Thursday 29 December 2011

insan biasa

tenteramlah jiwa yang dicalit seribu luka
walau ada kala parutnya meruntun jiwa
terkadang aku hanyut dalam pencarian yang tidak punya arah
terkadang aku jatuh tersungkur dan berdarah

tenteramlah wahai hati yang aku kasihi
tenanglah kerana yakin dengan janji-Nya
walaupun kemanisan dunia terhidang di depan mata
namun dunia itu jua ibarat gula-gula
yang menjadi racun saat kau meratah kemanisannya

tenanglah wahai diri yang lemah tiada daya
kerana hanya pada Dia ku harapkan kekuatan segala
tiada istilah putus asa 
jika benar kau hamba-Nya
cinta-Nya itu jauh lebih bermakna
dari segunung dan selautan emas yang kau punya


jawapan yang dicari sudah ditemui
hanya aku mohon diberi kekuatan untuk berdiri dan berlari
berlari menuju redha-Nya walau dihias onak duri
walau dilambung ombak tidak bertepi

mungkin saja aku bakal terjatuh
tenggelam dan hanyut lagi
namun diri ini tidak akan pernah berhenti
untuk terus bangkit dan bangkit lagi
menjejak redha dan syurga abadi Ilahi


~ya Allah, redhakanlah hati dengan segala ketentuanmu, juga kuatkanlah hati kami dalam mencari redha-Mu.


Wednesday 21 December 2011

takkan pernah berhenti

salam buat pembaca. disangka panas ke petang, rupanya hujan di tengahari. hari ini tertumpah lagi air mata di pipi kerana aku cuma manusia kerdil. menangisi betapa hinanya diri ini, yang punya khilaf dan salah. Aku cuma insan biasa yang masih cuba merangkak mencari redha-Nya dan ada kala dalam perjalanan itu aku tersungkur rebah. Namun hakikatnya aku sangat bersyukur kerana Dia sentiasa ada untuk aku mengadu, meluah seribu rasa. Dia Maha Mendengar dan hanya Dia Maha Berkuasa untuk menolong hamba-Nya.

hari ini hati ini berbisik lagi pada cerita yang sudah lama aku cuba padam dari kotak memori. Namun hakikatnya manusia itu tidak akan pernah lupa apatah lagi pada peristiwa yang cukup bermakna baginya. Lupa sekali bukan bererti selamanya. Ada kala perasaan hiba itu datang menjengah walau tanpa aku minta. tapi aku tahu saat peristiwa duka tiba-tiba kembali bertamu, itu juga atas izin-Nya, yang mungkin mahu aku untuk merefleksi dan mencermin diri kembali. Sejauh mana diri ini telah berusaha mendekatkan diri pada Ilahi? Sejauh mana aku sanggup berkorban untuk menegakkan kalimat Allah di muka bumi? Ya, memang hati ini ada kala terlalu degil untuk melepaskan peristiwa silam yang terkadang menghantui, namun aku kira itu adalah satu sumber kekuatan untuk aku terus melangkah jauh, meninggalkan hasutan iblis yang tidak henti-henti membolak-balikkan hati. Walau hakikat aku cuma manusia lemah, tapi bukan bermakna aku boleh berputus asa. tidak sekali. 

farahfareen.tumblr.com


Aku tidak akan benarkan perasaan ragu merosakkan kekuatan untuk meneruskan perjuangan ini. perjalanan ini masih di permulaan dan tidak sekali aku teringin untuk menoleh ke belakang kerana yang ada cuma masa depan untuk diperjuangkan. Walau seribu cerita itu masih belum tertulis dan aku ketahui, tapi diri ini akan terus berusaha memujuk hati untuk percaya kepada janji Ilahi. rasa sedih itu cuma ilusi. rasa sedih itu cuma permainan hati.

lalu apakah erti ikhlas yang aku cari? ikhlas bererti aku tidak mengharap apa jua balasan atas pengorbanan. Namun lumrah manusia adakala hebat terpaksa akur kerana kelemahannya. moga sahaja usaha aku sebagai hamba-Nya ini bakal membawa aku bertemu dengan redha-Nya. Ya Allah, bantulah aku dalam perjalanan mencari cinta-Mu, dan jangan kau benarkan aku tenggelam dalam godaan dunia yang fana. Moga Allah redha.


Sesungguhnya seorang mukmin itu tidak sepatutnya bersedih terlalu lama.
Kerana dia ada Allah di sisinya.
Dan kesedihan bukanlah cara seorang hamba Allah mengabdikan diri kepadaNya


Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” (QS.Ali ‘Imran:139)


Ya Allah, aku memohon perlindungan denganMu daripada keluh kesah dan kesedihan, rasa lemah dan kemalasan, Aku memohon perlindungan denganMu daripada sifat penakut dan kebakhilan, dan aku mohon perlindungan denganMu dari bebanan hutang dan dikuasai seseorang (Hadith riwayat Abu Daud)



Tuesday 20 December 2011

cerita hati

farahfareen.tumblr.com

kadang-kadang hati ini
teramat kelu berbicara
terkadang bisu menyusun kata
saat hati juga menyaksikan segala
cerita hati yang diulit suka dan ada kala
menghimpun jua
selaut derita
yang melemaskan perjalanan seorang hamba

kadang-kadang hati ini
mahu bisikkan pada dunia
tentang hakikat sebuah jiwa
jiwa yang menangis saat menyaksikan manusia
manusia
yang terkadang alpa
dalam mengejar keindahan dunia
yang kekal sesaat cuma

tidak
hati ini tidak akan sekali berputus asa
walau dihempap berkecai ke lantai
kerana hati ini yakin pada satu hakikat
hakikat yang tidak akan pernah terlerai
manusia itu akan kembali kepada Tuhannya
mahu atau tidak
suka ataupun tidak


hati ini juga terkadang berbunga riang
kerana hadirnya jiwa yang membawa sinar terang
hadirnya hati-hati yang turut bersama
menyuburkan cinta kepada-Nya
lantas tiada kata lagi mampu aku lontar
selain rasa penuh syukur atas jutaan nikmat
kurniaan Allah Maha Besar

Hati
sedarlah hakikat hidup ini
dan sering aku mendengar bicara sang teman
hidup ibarat roda yang berputar
ada kala di bawah, terkadang pula berada di atas
cuma yang membezakan
sejauh mana engkau bergantung pada-Nya saat ditimpa susah musibah?
sejauh mana engkau beringat pada-Nya saat dikurnia kesenangan yang tidak terkira?

Hati
jadilah hati yang hidup yang mampu menghidupkan jasadnya
untuk beribadah kepada Yang Esa
bukan hati yang mati walau hakikat hidup jasadnya cuma
sekadar kerana mencari kesenangan dunia

Friday 2 December 2011

Cinta seorang hamba

Saya pernah bercerita tentang cinta. Antara entri terawal semasa membuka blog ini. Tetapi hari ini saya punya definisi cinta yang berbeza yang ingin saya kongsikan dengan anda. Cinta kepada Allah. Cinta sebagai seorang hamba.

Jujur mengatakan saya tidak punya definisi yang tepat mengenai ini. Tetapi pengalaman hidup, jatuh bangun dan perit payah hidup yang saya lalui dan masih bertatih lagi mencari keredhaan-Nya saat ini, saya menjumpai satu definisi baru. Cinta kepada Allah sebagai seorang hamba seharusnya ikhlas. Begitu merendah diri, melakukan sesuatu tanpa mengharap balasan yang lebih, kerana selayaknya Tuan itu memperlaku sebagaimana Dia kehendaki kepada hamba-Nya. Kita sebagai hamba seharusnya mempersembahkan cinta yang terbaik kepada Maha Pencipta kita, kerana tanpa Dia kita tidak punya apa-apa. Walau sehembus nafas cuma. 


Saya hamba-Nya yang lemah. Saya akui diri ini masih lagi mencari kekuatan untuk terus menggenggam erat cinta pada Allah yang satu. Allah yang telah memberi nikmat sejak di dalam perut ibu itu. Dan sejak lahir ke dunia, terlalu banyak yang Allah beri, terlalu banyak yang saya terima. Terlalu banyak yang saya minta. Terlalu banyak yang sudah saya punya. Tidak terkira. Hatta saya juga tidak mampu membalasnya dengan wang ringgit atau segunung emas. Tidak. Tapi cinta saya pada-Nya itulah yang saya harapkan dapat menguatkan langkah kaki, menabahkan lagi hati yang rapuh ini, megabdikan diri untuk-Nya. Fitrah cinta itu adalah kita sanggup berkorban apa saja untuk yang dicintai. Moga saja cinta itu menjadi motivasi untuk saya  melangkah mendekati Ilahi. InshaAllah.

Siapa lagi yang lebih layak untuk kita cintai selain Allah? Saya sama sekali tidak melarang kita mencintai manusia atau apa jua nikmat yang Allah beri, tetapi cinta kepada Allah itu adalah prioriti. Hanya dengan belajar mencintai Allah, kita akan belajar mencintai manusia sebenar-benarnya. Hanya dengan mencintai Rasulullah s.a.w kita akan berusaha untuk mencontohinya. Percayalah.

Dari anas bin malik radliyallahu’anhu bahwa Rasulullah shallallahu’alaihiw a sallam bersabda: “Ada tiga hal yang barangsiapa memilikinya niscaya ia akan mendapatkan manisnya iman: (1). Allah ta’ala dan Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam lebih ia cintai daripada yang lainnya, (2). Mencintainya seseorang, tidaklah ia mencintainya melainkan karena Allah ta’ala, (3). Benci untuk kembali kepada kekafiran setelah Allah ta’ala menyelamatkan darinya sebagaimana ia benci dirinya dimasukkan ke dalam api”


Masa itu akan tiba saat Dia tahu kamu sudah bersedia, cinta manusia itu akan datang dengan sendirinya. 

Usahalah selagi mana tidak menyalahi agama, berdoalah selagi masih bernyawa, dan bertawakallah atas apa jua ketentuan-Nya.

"Jangan runsingkan diri mencari cinta manusia, sedangkan yang dicinta itu juga manusia ciptaan-Nya. Jika kamu cintakan manusia, cintailah Dia terlebih dahulu yang mencipta manusia."

Islam tidak membatasi fitrah manusia untuk bercinta. Buktikan cinta melalui pernikahan yang dibina atas dasar mencari keredhaan-Nya. InshaAllah bahagia itu kamu punya.

Sunday 20 November 2011

konflik diri?

dua tahun perjalanan menyusuri hidup sebagai pelajar di sini. Dua tahun ini juga aku cuba belajar apa ertinya berbolak-balik di atas roda kehidupan, roda yang ada kala meluncur laju di atas jalan. juga di saat roda itu jatuh dan tergolek tanpa arah. Ya, dua tahun itu banyak mengajar aku selama ini. Apa tujuan hidup, mana destinasi yang dituju juga mana arah yang seharusnya aku cari dan tetapkan langkah kaki.

Anehnya baru aku sedar hari ini. Sebelum ini, sudah 19 tahun menyusuri hidup tanpa destinasi. Yang pada aku, jika ada itu cuma ilusi. Destinasi yang aku tuju selama ini rupanya cuma mimpi dan ilusi, kerana realiti sebenar itu aku temui selepas dua tahun di sini. Selepas aku keluar dari kepompong yang menyesakkan hati. Itu. Konflik Diri.

Mengapa konflik diri? Jika aku amati kembali perjalanan hidup selama 19 tahun sebelum ini, hidup aku cuma untuk kepuasan. Mencari dan mencari semuanya semata-mata untuk memenuhi kehendak hati. Aku sedar, aku dilahirkan Islam, tapi ada banyak sisi kehidupan aku, yang pada aku tiada bezanya dengan orang yang bukan seagama denganku. Konflik diri kerana hakikatnya aku muslim, tapi diri ini langsung tidak menunjukkan identiti itu. Aku keliru, cukup keliru. 

Hidup ibarat atas bayang-bayang orang di sekeliling, mereka begini, aku begini. Mereka begitu, aku begitu. Siapa yang mereka ikuti? Siapa yang aku contohi? aku sekadar merasa kepuasan dapat bersama yang lain, yang selalunya aku masukkan dalam definisi hidup ini harus ikut trend, arus teknologi dan juga menjadi bualan ramai. Sedih sekali kerana saat itu dulu, aku tidak sedar akan konflik diri ini, lantas aku membiarkan diri terus terlelap dan terlena dalam buaian mimpi ini. 19 tahun mencari realiti dan tempoh itu juga aku dalam konflik diri dan identiti!



Konflik diri kerana aku seorang muslim. Tapi akhlak, peribadi, perkataan, niat juga perbuatan aku tidak cukup mencerminkan hakikat aku seorang muslim. Malu sungguh, aku dulu cuma muslim pada nama. Konfik diri yang teramat mencengkam diri. Sedangkan aku baru sedar saat ini. Namun aku bersyukur sekali atas kasih sayang Ilahi, dua tahun di sini, aku belajar mencari dan menguatkan hati untuk menuju destinasi realiti. Realiti yang aku cuma seorang hamba-Nya yang lemah, dan bakal ditarik nyawa bila-bila saja sedangkan aku masih lagi bertatih untuk mendekatkan diri pada-Nya. Moga perjalanan di sini menguatkan lagi iman, menambah lagi kefahaman dan amalan. 


Perjalanan ini masih jauh. Perjalanan ini juga jauh penuh duri dan liku. Tapi sekurang-kurangnya aku sangat bersyukur, kerana aku tidak lagi dalam kepompong itu. Selamat tinggal kepada dunia konflik diri dan hadapi realiti. InshaAllah.

P/S : Baru kena satu 'tamparan' hebat di pipi yang berbekas-bekas pedih saat ini selepas buka blog Langit Ilahi tadi, ayatnya berbunyi : Do you know why you miss someone you're not supposed to? It's because Allah is not special enough in your heart yet!

Wallahu'alam.


Wednesday 16 November 2011

hadiah dari Queenstown

Jujur walau cuti di Wellington kali ini agak panjang untuk dihabiskan, percayalah saya masih tidak punya banyak masa untuk mengemas kini blog yang berhabuk ini. Maaf dari saya. Hari ini sempat berbual singkat dengan adik di Malaysia yang sedang bercuti dari pengajiannya di Matrikulasi, saya tanyakan khabarnya kerana sudah berminggu tidak menelefon ke rumah. Alhamdulillah Allah masih memberi kesempatan untuk saya mendengar suara manja adik, walaupun tidaklah selama mana tapi itu sudah cukup menghibur diri, mengubat rindu saya sebagai anak rantau di sini. Bersyukur juga kerana kehadiran teknologi, sempat juga saya melihat sekilas wajahnya melalui Skype. Syukur, alhamdulillah. 

Saya mengagumi kerajinan adik yang suka mengemas kini blog nya. Saya juga kagum dengan idea dan cerita yang dikongsi di blog miliknya. Bukan niat saya untuk mempromosi blog adik sendiri, sekadar mengagumi kelebihan anugerah Tuhan pada seorang hamba. Lantas kesempatan saya berbual dengannya petang tadi, saya tanyakan soalan padanya. Apa tajuk entri seterusnya yang patut saya tulis. Lalu adik menjawab, tulislah cerita kamu kembara di Queenstown. Adik teringin nak tahu. Pada saya, tiada banyak yang ingin saya ceritakan, tetapi bila saya fikir dan renungkan kembali, ada sesuatu yang istimewa tentang kunjungan ke South Island di New Zealand ini. Ada sesuatu yang terlintas di hati. 

Queenstown. Sebelum ini saya cuma mendengar dari cerita rakan seperjuangan di bumi wellington ini, betapa indah bumi new zealand di bahagian selatan itu. Pada saya, bumi wellington yang menjadi saksi permulaan dan jerih payah seorang pelajar di perantauan ini sudah cukup indah dan menarik hati, maka saya tertanya-tanya apa pula bezanya dengan suasana di seberang sana. Kerana terlalu ramai yang bercerita, dan kerana hati ini yang tidak puas-puas mencari jawapan, lalu saya menyuarakan hasrat kepada rakan seperjuangan untuk bersama ke sana. Alhamdulillah Allah permudahkan perancangan kami, lantas perjalanan kembara di bumi south island bermula 11 november lalu.

from  http://www.flickr.com/photos/farahfareen/sets/72157628138984548/
Perjalanan kami dari wellington menaiki penerbangan ke bumi Christchurch cuma mengambil masa sejam dari Wellington. Lalu kami sempat singgah di rumah teman seperjuangan selama semalam. Keesokannya kami bertolak ke Queenstown bersama hati yang berdebar, tidak tahu apa yang menanti.Sebaik menjejak langkah di lapangan terbang Queenstown, hati ini tidak putus-putus bersyukur melihat keindahan ciptaan-Nya yang sangat sempurna. Gunung dan bukit-bukau yang tersergam kukuh, awan yang terbentang di langit biru, semuanya bagai sebuah mimpi. Bumi Queenstown ini cukup unik dan membuat hati cukup terusik dengan keindahannya, Tidak tergambar dengan kata-kata. Tasik yang langit biru, jernihnya ibarat cermin yang memantulkan kekuasaan Tuhan. Lantas hati ini sebak. Jika syurga lebih indah dari ini, jika dunia ini sudah cukup membuat aku bahagia, aku tidak mahu kembali ke dunia realiti di mana manusia tidak sudah-sudah merosakkan keindahan bumi ciptaan Ilahi. Sedih sekali. dan sungguh tidak saya sangka, air mata tertumpah saat terbang di langit biru, kerana saya tahu bumi di bawah sana penuh dengan liku dan kerosakan akibat perbuatan manusia itu. Tidakkah mereka menyedari hakikat itu?


Siapalah saya. Siapalah saya untuk berkata. Hakikatnya saya juga hamba-Nya yang penuh khilaf. lalu saya memohon agar diberi kekuatan, diberi suntikan motivasi dan inspirasi sepanjang di bumi Queenstown itu untuk menguatkan hati meneruskan perjuangan menegakkan Islam di muka bumi ini, juga lebih penting menegakkan Islam dalam diri saya sendiri. Istiqamah inshaAllah. Perjalanan di bumi Queenstown pada hari kedua, menjejakkan kaki di bumi yang diberi nama Milford Sound.

Subhanallah. Subhanallah. Saya teringat perkongsian seorang rakan saat kami dalam perjalanan ke Milford Sound, katanya, warna hijau disekitar kami, warna hijau yang menghiasi perjalanan kami telah Allah ibaratkan dalam Al-Quran sebagai warna syurga. Lalu saya terfikir, jika Milford Sound ini sudah cukup indah bagi saya, ibarat syurga dunia, apatah lagi syurga yang kekal di akhirat sana. Wallahu'alam tiada siapa yang mampu menjangkau keindahan ciptaan-Nya. Saya merasa diri ini cukup kerdil di tengah-tengah keajaiban ciptaan Tuhan. Masih ramai manusia di luar sana yang menginginkan peluang seperti saya saat itu, untuk berada di sana, tetapi Allah memilih saya. Subhanallah, bersyukur sekali atas peluang itu.

Saat itu saya juga terfikir, jika Allah sudah memilih aku, jika Allah sudah mengizinkan aku untuk berada di bumi New Zealand ini, jika Allah sudah menghadiahkan aku perjalanan ke bumi Milford Sound ini, apakah sumbangan aku pula pada-Nya? Apakah yang aku lakukan sebagai tanda syukur pada-Nya? Adakah sekadar mengucap Alhamdulillah? Sudah tentu itu tidak cukup. Sudah tentu itu belum memadai untuk menyatakan rasa syukur saya sebagai hamba yang dipilih untuk mendapat nikmat ini. 

http://www.flickr.com/photos/farahfareen/sets/72157628138984548/

Lalu saya ingin menganggap perjalanan saya di bumi indah bernama Queenstown itu sebagai satu hadiaah dan galakan, sebagai satu motivasi dan inspirasi untuk terus kuat bekerja untuk agama-Nya, tiada lagi alasan untuk bermalas-malasan. Untuk terus memerah keringat menyambung perjuangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat menyebarkan Islam kepada semua. Terutama rakan di sekeliling kita, terutama kepada keluarga kita. Kerana jika bukan kita yang berusaha untuk menegakkan Islam kepada rakan dan keluarga, siapa lagi yang dapat kita harapkan? bukankah setiap orang dilahirkan sebagai pemimpin untuk memimpin dirinya sendiri dan orang di sekelilingnya menuju kebahagiaan abadi? Lantas apa makna kebahagiaan abadi? jawapannya tentulah syurga  milik Allah. bagaimana ke ingin ke syurga yang teramat mahal itu? Bangunlah dan berilah peringatan kepada saudara seagama tentang agama, agar kita sama-sama boleh berubah dan membentuk diri menjadi muslim yang diredhai Allah sentiasa dan muslim yang bukan Islam sekadar pada nama.


"Wahai orang-orang yang berselimut! Bangunlah, lalu berikan peringatan! Dan Rabbmu, agungkanlah! Dan pakaianmu, bersihkanlah! Dan perbuatan dosa, tinggalkanlah..!"
[al-Muddatsir, 74:1-5]





http://www.flickr.com/photos/farahfareen/sets/72157628138984548/


InshaAllah. Moga Allah redha. Teruskan usaha, doa dan tawakal. Jangan pernah putus asa dengan rahmat-Nya.

Wednesday 2 November 2011

awas! laman sosial di hadapan.

assalamualaikum..dan buat ke sekian kalinya akhirnya ada juga masa yang dapat dicuri untuk mengemas kini blog yang dah usang teramat ini. Subhannallah, masa berlalu begitu pantas. Sekarang sudah berada dalam bulan november, alhamdulillah saya berjaya menamatkan tahun kedua di Victoria University dengan selamat. Sekarang hati berdebar-debar menunggu keputusan peperiksaan. Sejujurnya saya sedang bercuti saat ini, tapi cuti bukanlah bererti banyak masa yang terluang, masih terlalu banyak kerja yang menunggu sebelum berangkat pulang ke Malaysia. Oh ya, Malaysia saya sangat rindukan anda saat ini. Walaupun sebenarnya saya sengaja melewatkan kepulangan ke Malaysia atas sebab tersendiri, tapi saya percaya mungkin itu yang terbaik buat masa ini.

Saya tidak pasti apa sebenarnya tujuan saya menulis entri kali ini. Terlalu banyak yang saya harus fikirkan. Tapi mungkin saya sekadar ingin berkongsi dengan anda sedikit sebanyak perasaan saya sepanjang minggu ini. Hakikat bahawa manusia itu sentiasa akan diuji, selagi mana dia bergelar hamba Allah. Tapi saya sangat bersyukur, kerana dengan ujian itu saya banyak belajar, kerana dengan ujian itu saya banyak mengenal manusia. Banyak mengenal erti sabar dan yang paling penting belajar untuk lebih dekat dengan-Nya. InshaAllah. Moga Allah redha. 

Saya diuji dengan kerenah manusia. Manusia ini langsung tidak punya salah atau silap pada saya. tapi saya sekadar bersimpati dengannya kerana dia kurang memahami. Bukan bererti saya manusia yang lebih baik darinya, tapi perbuatannya itu begitu membuat saya merefleksi diri, begitu membuat saya tersedar dari lamunan dan mimpi. Saya sangat mengharapkan kefahaman untuknya, walaupun sebenar sangat sukar untuk saya menegur dirinya. Tetapi jika saya meletakkan diri saya di tempatnya, sudah tentu saya akan berfikir panjang sebelum meluahkan sesuatu seperti itu di laman sosial. maafkan saya yang tak sempurna, tiada langsung niat di hati untuk memburukkan sesiapa, tapi kejadian ini membuka mata saya. dan kejadian ini membuat saya banyak berfikir. laman sosial itu sebenarnya untuk apa? Laman sosial tempat berkongsi cerita, pengalaman, peringatan atau mungkin juga sekadar perkongsian tentang perjalanan kehidupan. Saya tiada masalah dengan apa yang dikongsi di laman sosial, tetapi di saat anda memilih untuk berkongsi pandangan orang lain di laman sosial, saya sangat mohon agar anda berfikir tentang beberapa perkara :









i) siapakah sumber yang anda ingin kongsi itu? adakah seorang public figure atau atas nama mana-mana pihak yang berkenaan? 
ii) adakah sumber ini wajar dirujuk? adakah ia akan mengundang spekulasi yang buruk tentang diri anda atau orang lain?
iii) adakah sumber ini melanggar syariat islam? atau dalam kata lain, adakah sumber ini bertentangan apa-apa pandangan menurut islam?
iv) adakah ia bermanfaat untuk anda sebagai perkogsian/ peringatan dengan orang lain terutama sekali orang islam?

maafkan saya. Saya bukan mencuba untuk mengajar sesiapa tentang bab ini. Tetapi saya risaukan perbuatan manusia yang melakukan sesuatu tanpa berfikir panjang. maafkan saya, saya bukan insan sempurna untuk mnegur anda, saya bukanlah sesiapa. tetapi saya cuma ingin mengingatkan anda tentang satu perkara; setiap butir kata yang anda luahkan dari mulut, atau anda tulis di laman sosial, atau anda kongsi dari orang lain akan dipersoal Allah di akhirat kelak. Sungguh, saya juga tidak terlepas dari disoal di akhirat kelak. Justeru saya membuat pilihan untuk lebih berhati-hati sebelum menulis apa juga kata yang terlintas dari kotak minda ini. Dan saya juga sangat memohon teguran anda saat saya punya khilaf dalam menulis bicara yang tidak seberapa ini. Saya juga mengaku, ada kalanya saya terlalu berfikir sebelum menulis sesuatu, hingga tidak terluah apa yang hendak dikatakan. 

Maka jika anda hendak melontarkan apa juga pandangan anda, apa juga perkogsian tentang diri anda atau orang lain, berhati-hatilah. Syaitan itu sentiasa menunggu peluang kita leka dan mencucuk otak kita dengan ideologi kotornya. Nauzubillah, minta dijauhkan. Saya cuba memohon anda fikirkan sejenak dan nilai kembali niat anda sebelum anda menekan butang 'post' atau 'update' atau apa-apa butang yang berkenaan di mana-mana laman sosial berkenaan. Berniatlah kerana ingin melakukan kebaikan, menyebarkan peringatan yang ikhlas untuk kebaikan diri sendiri dan juga saudara seagama. InshaAllah, ganjaran lumayan menanti anda di akhirat kelak.

Saya menulis entri ini bukan untuk kebaikan diri saya tetapi untuk kebaikan diri anda. Untuk menjadi saham anda ke syurga di akhirat sana, inshaAllah. Maafkan kata-kata atau bicara saya yang tidak sempurna. Sempurna itu hanya sifat Dia, Yang Maha Esa. Moga Allah terus memberkati perjalanan anda di dunia ini. Itu doa saya. 


Wallahu'alam.



Sunday 9 October 2011

SOUTHERN GATHERING 2012

are you flying to australia or new zealand next year? come and join us in a pre-departure programme brought to you by AUSIS. it's free of charge!!!

Thursday 6 October 2011

baca jika anda sayangkan umat!



-sharing dari email, forward dari kolej islam, "Separuh Rakyat Malaysia Keturunan Penzina"

Agaknya tidak ramai yang membaca pendedahan fakta amat memalukan berhubung tahap kebobrokan akhlak remaja kini oleh sebuah tabloid harian pada Sabtu, 1 Oktober. Mungkin juga di kalangan yang terbaca paparan itu pula tidak lagi menganggapnya suatu yang besar atau mengejutkan. Justeru, tidak ada yang peduli jika pun isu sebegitu serius tidak diperpanjangkan perbincangannya. Laporan dimaksudkan itu mendakwa setiap tiga daripada enam remaja berumur antara 15 hingga 28 tahun di negara ini mempunyai rekod hubungan seks luar nikah. Disebutkan antara faktor utama mendorong perbuatan sundal itu ialah perasaan ingin mencuba, terutama sebagai akibat langsung daripada menonton video lucah. Namun fakta lebih mendukacitakan ialah apabila dikatakan kebanyakan remaja terbabit adalah lulusan universiti, tidak terkecuali yang memiliki PhD. Ertinya, ia bukan hanya dilakukan kalangan remaja liar dan tidak berpelajaran, tetapi turut melibatkan mereka yang memiliki pencapaian akademik agak memuaskan.

Laporan itu memetik hasil Kajian Isu Pembuangan Bayi oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) pada September hingga November 2010. Ia melibatkan seramai 5,016 responden yang dipilih secara rawak, terdiri daripada 2,457 orang atau 49 peratus remaja lelaki, manakala 2,559 atau 51 peratus responden adalah perempuan. Di antara dapatan kajian itu, seramai 2,260 responden mengakui terbabit seks bebas. Manakala 1,922 daripada mereka mengetahui rakan mereka mempunyai sejarah hitam mengandung anak luar nikah. “Berdasarkan kaji selidik itu juga, sebanyak 52 peratus (2,608) menyatakan rakan mereka melakukan seks sebelum berkahwin dan 76 peratus (3,812) lagi mempunyai rakan pernah menonton video serta memiliki bahan lucah,” laporan itu memetik kata Ketua Pegawai Operasi IPPBM, Zakariah Md Sam. Sangat membimbangkan kita apabila masyarakat seakan tidak lagi sensitif dengan fakta amat menggerunkan mengenai tahap kebobrokan akhlak remaja kini. 

Lontaran fakta itu tidak disambut mana-mana media.  Bahkan tabloid yang bertanggungjawab mendedahkannya pun mengambil sikap sekadar melaporkan, seolah-olah hanya untuk mengisi tiga suku mukasuratnya untuk hari itu sahaja. Sedangkan ia diletakkan di bawah kategori laporan ‘EKSKLUSIF’, yang pada kebiasaannya mengundang pelbagai reaksi dan ulasan. Namun dalam kes ini tiada laporan atau tinjauan susulan dibuat tabloid itu sendiri. Tiada pihak, sama ada aktivis sosial atau warga prihatin yang disorot pandangan dan reaksi mereka. Tidak sepertimana ghairahnya media arus perdana memanjangkan isu filem dan drama tema hantu dan seram yang didakwa berunsur tahyul dan tidak mendidik masyarakat. Media juga di masa sama masih berselera menghidupkan isu hudud. Atas sebab sangat nyata, ia bermaksud mencari keuntungan politik buat parti pemerintah dan di masa sama menjerumuskan parti-parti pembangkang ke kancah pertikaian lebih buruk. Namun secebis fakta mengenai akhlak remaja kita itu, walau pun tidak begitu menarik  minat masyarakat (atau sebenarnya sengaja tidak mahu diperpanjangkan media arus perdana?), sebenarnya turut mempunyai hubungkait dengan isu hudud yang digemariuhkan itu.  Lebih-lebih lagi jika kita melihat hukum hudud dan lain-lain cabang hukum Islam itu sebagai salah satu mekanisme dikemukakan Islam untuk menyedar dan mendidik masyarakat dalam ertikata yang lebih luas dan menyeluruh. Bukankah itu yang dapat kita fahami dari firman Allah dan sabda Junjungan s.a.w. tatkala menghuraikan fungsi dan maksud hukum-hukum syariat?


Justeru, amat kena pada masa tatkala khalayak penguasan politik sedang ghairah memperkecil dan memperlekeh usaha mendaulatkan hukum Islam, tiba-tiba fakta kesumbangan akhlak remaja tadi didedahkan.  Sebabnya, pendedahan itu juga menyeret pertikaian terhadap tahap kecemerlangan dan keberkesanan sistem pendidikan negara. Bahawa ia hanya mampu melahirkan insan yang cemerlang akademik, tetapi sangat bobrok akhlak dan jelik keperibadian mereka. Apa tidaknya apabila kajian tadi mengesahkan 76 peratus daripada yang mengakui terlibat dengan gejala memalukan itu adalah pemegang ijazah, diploma serta PhD? Justeru, memang tepat sergahan dilontarkan Zakariah, “... jadi bila mereka ini sudah terbabit dengan isu moral, bagaimana golongan ini mampu dijadikan teladan kepada belia lain yang memandang tinggi status mereka sebagai orang yang berpendidikan tinggi”. Kebetulan pula laporan itu diterbitkan  pada hari sama Perdana Menteri membuat kenyataan mendakwa sistem pendidikan negara kita adalah yang terbaik, malah lebih baik daripada sistem diamalkan beberapa negara maju. Sudah tentu dengan terdedahnya dapatan kajian tadi, dakwaan Dato’ Seri Najib Razak itu dengan sendirinya layak dipersoalkan. Kajian IPPBM itu tidak menyokong dakwaan beliau itu. Apakah kita tergamak berbangga dan mendakwa sistem pendidikan kita terbaik sekiranya separuh produk dihasilkannya terbabit seks bebas? Apa gunanya mereka berjaya dan cerdik tetapi tidak tahu di mana letaknya dosa-pahala? Berbanggakah kita dapat menghasilkan ramai cerdik-pandai atau anak-cucu yang sangat cemerlang akademik mereka, sedangkan di masa sama mereka amat bobrok akhlak dan tingkahlaku?  


Tidak dinafikan sistem pendidikan sedia ada telah berjaya menghasilkan ramai cerdik pandai, cendikiawan pelbagai bidang dan jurusan. Kita tidak kurang peguam dan pakar undang-undang, tetapi tidak sedikit antara mereka menggunakan pengetahuan luas dalam perundangan untuk memutarbelit fakta dan menukar harta orang menjadi miliknya. Kita berbangga memiliki ramai anak bangsa bergelar doktor, tetapi antara mereka juga ada yang aktif merosakkan generasi muda dengan sindiket penjualan ubat batuk dan seumpamanya. Apa guna kita ada pakar sejarah, tetapi cenderung memberikan gambaran positif dan memuji kaum penjajah? Apa guna kita ada penggiat ekonomi yang dianggap berjaya dan kononnya membanggakan kaum bimputera, sedangkan hampir setiap langkah mereka menyempurnakan kerja diiringi ‘duit kopi’ atau ‘tumbuk rusuk’? Pernah disiarkan media sebelum ini mengenai tinjauan terhadap sikap penuntut universiti tempatan berhubung isu rasuah. Bayangkan antara mereka secara terus terang mengakui tidak ada masalah untuk melakukan perbuatan merosakkan itu sekiranya keadaan menghendaki mereka berbuat demikian. Tinjauan juga pernah dibuat di kalangan penuntut perempuan nmengenai kemungkinan mendapat pasangan lelaki berusia. Sebahagian tidak sedikit antara mereka menyatakan tidak kisah bersuamikan orang tua, asalkan orang itu kaya dan dapat menjamin keperluan kewangan mereka.  


Dua kes ini menunjukkan fokus pemikiran penuntut universiti kita sudah terarah kepada mencari dan menjamin kepentingan kebendaan. Soal moral dan nilai positif masyarakat nampaknya sudah tiada dalam perkiraan mereka. Itu belum lagi kita sebut soal adab sopan dalam tuturkata dan perlakuan mereka, terutama di khalayak awam. Tidak ada rasa hormat terhadap orang tua, bercakap lucah dan kotor. Berkelakuan tidak senonoh, berpakaian macam orang tidak bertamadun dan berbagai lagi perlakuan memualkan.  Lebih teruk lagi, mereka bukan sahaja biadab terhadap sesama manusia, malah tidak kesah untuk berlaku biadab terhadap suruhan dan larangan Tuhan. Apatah lagi mereka membesar dalam suasana sekalian pembesar dan orang terhormat dalam masyarakat bercakap mempertikaikan kewibawaan hukum Tuhan. Segenap saluran media massa pula memberikan gambaran positif terhadap kenyataan dan pendirian sedemikian. Sebagai kelompok yang banyak membuat keputusan dalam hidup berpandukan perkiraan logik akal, golongan remaja ini terdorong berfikir lebih jauh. Terlintas di fikiran mereka, jika para pemimpin yang berkuasa mengatakan hukum Islam yang datang dari Tuhan itu tidak sesuai dilaksanakan di zaman ini, bermakna Tuhan yang menciptakan hukum itu juga tidak sesuai disembah dan diagungkan.  


Lebih meyakinkan lagi mereka ini apabila kenyataan para pemimpin yang kurang asas ilmu agama itu diperakui atau tidak langsung dibantah oleh sebilangan para ulama dan mereka yang dikenali sebagai cendikiawan Islam.  Lalu mereka ini membesar dan membentuk kematangan hidup dalam suasana tidak ada keyakinan terhadap hukum dan peraturan Tuhan. Apabila keagungan hukum suci itu pun sudah tidak dipahat di hati, maka apatah lagi hukum dan undang-undang ciptaan manusia? Logiknya, jika hukum Tuhan pun mereka tidak rasa apa-apa untuk permainkan, maka apakah kita boleh harap mereka akan merasa gerun dan takut untuk melanggar hukum dan undang-undang manusia? Akibatnya, mereka tidak akan takut untuk rasuah, salahguna kuasa, menyeleweng wang syarikat atau pejabat, menipu dalam perniagaan dan berbagai perbuatan tidak bermoral. Isu ini sebenanya sangat berkait rapat dengan agenda pembinaan generasi masa depan negara. Kita yang telah dewasa kini tidak akan mampu menongkat langit. Kita semakin menua dan dimamah usia. Kanak-kanak dan remaja hari ini lah bakal mengambil alih segala aktiviti penghidupan. Mereka lah yang akan mengisi segenap tahap penggerak masyarakat, bermula daripada pengikut dan pencacai bawahan sehingga ke pemimpin atasan. Maka apakah dengan keperibadian remaja yang ada kini segala kemakmuran dan keamanan yang kita kecapi hari ini mampu dikekalkan hingga ke masa depan? Lebih membimbangkan lagi, apakah peribadi-peribadi yang berkemungkinan bakal mengambilalih kepimpinan masyarakat sebegitu dapat kita harapkan untuk menjaga agama di masa depan? 


Timbunan kes-kes salah laku sosial, jenayah berat dan keganasan seksual membabitkan remaja yang terhidang di media saban hari kebelakangan sebenarnya mengisyaratkan hakikat amat menakutkan tentang masa depan negara. Sepertimana digambarkan hasil kajian IPPBM tadi, jika kecenderungan itu dibiarkan berterusan dan peratusan mereka yang terlibat dengan seks bebas di kalangan generasi akan datang kekal melebihi 50 peratus, maka dapat kita congak apa hakikat yang bakal dihadapi negara kita 30 atau 40 tahun nanti.  Tatkala para remaja yang separuh mereka terdiri daripada bekasan penzina ini menjadi warga paling tua dalam masyarakat, dan tabiat buruk mereka turut sama dilalui ibubapa segenap lapisan umur selepas mereka, maka sudah tentu ketika itu kesemua yang bergelar anak atau cucu kepada mereka adalah beribubapa atau berdatuk-nenekkkan manusia yang ada rekod akviti seks luar nikah. Alangkah malunya muka dan walangnya hati apabila dikatakan pada ketika itu separuh daripada jumlah rakyat Malaysia adalah dari keturunan bekas penzina! Mohon dijauhkan Allah dari hakikat itu.  
Justeru, mengapa tidak kita beri peluang kepada hukum Islam memperbetulkan keadaan dan menyelamatkan negara dari kemungkinan menakutkan itu?
 
- Di petik dari HD

Sunday 25 September 2011

masih di situ?


hairan sekali melihat manusia itu
manusia yang pada aku sudah terlalu jelas dengan hakikat yang satu
hakikat yang hidup itu permainan cuma
hakikat yang dia akan kembali menemui Tuhannya
hakikat yang dia tidak punya masa

mengapa dia masih di situ?
mengapa dia masih lagi tidak memulakan langkah seribu?
tahukah dirinya ada sesuatu yang sentiasa memerhati peluang itu?
tahukah dirinya sedang dibuai mimpi yang menipu?
tahukah dirinya sedang dibiar diratah dan dimamah nafsu?

hairan amat melihat manusia itu
dia bahagia bergelak ketawa bergurau senda
tahukah dirinya malaikat maut itu tidak jauh darinya
tahukah dirinya dunia ini ibarat sebelah sayap nyamuk cuma

mengapa dia masih di situ
menghibur hati dengan angan-angan yang sia-sia
hairan sekali ke mana hilang semua rasa percaya
adakah dia sekadar petah berkata dan berbicara??
sedangkan kebenaran itu di depan matanya, masih terngiang-ngiang di telinganya!
sedangkan keyakinan itu pernah dia suarakan dari hatinya!

mana? mana? di mana keyakinan itu?
di mana janji seorang hamba yang dibicarakan dahulu?
adakah sekadar kata kosong yang menipu??!
di mana bukti cinta dan sayang pada Dia yang satu?
wahai jiwa yang terleka
wahai jiwa yang alpa
tahukah kamu? 
minit dan saat seterusnya itu belum tentu dalam genggamanmu?
masih mahu berada di situ?
masih mahu kaku dan layu?
masih mahu bertuhankan nafsumu?
kerana janji Tuhanmu, kematian dan akhirat itu pasti berlaku!
teruskan langkahmu, bukalah hatimu!

*peringatan buat diri ini yang masih bertatih dalam meneruskan langkah beribu batu mencari redha-Nya.

Sunday 4 September 2011

life's a battlefield


hidup tanpa ujian dan cabaran itu ibarat hidup dalam angan-angan. Kerana hidup ini suatu perjuangan. Perjuangan yang tidak akan pernah berhenti selagi roh tidak terpisah dari nyawa seorang insan. Hidup manusia itu hakikatnya penuh rintangan dan cubaan, sejak dari dilahirkan sehingga kita bakal dikuburkan. Tidak percaya? Buktinya di hadapan mata. Semua manusia hidup dalam perjuangan, ada yang berjuang untuk memuaskan hati, memenuhi impian, mengejar cita, mengumpul kemewahan, menikmati hiburan, mencari kesenangan, mencari teman? bermacam tujuan dan pengorbanan dilakukan untuk memenuhi semua impian.

Namun harus kita fahami adakah perjuangan-perjuangan memenuhi impian ini bakal menolong kita nanti? adakah semua penat lelah ini dapat membantu kita di akhirat nanti? adakah perjuangan ini bakal menjadi sumbangan untuk kita mencari syurga Allah? cuba reflek kembali perjuangan kita selama ini? 

saudaraku,
tidak salah berjuang mengumpul harta.
tidak salah berjuang memenuhi cita-cita,
tidak salah berjuang memenuhi kehendak manusia
tapi ia menjadi salah saat engkau melupakan agama dalam memenuhi kehendak-kehendak ini!

sedarlah engkau saudaraku,
jika cuma sekadar itu perjuangan kamu,
jika sependek itu angan-anganmu..
sia-sialah penat lelahmu
sia-sialah pengorbananmu
kerana bukan itu bekal yang bakal membantumu di akhirat kelak
bukan itu yang mampu menjadi pemberat timbangan yang baik kelak
bukan itu!

kerana bekal yang sebenar adalah iman. Bekalan yang bakal menjanjikan seribu kemanisan di akhirat sana. Kehidupan manusia di dunia yang dihiasi iman, tidak akan menjadi sia-sia. Perjuangan dalam apa pun urusan dunia, perlulah dihiasi iman. Jika kamu mengumpul harta kerana iman, sudah tentu harta itu dimanfaatkan ke arah jalan yang diredhai Allah, tidak ada unsur-unsur syubhah dan sebagainya. Jika kamu berjuang mencari teman, tentu kamu akan memastikan kamu tidak melanggar batas-batas syara' dan menjaga ikhtilat (hub. lelaki dan perempuan) sebaik mungkin. Jika kamu berjuang untuk cita-cita, sudah tentu kamu tidak akan melupakan agama dalam kerjaya. 

Semuanya perlu disertai dengan iman. Barulah perjuangan itu tidak sia-sia, barulah perjuangan itu menjadi satu kemenangan. Kerana apa pun perjuangan di dunia ini, jika bukan dilakukan untuk mencari redha-Nya bakal jadi sia-sia dan tiada harga. Bakal jadi satu kekalahan nyata. Mungkin indah pada pandangan mata, tapi hakikat itu adalah, keindahannya cuma sementara. Kamu punya harta dan segala-gala, tapi hati itu tidak akan pernah puas dan risau tiap saat akan kehilangan harta itu. Bahagiakah begitu? 

Maka, jadikanlah perjuangan kehidupan kamu di dunia ini sesuatu yang berharga. sesuatu yang mampu memberi pulangan yang lumayan di akhirat kelak. jangan hanya mengejar dunia, kelak akhirat kamu tercicir. Perniagaan yang paling menguntungkan adalah dengan menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya, kembali kepada agama, menghiasi hidupnya dengan iman, berpesan-pesan kepada kebenaran dan meninggalkan kemungkaran. Islam menuntut kita bersaudara, tanpa mengenal warna kulit atau bangsa atau pangkat. kamu lihat realiti saudara - saudara seagama kita di Palestin dan Somalia yang bertarung nyawa berjuang tiap hari? syukuri nikmat yang ada pada hari ini, berjuanglah selagi daya untuk agama dan akhirat, hiasi tiap penjuru hidupmu dengan iman yang suci. Jadilah muslim yang mencerminkan keindahan Islam sebenar.

"Jika kamu takutkan cabaran dan ujian, jangan pernah mengaku kamu punya kehidupan. Kerana kehidupan tanpa ujian dan cabaran itu cuma angan-angan"

Thursday 18 August 2011

kisah ramadhan kali ini

assalamualaikum, rasanya belum terlewat untuk aku coret kisah aku di bulan ramadhan ini. Pengalaman berpuasa di bumi new zealand untuk tahun yang kedua ini sangat aku syukuri. Walau beberapa hari sebelum menjelang ramadhan ini aku hampir menyangka aku bakal tidak bertemu dengannya kerana satu peristiwa ngeri. Alhamdulillah, alhamdulillah Allah masih memberi peluang untuk aku memanfaatkan sepenuhnya bulan yang sangat dicintai umat islam ini. Saat itu aku merasa nyawa seolah di hujung tanduk. Ya Allah cukup sudahkah bekalan untuk aku menemui-Mu, jika ditakdirkan aku tidak lagi bernafas saat ini. Syukur sangat aku masih diberi peluang berdiri, berusaha dan berdoa untuk mencari redha-Nya hingga saat ini.


Realiti yang harus aku terima adalah, setiap hari yang baru menandakan dekatnya kita kepada kematian. Semoga kita terus istiqamah beribadah kepada-Nya, dan meneruskan iabadah-ibadah itu sehingga ke bulan seterusnya. teringat kata-kata seorang blogger di facebook awal ramadhan lalu, "jadilah hamba Allah, bukannya hamba Ramadhan". Maknanya semua ibadah kita haruslah dilakukan semata-mata kerana mengharap redha Allah, bukan kerana mengharap pahala sahaja, kerana jika kita ikhlas kerana Allah, inshaAllah kita akan terus kuat beribadah walaupun selepas Ramdhan berlalu meninggalkan kita.



Cerita aku tentang ramdhan kali ini. Aku mahu ramadhan ini berbeza. Tidak mahu lagi sama seperti tahun dahulu. Tidak mahu lagi ia berlalu tanpa meninggalkan kesan pada diri. Alhamdulillah diberi kekuatan untuk meneruskan ibadah sebelumnya, juga menambah lagi amalan lainnya. Istiqamah. Itu peringatan buat diriku sepanjang ramadhan. Walau sudah hari ke lapan belas berpuasa, dan berbaki cuma dua minggu, tapi sepuluh hari terakhir ramadhan itu bakal jadi kayu ukur kemampuan aku untuk terus istiqamah. Moga diizinkan-Nya inshaAllah.

Musim sejuk ramadhan kali ini memang mencabar. Sibuk dengan tugasan, ujian dan peperiksaan. Bumi wellington yang tidak pernah bersalji selama hampir 50 tahun, menerima kehadiran salji yang pada aku cukup menggambarkan kekuasaan Allah Maha Esa. Dia Maha Pencipta, dan tidak pernah aku menyangka aku bakal melihat salji turun di rumah, subhanallah. Moga jadi pengajaran untuk diri, kerana semua yang ada di langit dan bumi itu cuma milik-Nya. manusia itu cuma hamba yang lemah tidak berdaya. 

salji di belakang rumah- 15 julai 2011

Teringat ayat surah An-Nur : 41 "Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menjadikan awan bergerak perlahan, kemudian mengumpulkannya, lalu Dia menjadikannya bertumpuk-tumpuk, lalu engkau lihat hujan keluar dari celah-celahnya, dan Dia juga menurunkan (butiran-butiran) ais dari langit, iaitu dari gumpalan-gumpalan awan seperti gunung-ganang, maka ditimpakan-Nya butiran-butiran ais kepada siapa yang Dia kehendaki dan dihindarkan-Nya dari siapa yang Dia kehendaki. Kilauan kilatnya hampir-hampir menghilangkan penglihatan" Subhanallah, subhanallah. Indahnya nikmat kurniaan Tuhan.


Dua minggu terakhir ramadhan akan menjadi minggu yang teramat sibuk. Cuti pertengahan semester yang bakal bermula, juga sebenarnya bermakna tiada cuti untuk aku kali ini. perlu menyahut cabaran tugasan seorang guru. Praktikal akan bermula selama dua minggu di Waineomata High School. Tapi aku tahu, betapa sibuk dan penat pun nanti, hari-hari terakhir Ramadhan perlu aku isi sebaik mungkin. Penat itu cuma ilusi, dan kekuatan itu dari Ilahi. Jika merasa lemah, berdoalah pada-Nya agar diberi kekuatan untuk menghadapi apa juga onak duri. InshaAllah.


Ramadhan kali ini penuh makna. Penuh warna-warni. Juga sarat dengan peringatan yang berguna untuk diri. Walau tanpa kehadiran keluarga disayangi. ramadhan kali ini aku merasai keindahan ukhuwwah sahabat-sahabat sejati. Bersyukur sekali. Ya Allah, moga diri ini tidak akan pernah berhenti mencari redha-Mu. Kuatkan hati dan himmah (semangat) diri. InshaAllah.

ayahanda dan bonda ketika aidilfitri 2009

untuk keluarga di malaysia, moga bertemu di penghujung tahun ini. kasih dan rindu aku pada kalian tidak akan pernah terhenti walau sesaat, moga Ramadhan ini lebih diberkati dan lebih membawa erti. Salam ramadhan untuk semua. 

Saturday 13 August 2011

kuat sangat ke?



alhamdulillah hari ini masih bernafas di bumi wellington ini. semalam hari yang sangat indah, jumaat yang cukup memberi makna untuk aku. Berbuka puasa dengan sahabat-sahabat seperjuangan juga saudara-saudara seagama yang menuntut di universiti yang sama. Seolah-olah terasa sebuah kekuatan dari keindahan ikatan ukhuuwah yang terbina. "Muslim itu bersaudara". Satu ayat rigkas, tapi punya makna yang cukup mendalam. Saudara itu ertinya kita dari satu ayah yang sama, iaitu Islam. Aku teringat kisah seorang sahabat ketika dalam perang badar, adik kandungnya menjadi tawanan tentera islam saat itu. Adiknya memohon untuk dilonggarkan sedikit ikatan tangannya, tetapi sahabat itu menyatakan kepada tentera muslim yang mengikat adiknya, agar mengetatkan lagi ikatan itu. Katanya, "kau bukan saudaraku. Dialah saudaraku (tentera muslim), dan aku tiada ayah melainkan islam" Subhanallah, utuhnya pegangan, teguhnya pendirian sahabat ini tentang ikatan ukhuwwah dalam islam, sehingga adik kandungnya sendiri itu dilupakan, kerana bukan islam.


Hari ini aku mahu berbicara tentang kekuatan. Kuat? apa makna kuat? siapa rasa dirinya kuat sila angkat tangan! kuat itu bererti mampu, mempunyai daya dan usaha untuk melakukan sesuatu. Sekurang-kurangnya itu definisi kuat pada aku. Tapi sekuat mana pun seorang manusia itu, semuanya datang dari Allah s.w.t. Ya, SEMUANYA DAN SEGALANYA. termasuklah kekuatan untuk kita bernafas, kekuatan untuk bangun pagi, kekuatan untuk makan, kekuatan untuk pergi bekerja juga kekuatan untuk mengerdipkan mata! Selemah-lemah kekuatan yang kita ada untuk melakukan sesuatu itu, semuanya dari Allah. Apa jadi kalau Allah tarik nikmat kekuatan pada diri kita? Mampukah aku menaip entri ini? Mampukah aku untuk menggerakkan jari menulis blog ini? mampukah kamu membaca tulisan ini? Sudah tentu sekali tidak mampu! Bahkan untuk melihat skrin laptop ini juga ini aku tidak mampu tanpa izin-Nya. Sekarang kita faham satu hakikat..

SEMUA KEKUATAN MANUSIA ITU DATANGNYA DARI ALLAH S.W.T

jadi setujukah kamu jika aku katakan manusia itu TIDAK LAYAK mengatakan dirinya cukup kuat. Ya, mungkin tabah dan kental fizikalnya, tapi tanpa izin Allah semua itu tidak mungkin dan jauh sekali dari genggaman. Fitrah manusia itu adalah sebagai hamba. Apa konsep hamba? hamba bereti lemah dan sentiasa mengharap pertolongan dan pemberian daripada tuannya, dengan syarat dia berkhidmat kepada tuannya. Maka dia akan mendapat ganjaran. Kamu faham itu bukan? Sekarang, hakikat kedua yang kita WAJIB faham adalah:

MANUSIA ITU ADALAH HAMBA, HAMBA LEMAH YANG PERLU BERBAKTI KEPADA TUANNYA, IAITU ALLAH S.W.T.

Baik, sekarang apa kaitan hakikat sumber kekuatan manusia itu dengan konsep hamba? Tanggungjawab hamba adalah berbakti kepada tuannya bukan? Jadi, bagaimana manusia berbakti kepada tuannya, iaitu Allah s.w.t? Maka sudah tentu dengan beribadah, menyeru manusia ke arah kebaikan dan meninggalkan larangan. Itu antara tuntutan sebagai seorang hamba. Namun manusia itu juga banyak beralasan. Aku tidak cukup kuat, aku malu, aku segan, diri ini tidaklah sebaik mana. Emm, beribu-ribu alasan. Nak beribadah pun masih memilih. Malaslah, dah buat yang wajib pun cukuplah. 

Baik. Sekarang kita tanya pada diri kita. Kalau nak kekuatan dalam beribadah, kalau nak kekuatan untuk menunjukkan contoh akhak yang baik, dan apa juga kekuatan pun, maka kita perlu berdoa pada Allah. Doa itu senjata orang mukmin. Allah itu Maha Pengasih, berdoalah dengan penuh harap dan redha, nescaya dia memakbulkannya dan mengurniakan kita dengan kekuatan yang tidak pernah fikir kita mampu. Masalahnya anda percaya atau tidak? 

Dalam hadis sahih yang lain yang bermaksud : Doa adalah senjata bagi orang mukmin, tiang agama dan cahaya yang menerangi langit dan bumi.

Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Tiada daripada seorang muslim yang memohon doa sedangkan dia sendiri bersih dari dosa dan juga dia tidak pernah memutuskan perhubungan silaturrahim sesama manusia melainkan Allah akan menganugerahi kepadanya satu dari tiga perkara ini : sama ada terus diterima doanya, sama ada Dia akan menangguhnya sehingga hari akhirat ataupun disimpan(ampun) segala kejahatan yang seumpanya (permintaan tadi). Maka para sahabat bertanya : Sekalipun banyak? Sabda 
baginda S.A.W : Allah lebih banyak pemberian-Nya.



Daripada Anas bin Malik Radhiallahu 'anhu telah berkata : Aku mendengar Rassulullah S.A.W bersabda : Sesungguhnya Allah berfirman (maksud) : Wahai anak Adam! Apabila engkau memohon dan mengharapkan pertolonganKu maka Aku akan mengampunimu dan Aku tidak menganggap bahawa ia suatu yang bebanan. Wahai anak Adam! Sekalipun dosa kamu seperti awan meliputi langit kemudian kamu memohon keampunanKu, nescaya Aku akan mengampuninya. Wahai anak Adam! Jika kamu menemuiku(selepas mati) dengan kesalahan sebesar bumi, kemudiannya kamu menemuiKu dalam keadaan tidak syirik kepadaKu dengan sesuatu nescaya Aku akan datang kepadamu dengan pengampunan terhadap dosa sebesar bumi itu.
-Riwayat imam Tarmizi dan kata beliau ia adalah hadis Hasan Sahih-


Menitis air mata baca hadis yang terakhir ini. Besarnya kurnia dan kasih Allah pada kita, sedangkan Dia sentiasa memberi nikmat pada kita tiap saat, tidak terhitung jumahnya. Namun, soalan penting yang kita harus tanya pada diri kita adalah : sejauh mana aku telah melaksana tugas sebagai hamba? apa sumbangan aku pada Maha Pencipta?


Jangan risau jika kamu merasa lemah, kekuatan itu ada di sisi-Nya berdoalah, berusahalah dan bertawakallah. Jangan pernah putus asa, kerana putus asa itu sifat orang yang GAGAL. Teliti, fahami dan hayati. Moga tulisan aku yang tidak seberapa ini, mampu meniupkan semangat pada diri sendiri, juga saudara-saudara segama yang aku cintai.


InshaAllah. Amin. 

Monday 8 August 2011

wanita, kamu permata berharga!!


aku menulis coretan ini dengan linangan air mata. Mulanya dengan hati yang penuh sakit dan luka melihat wajah rakan-rakan aku sendiri, memaparkan wajah mereka untuk tayangan semua, kerana ingin memenangi undi. hati aku ibarat dicarik-carik juga dikoyak-koyak oleh kaca yang tajam. Saat komputer ini memainkan lagu wanita, oleh kumpulan nasyid de hearty, air mata aku terus mengalir laju. hati ini terguris sekali.

wanita yang aku sayangi diluar sana, jika kamu tahu betapa mahal harga dirimu, betapa mulianya kedudukanmu, kamu tidak akan pernah membiarkan dirimu menjadi tatapan dan bahan hiburan untuk mereka yang tidak layak untukmu. wanita, kamu permata berharga, jauh lebih berharga dari berlian jutaan dolar, kerana kamu dicipta untuk yang teristimewa. kecantikan kamu adalah untuk suamimu juga pada yang halal bagimu.

wanita, jangan rendahkan martabatmu dengan mencalarkan permata itu. jangan biar dirimu diselaputi noda, jangan biar dirimu menjadi fitnah kepada agama. jangan mencelakakan manusia yang lainnya, manusia yang tergoda dengan kecantikanmu, manusia yang menatap rupamu sedangkan mereka bukan orang yang layak bagimu.


wanita, sedarlah betapa mahalnya dirimu. Islam itu menjaga martabat wanita setingg-tingginya, jangan pernah kamu lemparkan martabat kamu dengan melemparkan islam jauh dari hidupmu. Kembalilah kepada tuntutan agama, nescaya kamu menjadi perhiasan dunia yang paling berharga, dan juga di satu masa bakal bergelar bidadari syurga. Syaratnya, agama itu menjadi pegangan juga amanah yang tersemat sentiasa dalam jiwa.


wanita, fahamilah. aku juga seperti kamu. wanita lemah yang tidak berdaya. tapi jauh di sudut hati, aku sangat menyayangi kamu, saudaraku. jadikan dirimu permata yang berharga, bukannya kaca. permata yang dihiasi indah oleh agama, juga cinta kepada Maha Pencipta.