salam buat rakan pembaca blog ini. maafkan saya kerana begitu lama telah mengabaikan ruang penulisan ini, salah sendiri mungkin masih belum efektif dalam pengurusan masa, atau mungkin kerana dek terlalu banyak tuntutan tugasan yang menanti sejak beberapa minggu yang lalu. Apa pun sebabnya, saya tidak mahu menjadikan itu alasan untuk saya berhenti menulis dan melukis ekspresi diri melalui ruang penulisan yang tidak seberapa ini. kerana di ruangan yang kecil inilah saya belajar erti refleksi; mungkin secara terperinci disebabkan diri ini memang seorang yang sangat kritikal orangnya. jadi, maafkan saya sekali lagi andai ada terdapat nukilan nukilan saya yang anda dapati agak asing; kerana pemikiran saya yang mungkin agak rumit terkadang untuk anda fahami.
sebenarnya saya sudah punya beberapa tajuk sejak beberapa minggu ini, tetapi malangnya tidak punya waktu untuk mengarangnya dengan baik. maka di kesempatan ini, saya ingin berkisah tentang perihal ujian. ya, ujian yang semua insan hadapi, tidak kiralah bangsa, agama atau lain-lain; secara fitrahnya Allah benar akan menguji kita, di setiap tangga dan peringkat kehidupan. mahu ataupun tidak, suka ataupun benci.
maaf saya bukan bermaksud untuk membuat anda memandang ujian sebagai suatu perkara yang negatif, malahan sebaliknya. ujian dan nikmat itu bersilih ganti, namun berapa kali saat kita ditimpa ujian, kita benar- benar mampu menghadapinya dengan baik dan hati yang redha. saya juga mengaku bahawa diri ini kerap kali menghadapi cubaan dan dugaan, dan saya bukanlah orang yang sempurna untuk bercerita kepada anda tentangnya, tetapi pengalaman dan kisah rakan seperjuangan di sini telah banyak mematangkan saya dalam menilai cara menghadapi ujian, membantu mereka yang kesusahan dan juga berusaha memahami keadaan untuk mencari penyelesaian.
ujian? bermakna anda perlu meletakkan diri dalam posisi seorang yang sedang mengambil ujian atau peperiksaan. kondisinya sama. mengapa? saya hampir pasti bahawa kebanyakan dari kita pernah menduduki apa jua ujian, walau sekali dalam seumur hidup. dan apatah lagi dengan situasi sistem pendidikan di Malaysia, sangat menuntut kita untuk cemerlang dalam setiap ujian ini. namakan semua, upsr, pmr, spm, stpm dan banyak lagi. nah, apa yang terjadi saat kita berada dalam dewan peperiksaan? selain hati yang berdegup laju kerana resah memikirkan jawapan yang bakal dilontarkan dalam ujian tersebut.
kemudian, guru atau ketua pemeriksa akan meminta kita untuk menjawab soalan yang diberi, dan ada kala kita terpaksa membuat pilihan di antara beberapa pilihan jawapan yang diberikan. contohnya, soalan MCQ, yang punya empat pilihan jawapan, A,B,C atau D. dan mahu atau tidak mahu, keliru atau tidak keliru, akhirnya kita hanya dibenarkan untuk menghitamkan satu sahaja ruang jawapan, atau jika tidak, markah kita tidak dikira. dan kita langsung tidak dibenarkan mengangkat tangan untuk bertanyakan manakah jawapan yang betul. kerana itu melanggar peraturan ujian tersebut.
makanya, keadaan yang hampir sama berlaku saat Allah menghadirkan ujian buat kita dalam liku kehidupan ini. tetapi terdapat satu perbezaan besar. saat Allah memberi ujian, kita terkadang memilih untuk mencari sahabat, atau keluarga untuk mengadu tentang perihal masalah yang dihadapi. sedangkan pilihan jawapan yang telah dibentangkan buat kita bagi jawapan tersebut adalah satu; bukan empat. dan jawapan itu adalah pasti jawapan yang betul. jawapan itu ialah Allah, ya Allah mahu kita memilih Dia sebagai tempat yang pertama-tama untuk kita bergantung saat diberi ujian. Allah mahu kita mengadu pada-Nya, berdoa dan memohon diberi kemudahan dan katabahan untuk menghadapi ujian tersebut. kerana Allah yang lebih tahu, Dia yang berkuasa menghadirkan ujian itu buat kita, bukan manusia atau makhluk lainnya.
dan saat ujian menimpa juga, Allah mahu kita menadah tangan, mengangkat tangan meminta, bertanya, berdoa dan mengadu pada-Nya, kerana hanya Allah yang punya jawapan. dan kita tidak perlu risau akan apa-apa balasan jika tempat pergantungan yang pertama kita adalah Allah swt semata-mata. ini tidak melanggar peraturan ujian. maka sahabat, ayuh kita renungkan kembali perjalanan dan liku hidup ini, berapa banyak usaha yang telah dilakukan untuk menghadapi ujian dengan cara yang terbaik.
namun kita sebagai manusia acap kali terlupa dan terleka bahawa kehadiran ujian itu sebenarnya adalah untuk mengingatkan kembali diri kita, bahawa hanya Allah satu-satunya tempat pergantungan, tempat meletakkan harapan, dan satu-satunya kuasa yang mampu mengubah kondisi kita pada saat itu. Allah sahaja yang mampu membolak-balikkan hati kita; sama ada tenang mahupun resah atau tertekan untuk menghadapi ujian tersebut. Lantas Allah berfirman dalam sebuah surah tentang peringatan untuk terus mengingati-Nya saat ujian datang menerpa;
"(iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah (malapetaka), mereka berkata:
inna lillahi wa inna ilaihi raji'un.
(bahawa sesungguhnya kita kepunyaan Allah dan kita akan kembali kepadaNya)"
Al-Baqarah :56
bukankah Allah yang telah mencipta kita, dari setetes air mani dan kemudian berkembang biak menjadi keturunan manusia seluruhnya? bukankah alam semesta ini milik-Nya yang penuh hiknah dan rahsia penciptaan? bukankah suatu hari nanti ajal bakal menjemput kita untuk kembali kepada-Nya? mengapa kita masih diulit rasa ragu untuk meminta pada-Nya; percayalah ragu dan was-was itu sebenarnya adalah bisikan syaitan yang cuba memesongkan kebergantungan kita dari Allah; kepada selain-Nya. Nauzubillah.
tidak salah bergantung kepada manusia lainnya, tetapi berimanlah bahawa mereka hanyalah medium yang Allah izinkan dan hantarkan untuk membantu kita, hanya jika kita pertama-tama berserah diri kepada-Nya saat ujian tiba. Manusia, harta benda, ubat dan sebagainya cumalah ikhtiar kita untuk menyelesaikan sesuatu masalah, namun semua itu berlaku atas izin Allah juga. Allah adalah matlamat, sedangkan medium lain cumalah sebagai alat untuk mencapai matlamat.
dan di situlah letaknya tawakal. tawakal di sepanjang usaha kita untuk mencari keredhaan Allah dalam setiap nikmat mahupun ujian yang menimpa. tawakal bahawa kita sudah mengusahakan yang terbaik, berdoa, dan maka tawakal itu tandanya kita menyerahkan segala hasilnya pada Allah, dan agar Allah meredhakan hati kita dengan apa jua keputusan dan ketentuan yang hadir setelah itu.
“Dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Surah Al-Anfal : 61
"Dan hanya kepada Allahlah, hendaknya orang-orang mu’min bertawakal."
Surah Al-i-Imran : 122
ayuh, kita kembalikan semua usaha, doa dan tawakal kita kepada pemilik jiwa, Allah swt. Moga Dia memberkati tiap langkah kita dan mengikhlaskan hati-hati kita dalam mengharungi perjalanan yang berliku ini. Sungguh syurga itu mahal, dan cuma mereka yang benar-benar menginginkannya, bakal memberikan yang terbaik untuk menjadi penghuninya. InshaAllah.
~kurang 50 hari di bumi kiwi, sungguh hati ini sudah tertaut dengan tarbiyyah Allah di sini. moga diri ini mampu terus istiqamah di tanah air nanti. Amin ya Rabb. doakan saya.
Jazakallahukhairan kathira. Assalamualaikum.