Sunday 20 November 2011

konflik diri?

dua tahun perjalanan menyusuri hidup sebagai pelajar di sini. Dua tahun ini juga aku cuba belajar apa ertinya berbolak-balik di atas roda kehidupan, roda yang ada kala meluncur laju di atas jalan. juga di saat roda itu jatuh dan tergolek tanpa arah. Ya, dua tahun itu banyak mengajar aku selama ini. Apa tujuan hidup, mana destinasi yang dituju juga mana arah yang seharusnya aku cari dan tetapkan langkah kaki.

Anehnya baru aku sedar hari ini. Sebelum ini, sudah 19 tahun menyusuri hidup tanpa destinasi. Yang pada aku, jika ada itu cuma ilusi. Destinasi yang aku tuju selama ini rupanya cuma mimpi dan ilusi, kerana realiti sebenar itu aku temui selepas dua tahun di sini. Selepas aku keluar dari kepompong yang menyesakkan hati. Itu. Konflik Diri.

Mengapa konflik diri? Jika aku amati kembali perjalanan hidup selama 19 tahun sebelum ini, hidup aku cuma untuk kepuasan. Mencari dan mencari semuanya semata-mata untuk memenuhi kehendak hati. Aku sedar, aku dilahirkan Islam, tapi ada banyak sisi kehidupan aku, yang pada aku tiada bezanya dengan orang yang bukan seagama denganku. Konflik diri kerana hakikatnya aku muslim, tapi diri ini langsung tidak menunjukkan identiti itu. Aku keliru, cukup keliru. 

Hidup ibarat atas bayang-bayang orang di sekeliling, mereka begini, aku begini. Mereka begitu, aku begitu. Siapa yang mereka ikuti? Siapa yang aku contohi? aku sekadar merasa kepuasan dapat bersama yang lain, yang selalunya aku masukkan dalam definisi hidup ini harus ikut trend, arus teknologi dan juga menjadi bualan ramai. Sedih sekali kerana saat itu dulu, aku tidak sedar akan konflik diri ini, lantas aku membiarkan diri terus terlelap dan terlena dalam buaian mimpi ini. 19 tahun mencari realiti dan tempoh itu juga aku dalam konflik diri dan identiti!



Konflik diri kerana aku seorang muslim. Tapi akhlak, peribadi, perkataan, niat juga perbuatan aku tidak cukup mencerminkan hakikat aku seorang muslim. Malu sungguh, aku dulu cuma muslim pada nama. Konfik diri yang teramat mencengkam diri. Sedangkan aku baru sedar saat ini. Namun aku bersyukur sekali atas kasih sayang Ilahi, dua tahun di sini, aku belajar mencari dan menguatkan hati untuk menuju destinasi realiti. Realiti yang aku cuma seorang hamba-Nya yang lemah, dan bakal ditarik nyawa bila-bila saja sedangkan aku masih lagi bertatih untuk mendekatkan diri pada-Nya. Moga perjalanan di sini menguatkan lagi iman, menambah lagi kefahaman dan amalan. 


Perjalanan ini masih jauh. Perjalanan ini juga jauh penuh duri dan liku. Tapi sekurang-kurangnya aku sangat bersyukur, kerana aku tidak lagi dalam kepompong itu. Selamat tinggal kepada dunia konflik diri dan hadapi realiti. InshaAllah.

P/S : Baru kena satu 'tamparan' hebat di pipi yang berbekas-bekas pedih saat ini selepas buka blog Langit Ilahi tadi, ayatnya berbunyi : Do you know why you miss someone you're not supposed to? It's because Allah is not special enough in your heart yet!

Wallahu'alam.


Wednesday 16 November 2011

hadiah dari Queenstown

Jujur walau cuti di Wellington kali ini agak panjang untuk dihabiskan, percayalah saya masih tidak punya banyak masa untuk mengemas kini blog yang berhabuk ini. Maaf dari saya. Hari ini sempat berbual singkat dengan adik di Malaysia yang sedang bercuti dari pengajiannya di Matrikulasi, saya tanyakan khabarnya kerana sudah berminggu tidak menelefon ke rumah. Alhamdulillah Allah masih memberi kesempatan untuk saya mendengar suara manja adik, walaupun tidaklah selama mana tapi itu sudah cukup menghibur diri, mengubat rindu saya sebagai anak rantau di sini. Bersyukur juga kerana kehadiran teknologi, sempat juga saya melihat sekilas wajahnya melalui Skype. Syukur, alhamdulillah. 

Saya mengagumi kerajinan adik yang suka mengemas kini blog nya. Saya juga kagum dengan idea dan cerita yang dikongsi di blog miliknya. Bukan niat saya untuk mempromosi blog adik sendiri, sekadar mengagumi kelebihan anugerah Tuhan pada seorang hamba. Lantas kesempatan saya berbual dengannya petang tadi, saya tanyakan soalan padanya. Apa tajuk entri seterusnya yang patut saya tulis. Lalu adik menjawab, tulislah cerita kamu kembara di Queenstown. Adik teringin nak tahu. Pada saya, tiada banyak yang ingin saya ceritakan, tetapi bila saya fikir dan renungkan kembali, ada sesuatu yang istimewa tentang kunjungan ke South Island di New Zealand ini. Ada sesuatu yang terlintas di hati. 

Queenstown. Sebelum ini saya cuma mendengar dari cerita rakan seperjuangan di bumi wellington ini, betapa indah bumi new zealand di bahagian selatan itu. Pada saya, bumi wellington yang menjadi saksi permulaan dan jerih payah seorang pelajar di perantauan ini sudah cukup indah dan menarik hati, maka saya tertanya-tanya apa pula bezanya dengan suasana di seberang sana. Kerana terlalu ramai yang bercerita, dan kerana hati ini yang tidak puas-puas mencari jawapan, lalu saya menyuarakan hasrat kepada rakan seperjuangan untuk bersama ke sana. Alhamdulillah Allah permudahkan perancangan kami, lantas perjalanan kembara di bumi south island bermula 11 november lalu.

from  http://www.flickr.com/photos/farahfareen/sets/72157628138984548/
Perjalanan kami dari wellington menaiki penerbangan ke bumi Christchurch cuma mengambil masa sejam dari Wellington. Lalu kami sempat singgah di rumah teman seperjuangan selama semalam. Keesokannya kami bertolak ke Queenstown bersama hati yang berdebar, tidak tahu apa yang menanti.Sebaik menjejak langkah di lapangan terbang Queenstown, hati ini tidak putus-putus bersyukur melihat keindahan ciptaan-Nya yang sangat sempurna. Gunung dan bukit-bukau yang tersergam kukuh, awan yang terbentang di langit biru, semuanya bagai sebuah mimpi. Bumi Queenstown ini cukup unik dan membuat hati cukup terusik dengan keindahannya, Tidak tergambar dengan kata-kata. Tasik yang langit biru, jernihnya ibarat cermin yang memantulkan kekuasaan Tuhan. Lantas hati ini sebak. Jika syurga lebih indah dari ini, jika dunia ini sudah cukup membuat aku bahagia, aku tidak mahu kembali ke dunia realiti di mana manusia tidak sudah-sudah merosakkan keindahan bumi ciptaan Ilahi. Sedih sekali. dan sungguh tidak saya sangka, air mata tertumpah saat terbang di langit biru, kerana saya tahu bumi di bawah sana penuh dengan liku dan kerosakan akibat perbuatan manusia itu. Tidakkah mereka menyedari hakikat itu?


Siapalah saya. Siapalah saya untuk berkata. Hakikatnya saya juga hamba-Nya yang penuh khilaf. lalu saya memohon agar diberi kekuatan, diberi suntikan motivasi dan inspirasi sepanjang di bumi Queenstown itu untuk menguatkan hati meneruskan perjuangan menegakkan Islam di muka bumi ini, juga lebih penting menegakkan Islam dalam diri saya sendiri. Istiqamah inshaAllah. Perjalanan di bumi Queenstown pada hari kedua, menjejakkan kaki di bumi yang diberi nama Milford Sound.

Subhanallah. Subhanallah. Saya teringat perkongsian seorang rakan saat kami dalam perjalanan ke Milford Sound, katanya, warna hijau disekitar kami, warna hijau yang menghiasi perjalanan kami telah Allah ibaratkan dalam Al-Quran sebagai warna syurga. Lalu saya terfikir, jika Milford Sound ini sudah cukup indah bagi saya, ibarat syurga dunia, apatah lagi syurga yang kekal di akhirat sana. Wallahu'alam tiada siapa yang mampu menjangkau keindahan ciptaan-Nya. Saya merasa diri ini cukup kerdil di tengah-tengah keajaiban ciptaan Tuhan. Masih ramai manusia di luar sana yang menginginkan peluang seperti saya saat itu, untuk berada di sana, tetapi Allah memilih saya. Subhanallah, bersyukur sekali atas peluang itu.

Saat itu saya juga terfikir, jika Allah sudah memilih aku, jika Allah sudah mengizinkan aku untuk berada di bumi New Zealand ini, jika Allah sudah menghadiahkan aku perjalanan ke bumi Milford Sound ini, apakah sumbangan aku pula pada-Nya? Apakah yang aku lakukan sebagai tanda syukur pada-Nya? Adakah sekadar mengucap Alhamdulillah? Sudah tentu itu tidak cukup. Sudah tentu itu belum memadai untuk menyatakan rasa syukur saya sebagai hamba yang dipilih untuk mendapat nikmat ini. 

http://www.flickr.com/photos/farahfareen/sets/72157628138984548/

Lalu saya ingin menganggap perjalanan saya di bumi indah bernama Queenstown itu sebagai satu hadiaah dan galakan, sebagai satu motivasi dan inspirasi untuk terus kuat bekerja untuk agama-Nya, tiada lagi alasan untuk bermalas-malasan. Untuk terus memerah keringat menyambung perjuangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat menyebarkan Islam kepada semua. Terutama rakan di sekeliling kita, terutama kepada keluarga kita. Kerana jika bukan kita yang berusaha untuk menegakkan Islam kepada rakan dan keluarga, siapa lagi yang dapat kita harapkan? bukankah setiap orang dilahirkan sebagai pemimpin untuk memimpin dirinya sendiri dan orang di sekelilingnya menuju kebahagiaan abadi? Lantas apa makna kebahagiaan abadi? jawapannya tentulah syurga  milik Allah. bagaimana ke ingin ke syurga yang teramat mahal itu? Bangunlah dan berilah peringatan kepada saudara seagama tentang agama, agar kita sama-sama boleh berubah dan membentuk diri menjadi muslim yang diredhai Allah sentiasa dan muslim yang bukan Islam sekadar pada nama.


"Wahai orang-orang yang berselimut! Bangunlah, lalu berikan peringatan! Dan Rabbmu, agungkanlah! Dan pakaianmu, bersihkanlah! Dan perbuatan dosa, tinggalkanlah..!"
[al-Muddatsir, 74:1-5]





http://www.flickr.com/photos/farahfareen/sets/72157628138984548/


InshaAllah. Moga Allah redha. Teruskan usaha, doa dan tawakal. Jangan pernah putus asa dengan rahmat-Nya.

Wednesday 2 November 2011

awas! laman sosial di hadapan.

assalamualaikum..dan buat ke sekian kalinya akhirnya ada juga masa yang dapat dicuri untuk mengemas kini blog yang dah usang teramat ini. Subhannallah, masa berlalu begitu pantas. Sekarang sudah berada dalam bulan november, alhamdulillah saya berjaya menamatkan tahun kedua di Victoria University dengan selamat. Sekarang hati berdebar-debar menunggu keputusan peperiksaan. Sejujurnya saya sedang bercuti saat ini, tapi cuti bukanlah bererti banyak masa yang terluang, masih terlalu banyak kerja yang menunggu sebelum berangkat pulang ke Malaysia. Oh ya, Malaysia saya sangat rindukan anda saat ini. Walaupun sebenarnya saya sengaja melewatkan kepulangan ke Malaysia atas sebab tersendiri, tapi saya percaya mungkin itu yang terbaik buat masa ini.

Saya tidak pasti apa sebenarnya tujuan saya menulis entri kali ini. Terlalu banyak yang saya harus fikirkan. Tapi mungkin saya sekadar ingin berkongsi dengan anda sedikit sebanyak perasaan saya sepanjang minggu ini. Hakikat bahawa manusia itu sentiasa akan diuji, selagi mana dia bergelar hamba Allah. Tapi saya sangat bersyukur, kerana dengan ujian itu saya banyak belajar, kerana dengan ujian itu saya banyak mengenal manusia. Banyak mengenal erti sabar dan yang paling penting belajar untuk lebih dekat dengan-Nya. InshaAllah. Moga Allah redha. 

Saya diuji dengan kerenah manusia. Manusia ini langsung tidak punya salah atau silap pada saya. tapi saya sekadar bersimpati dengannya kerana dia kurang memahami. Bukan bererti saya manusia yang lebih baik darinya, tapi perbuatannya itu begitu membuat saya merefleksi diri, begitu membuat saya tersedar dari lamunan dan mimpi. Saya sangat mengharapkan kefahaman untuknya, walaupun sebenar sangat sukar untuk saya menegur dirinya. Tetapi jika saya meletakkan diri saya di tempatnya, sudah tentu saya akan berfikir panjang sebelum meluahkan sesuatu seperti itu di laman sosial. maafkan saya yang tak sempurna, tiada langsung niat di hati untuk memburukkan sesiapa, tapi kejadian ini membuka mata saya. dan kejadian ini membuat saya banyak berfikir. laman sosial itu sebenarnya untuk apa? Laman sosial tempat berkongsi cerita, pengalaman, peringatan atau mungkin juga sekadar perkongsian tentang perjalanan kehidupan. Saya tiada masalah dengan apa yang dikongsi di laman sosial, tetapi di saat anda memilih untuk berkongsi pandangan orang lain di laman sosial, saya sangat mohon agar anda berfikir tentang beberapa perkara :









i) siapakah sumber yang anda ingin kongsi itu? adakah seorang public figure atau atas nama mana-mana pihak yang berkenaan? 
ii) adakah sumber ini wajar dirujuk? adakah ia akan mengundang spekulasi yang buruk tentang diri anda atau orang lain?
iii) adakah sumber ini melanggar syariat islam? atau dalam kata lain, adakah sumber ini bertentangan apa-apa pandangan menurut islam?
iv) adakah ia bermanfaat untuk anda sebagai perkogsian/ peringatan dengan orang lain terutama sekali orang islam?

maafkan saya. Saya bukan mencuba untuk mengajar sesiapa tentang bab ini. Tetapi saya risaukan perbuatan manusia yang melakukan sesuatu tanpa berfikir panjang. maafkan saya, saya bukan insan sempurna untuk mnegur anda, saya bukanlah sesiapa. tetapi saya cuma ingin mengingatkan anda tentang satu perkara; setiap butir kata yang anda luahkan dari mulut, atau anda tulis di laman sosial, atau anda kongsi dari orang lain akan dipersoal Allah di akhirat kelak. Sungguh, saya juga tidak terlepas dari disoal di akhirat kelak. Justeru saya membuat pilihan untuk lebih berhati-hati sebelum menulis apa juga kata yang terlintas dari kotak minda ini. Dan saya juga sangat memohon teguran anda saat saya punya khilaf dalam menulis bicara yang tidak seberapa ini. Saya juga mengaku, ada kalanya saya terlalu berfikir sebelum menulis sesuatu, hingga tidak terluah apa yang hendak dikatakan. 

Maka jika anda hendak melontarkan apa juga pandangan anda, apa juga perkogsian tentang diri anda atau orang lain, berhati-hatilah. Syaitan itu sentiasa menunggu peluang kita leka dan mencucuk otak kita dengan ideologi kotornya. Nauzubillah, minta dijauhkan. Saya cuba memohon anda fikirkan sejenak dan nilai kembali niat anda sebelum anda menekan butang 'post' atau 'update' atau apa-apa butang yang berkenaan di mana-mana laman sosial berkenaan. Berniatlah kerana ingin melakukan kebaikan, menyebarkan peringatan yang ikhlas untuk kebaikan diri sendiri dan juga saudara seagama. InshaAllah, ganjaran lumayan menanti anda di akhirat kelak.

Saya menulis entri ini bukan untuk kebaikan diri saya tetapi untuk kebaikan diri anda. Untuk menjadi saham anda ke syurga di akhirat sana, inshaAllah. Maafkan kata-kata atau bicara saya yang tidak sempurna. Sempurna itu hanya sifat Dia, Yang Maha Esa. Moga Allah terus memberkati perjalanan anda di dunia ini. Itu doa saya. 


Wallahu'alam.