggal solat itu. Solat itu menjaga diri. Pesan ayah, jaga pemakanan kamu. Ayah memang sangat faham aku. Tatkala cuti di tanah air, dia teman setia aku di rumah. Walau ayah tidak pernah bertanya betapa perit, suka dan duka jadi anak rantau itu, sedangkan aku yang gembira teramat bercerita kepadanya, bezanya tanah air dengan negara mat saleh itu. Ayah mendengar seolah berminat, tapi aku tahu jauh di sudut hatinya, dia percayakan aku. Dan ternyata rasa percaya dia pada aku itu, menambah sayang aku padanya. Semoga tiap kebebasan dan percaya yang ayah beri pada aku, dimanfaat untuk yang terbaik. InsyaAllah.

Pesan ayah pada aku. Aku pernah sakit dahulu. Saat aku dalam tahun pertama kelahiranku, ayah dan mama tidak pernah putus asa berdoa dan berusaha agar aku sembuh segera. Cerita ayah pada aku, tahun itu ayah dan mama berulang alik ke hospital, merawat aku. Alhamdulillah, sehingga hari ini aku masih bernafas. Syukur pada Tuhan. Pesan ayah pada aku, aku harus peka tentang sakitku. Kata ayah, aku sensitif amat pada cuaca. Hujan dan cuaca sejuk itu berisiko buat aku. Pesan ayah pada aku, jangan makan makanan yang sejuk, amalkan makan madu, ini dan itu. Pesan ayah pada musim cuti lalu, sebelum kembali ke bumi wellington ini, kuatkan hati dan doalah pada-Nya selalu. Tuhan sentiasa bersama hamba yang ingat pada-Nya. Akan aku selalu ingat itu.

Maafkan aku ayah. Saat ini aku masih cuba jadi anak kuat itu. Semoga cinta dan sayang amat kamu pada aku, akan terus menguatkan langkah anak kerdil ini untuk capai bintang kamu. Semoga diri ini tabah mengejar cita di bumi yang sentiasa mengingatkan aku pada dekatnya mati itu. Aku mahu jadi bintang. Bintang yang dapat kamu banggakan selalu dan walau aku tahu jasa kamu itu tidak terhitung, doa itu sentiasa aku titip buat kamu. Semoga dirahmati-Nya selalu dan semoga aku dapat berbakti untuk kamu, ayah tercinta. Selalu.

No comments:

Post a Comment