Wednesday 18 January 2012

kerana aku rindukan pertemuan itu



syukur atas seribu nikmat kurniaan Tuhanku, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hakikatnya diri ini kadang-kala alpa lantaran dibuai mimpi indah ciptaan dunia dan aku sebagai hamba, terkadang menari dan mencuba mengikut rentak dunia sehingga terleka. Astaghfirullah. Tuhan masih sayang diriku, lantas hari ini aku ingin mencoretkan kisah di sebalik perjalanan jadi seorang hamba. Aku hamba-Nya yang penuh khilaf dan noda, tapi tidak akan pernah putus-putus mengucap juta kali doa dan harapan pada-Nya. Kerana tiada lagi tempat untuk aku bergantung dan ceritakan seribu kisah suka duka aku sebagai manusia jika bukan pada-Nya, Maha Pencipta segala.

Terkadang diri ini lupa akan hakikat dari mana hadirnya kekuatan. Sungguh angkuh sekali manusia yang menulis ini, ya, aku terkadang hanyut dalam bisikan syaitan si penggoda yang cukup mengusik jiwa. Sesungguhnya apa jua kekuatan yang diri ini punya, itu semua dari-Nya, itu semua milik-Nya. Bahkan nikmat menghirup nafas saat ini juga kurniaan Maha Pencipta. Kerana kasih dan sayang-Nya kepada hamba-Nya. Walaupun teramat jarang dan sedikit sekali hamba-Nya itu ingat pada-Nya. Subhanallah. Engkau Maha Pengasih yang teramat mulia, mencurah kasih dan sayang, juga jutaan kurnia. 


Cuti yang kini bersisa separuh cuma, terlalu banyak yang ingin aku gapai. terlalu banyak yang dirancang, tapi aku juga manusia biasa yang cuma mengharapkan belas dari-Nya, tapi itu juga bukan bermakna diri ini layak memberi secebis alasan untuk berhenti dari terus menggapai redha-Nya. Tidak sekali. Aku coretkan kisah ini buat kamu, ya kamu yang sedang berusaha untuk berlari, jatuh dan jatuh lagi dalam mencari redha Ilahi tapi sentiasa punya kekuatan untuk bangkit kembali. Buat kamu yang mungkin ada kala bertanyakan di mana sinar mentari saat hujan menimpa lagi. Namun yakinlah kasih Ilahi itu sentiasa ada di sisi, bukakan hati yang kamu cuba sembunyi. Ya, aku juga seperti kamu menelan pahit dan manis dalam meneruskan perjalanan ini, perjalanan mencari cinta suci Ilahi.


Kebahagiaan manusia itu adalah milik-Nya, berdoalah, berusahalah dan bertawakal dalam setiap langkah kamu menuju redha-Nya. Biarlah hari ini kamu tangiskan semuanya, biarlah hari ini kamu dicalit seribu luka dan biarlah hari ini kamu menelan pahitnya rasa. kerana jika bukan hari ini, tiada lagi waktu untuk kamu sesalkan, tiada lagi harta atau jiwa untuk dikorbankan. kerana kita tidak pernah tahu bila kita akan menemui-Nya, esok belum tentu lagi menjelma tanpa izin-Nya. Maka rebutlah apa sahaja peluang yang ada hari ini untuk kamu berikan pada-Nya, untuk kamu hadiahkan sebagai seorang hamba, saat kamu bertemu Maha Pencipta di syurga. InshaAllah. Moga Allah sentiasa memberkati usaha kita.

jangan Kau biarkan diri ini sendiri, kerana tanpa-Mu, tiada lagi kebahagiaan abadi di sisi-Mu untuk aku terus jejaki....