Sunday, 22 April 2012

coretan musafir bahagian I

little souvenirs for the trip


Alhamdulillah, diri ini masih diberi peluang untuk hadir di sini, menulis coretan yang tidak seberapa buat tatapan kamu, pembaca yang dikasihi. Jujurnya tiada aku tahu harus mulakan di mana kerana saat ini terlalu banyak yang berlegar di minda. Atau mungkin harus ku cerita, bagaimana keindahan alam ciptaan Tuhan Yang Maha Kuasa itu telah mengajar aku nilai ukhuwwah yang terlalu berharga. Ukhuwwah yang dibina atas dasar keimanan, dan serendah-rendah ukhuwwah itu sendiri adalah berlapang dada.

Sepanjang perjalanan merentas hampir ke seluruh New Zealand dua hari lalu, diri ini sangat sangat teruji dengan ujian yang menuntut kesabaran dan sikap berlaapang dada. Nyatanya perjalanan ini bukanlah seindah dan sesempurna yang disangka. Diuji dengan kelemahan diri, diuji dengan pelbagai cubaan dan halangan yang pada akhirnya aku belajar lagi untuk terus mematangkan diri, dan saat aku sering bertanya, jika aku benar sayangkan sahabat ini kerana Allah, pengorbanan itu sudah tentulah suatu kemestian. Liku  dan pahit perjalanan ini jua ibarat berlikunya laluan yang harus kami tempuh beribu batu. Tapi kemanisan itu tetap ditemui di penghujung jalan, seperti jua hikmah atas tiap kejadian yang ada kala tiada mampu manusia mengungkapnya. 

cari ayat cinta dari Allah untuk tenangkan diri (:


Berlapang dada dengan perbezaan pendapat antara saudara sesama Islam. Memang aku akui diri ini sendiri sedang bermujahadah untuk cuba mendengar dan menghalusi pendapat sahabat sendiri, walau ada kala diri ini merasa begitu terhiris sekali. Berlapang dada itu adalah redha dengan apa jua pendapat yang membawa kebaikan buat semua, walau ada kala bercanggah sama sekali dengan pendapat sendiri. Berlapang dada apabila kemahuan kita tiada mampu orang lain tunaikan, kerana mereka juga manusia biasa. Ianya memang tidak semudah yang dikata, tetapi percayalah atas sikap berlapang dada dengan kesalahan orang lain, dan memberi kemaafan walau pada saat ia tiada diminta, itulah saat anda sedang diuji keimanan oleh-Nya. Sejauh mana diri kita mampu mengorbankan ego, juga meneguhkan kesabaran untuk terus menjernihkan keadaan dengan berlapang dada?

Percayalah saudara, jika sikap berlapang dada itu kita didik seawal usia, mungkin banyaknya manusia hari ini tidak akan haloba mementingkan diri. Percayalah dunia ini tidak akan seperti hari ini, kerana seseorang itu tidak akan berfikir untuk kebaikan dirinya sahaja, malah memikirkan kebaikan buat orang di sekelilingnya. Subhanallah, begitu tinggi nilai untuk berlapang dada. Hanya kerana satu sikap yang terpuji ini, banyak perkara negatif yang dapat kita hindari.

Bayangkan saat sahabat kita datang menguji kesabaran, atau salah faham atas keadaan, lantas sikap berlapang dada kita adalah dituntut agar ia tidak berubah menjadi pertengkaran, membuahkan permusuhan atau menimbulkan apa-apa fitnah yang tiada mampu kita bayangkan akibatnya kelak. Sungguh berlapang dada itu memang tidak semudah dikata, tapi hakikatnya aku sebagai hamba masih mencari cara untuk kuat dan belajar erti redha.

[21:35] "Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan."

Dan benarlah akhlak yang baik, berlapang dada, sabar dan redha atas segala ketentuan Allah itu tidak akan lahir tanpa adanya iman dalam diri. Iman itulah sumber yang membentuk akhlak diri kita, yang menjadi cermin kepada setiap tingkah laku kita. Lantas, iman yang terjaga itulah melahirkan hati yang bersih lalu terpancar melalui kata-kata dan perbuatannya tiap masa. Pesan aku pada diri, perjuangan mencontohi Rasulullah s.a.w. sebagai sumber inspirasi hidup ini, tidak boleh berhenti selagi diizinkan Tuhan untuk bernafas di bumi milik-Nya ini.

Ayuh, kuatkanlah iman, peliharalah hati dengan zikrullah, moga dengan izin-Nya, kita mampu terus melangkah mendekatkan diri kepada-Nya.

Salam dari bumi Wellington hari terakhir cuti easter,
FarahFareen.


kemanisan dihujung perjalanan. Cathedral Cove, Coromandel 20042012