Menonton televisyen bukanlah kebiasaan bagi saya setelah beberapa tahun meluangkan masa tanpanya sepanjang tempoh pengajian. Saya cuba belajar untuk hidup tanpa menonton televisyen. Namun, sejak tamat pengajian dan kembali ke tanah air, hampir tiga bulan lalu; saya berpeluang menonton televisyen Malaysia walaupun agak kesibukan menguruskan urusan harian dan membantu keluarga. Tetapi dalam tempoh ini, saya sempat cuba memahami apa yang terkandung dalam rancangan-rancangan televisyen Malaysia, termasuklah drama yang dihasilkan karyawan bangsa saya sendiri, drama Melayu.
Walaupun bukanlah peminat drama-drama Melayu tetapi terkadang bila berpeluang menonton sambil berborak dan makan bersama keluarga, saya cuba buka minda dan menghadam mesej yang cuba diberi oleh sesebuah drama. Namun, saat ini, tiap kali terbuka saluran yang menayangkan drama Melayu, saya jadi hampa dan kecewa. Lalu, tidak keberatan untuk menukar saluran serta merta. Bukan niat diri untuk memperlekeh kerja para karyawan seni yang berusaha kuat memartabatkan seni di tanah air, tetapi apabila minda dan hati saya seolah-olah dipaksa menerima satu mesej yang bertentangan dengan prinsip diri, maka saya jadi tertekan dan merasakan mentaliti diri dicabar.
Maaf jika saya berterus terang mengatakan kebanyakan (bukan semua) tetapi hampir majoriti drama-drama Melayu yang disiarkan, berkisahkan dan bertemakan cinta. Tidak mengapa, cinta bukanlah sesuatu yang hodoh untuk dikisahkan, tetapi apabila nilai-nilai Islam dan agama dikikis kikis, minda disogok-sogokkan, budaya sopan dicarik-carikkan, saya jadi kurang senang. Tidak perlu rasanya saya berikan contoh, terlalu banyak adegan yang memang tidak sesuai ditonton apatah lagi buat penonton cilik kanak-kanak (jika ada yang menonton nya). Dan yang paling mengecewakan, adalah cinta seolah-olah satu topik yang langsung tidak boleh dikeluarkan dalam skrip dan dialog drama Melayu. Pulang pejabat cakap tentang cinta, pulang rumah cakap tentang cinta, dalam bilik mesyuarat pun bicara tentang cinta wanita. Lebih separuh dari dialog drama cuma bercakap tentang cinta. Itu belum adegan menangis, bergaduh dan sebagainya. Seingat saya, dialog tentang cinta bukanlah dialog biasa atau harian saya, dan bukan juga dialog kebanyakan masyarakat kita saban hari.
Drama-drama ini seolah mempamerkan cinta sebagai tujuan hidup. Seolah kehidupan ini cuma berkisarkan perjuangan mencari cinta. Maaf, tetapi pada saya perjuangan hidup seharusnya dan sememangnya lebih dari itu. Dan kerana cinta menjadi tema, maka pelakon-pelakon dan skrip yang digunakan juga seolah menghalalkan banyak benda kerana cinta. Isteri bertukar tempat dengan kembarnya, lahir anak luar nikah dan cari pak sanggup, seolah satu normaliti yang biasa dalam drama Melayu. Adakah drama-drama ini cuba "membiasakan" apa yang sepatutnya menjadi "luar biasa" kepada kita? Saya takut dengan realitinya! Namun, saya juga memuji dan menghargai sebahagian kecil bilangan drama Melayu yang cuba keluar dari tema cinta ini dan membawa mesej yang bermakna untuk masyarakat.
Saya bukanlah karyawan atau warga seni yang layak mengkritik hasil kreatif para penggiat seni, tetapi saya mewakili mungkin sebahagian kecil generasi muda, cuma merasakan bahawa sudah tiba masanya drama Melayu ini keluar daripada kepompong cinta yang menyekat sang rama-rama daripada berkembang mewarnai dan membina minda anak-anak bangsanya.
Saya juga bukanlah keseorangan dalam menyuarakan ketidakpuasan hati tentang ketirisan mesej drama-drama Melayu belakangan ini. Pancaindera edisi 8 Mac 2015; baru menegur mesej yang dibawa oleh sebuah drama Melayu bersiri yang seolah mempersenda Islam. Realiti yang lebih menakutkan adalah mahu ataupun tidak, suka ataupun tidak, televisyen merupakan salah satu medium pendidikan tidak formal kepada masyarakat. Penonton-penonton yang menontonnya melebihi beberapa jam sehari, besar kemungkinan dididik melalui apa yang dipelajarinya tanpa sedar dari televisyen. Dan jika drama Melayu, drama yang dilakonkan oleh mereka yang sama bangsa dengannya, budaya juga sama, agama juga sama, maka jangan terperanjat jika budaya kurang enak dalam drama Melayu itu telah diterjemahkan dalam gejala sosial masyarakat hari ini. Mereka seolah dididik bahawa semua demi cinta itu tidak salah, walau bercanggah agama, kerana ada contoh yang dipaparkan saban hari, budaya itu seolah-olah "OK". Dan apa salahnya, jika ditiru. Oh, statistik buang bayi, saya sangkakan menurun tetapi tidak. Dan ini juga realiti yang sangat pahit untuk ditelan. Sebagai bakal guru, saya sudah tentu risau dengan apa yang menjadi didikan anak murid saya sebaik mereka melangkah keluar dari sekolah.
Drama Melayu dan gejala sosial? Tiada kaitan? Bagaimana dengan rancangan tv lain? Bukankah lebih banyak yang menyumbang juga?
Betul, besar kemungkinan mungkin drama Melayu tidak besar pengaruhnya (saya meragui), tetapi melalui drama ini juga, kita diserang melalui pemikiran. Bayangkan jika bertahun-tahun minda manusia dididik dengan hakikat bahawa hidup cuma berkisar tentang cinta, bagaimana minda mereka (terutama generasi muda), akan terbuka untuk menghayati visi dan tujuan hidup yang lebih besar? Visi hidup bahawa setiap manusia punya potensi diri untuk menyumbang kepada masyarakat, dan bukannya cuma berangan dan berdialog tentang cinta. Kita mahukan generasi yang bermentaliti tinggi, kelas pertama, tetapi drama Melayu masih tidak membantu menghalusi visi ini dalam karya mereka.
Maaf, tetapi wawasan 2020 mungkin terpaksa dilajakkan menjadi wawasan 2050. Kerana pembangunan minda mereka yang terbantut, dan disekat dengan pendidikan seperti ini.
Cukuplah tentang cinta. Para penggiat seni, saya merayu anda membantu meningkatkan kualiti mentaliti masyarakat ini. Kajilah dan perhalusilah nilai Islam sebaiknya sebelum menterjemahkannya ke dalam karya anda. Perkembangkan minda kami dengan sesuatu yang berilmiah dan bermanfaat, terutama dalam mendidik akhlak dan hubungan sesama manusia. Janganlah menjadi racun buat anak bangsamu sendiri, jadilah baja yang meningkatkan mentaliti dan menyuburkan rasa cinta kepada agama, bangsa dan negara ini.
Hamka dalam bukunya berjudul Falsafah Hidup, ada juga berbicara tentang cinta pada sudut lainnya; (dalam Bab ketiga) untuk memperhalusi makna cinta. "Yang menjadi roh keutamaan adalah cinta kasih yang mengandungi hikmat dan keadilan. Iaitu pengaruh yang besar masyarakat kepada penghidupan orang seseorang, merasa setiap gerak gerinya di muka umum ialah untuk umum."
Lalu, nilai cinta manakah yang kita mahukan dalam hidup ini? Adakah cuma cinta yang menghanyutkan dalam khayalan nafsu atau cinta yang mengubah manusia agar menyumbang potensi diri untuk masyarakatnya?
Dan sudah tentulah, nikmat akal yang dikurnia Allah kepada kita perlu dijaga, dan dipelihara agar tidak tercemar dengan mentaliti yang kurang membina. Akal adalah anugerah untuk manusia membezakan perkara yang baik dan buruk buat dirinya. "Orang berakal hidup buat masyarakatnya, bukan buat dirinya sendiri" (Hamka, Falsafah Hidup).
Maka, saya menyeru diri saya dan anda, agar bijak menilai apa yang cuba mendidik diri, minda dan hati kita saban hari. Dan sudah tentulah, didikan terbaik adalah bersumberkan Al Quran dan Sunnah. Namun, telitilah juga apa yang cuba masuk ke dalam minda kita, formal atau tidak formal, agar kita tidak menjadi mangsa serangan pemikiran dari drama ataupun media lain yang seangkatan dengannya. Jika drama Melayu mengecewakan, mungkin itu tandanya perkara lain yang lebih bermanfaat sepatutnya menjadi pilihan. Mungkin melalui bacaan, tulisan, atau apa jua hobi yang membina. Manfaatkanlah, ruang dan masa yang ada mencapai tujuan hidup sebagai abid dan khalifah.
Buat penggiat seni, selamat berusaha dan berjuang untuk membantu menghasilkan karya yang lebih berkualiti buat ummah. InshaAllah.
"Tutup Allah itu terbahagi kepada dua, iaitu tutup dari (melakukan) maksiat dan tutup dalam maksiat. Orang awam meminta kepada Allah agar ditutupi dalam berbuat maksiat kerana khuatir kedudukannya jatuh di kalangan manusia. Namun, orang khawwas (khusus) meminta kepada Allah agar ditutupi daripada berbuat maksiat, kerana khuatir jatuh kedudukannya dalam pandangan Penguasa (Allah)."
(Ibn Attha'illah As Sakandari, Kitab Al Hikam)
Ayuh, jadi orang khawwas! (:
No comments:
Post a Comment