Friday 22 June 2012

ikon

Alhamdulillah, atas izin-Nya yang telah menghadiahkan saya masa lapang untuk menulis saat ini. Sungguh, masa cuti yang terluang ini begitu menguji diri untuk menjadi seorang yang produktif. Moga saja jari-jemari yang menaip ini mampu mengisi jiwa-jiwa yang saat ini masih berusaha mencari cinta dan redha Ilahi. InshaAllah. 

Ikon. Satu perkataan ringkas. Yang kita sendiri terkadang tanpa sedar meniru semua lagaknya, mencontohi tingkah dan gerak lakunya, mengucapkan kata seiras perkataannya. Ikon, yang kita pernah puja puja dan kagum begitu lama. Semuanya ibarat sempurna pada mata kita. Sungguh, sungguh menghiburkan dan menggembirakan hati yang adakala sunyi dan sedih, kerana kurangnya perhatian dan kasih sayang dari manusia lainnya, atau mungkin juga kerana keinginan yang tidak mampu dipenuhi oleh manusia lain atau dirinya. Beberapa saat atau ketika tanpa melihat kelibatnya, walau hanya dalam skrin cuma, kita sudah merindui rupanya, suaranya atau mungkin juga keletahnya yang cukup menghiburkan hati dan jiwa. Ya, kebanyakan dari kita pernah punya ikon itu, atau dalam kata lainnya idola, atau apa saja panggilan yang anda mahu. Kehadiran ikon itu pernah menjadi sebahagian dari hidup kita, pernah dan telah mencuri beberapa bahagian masa kita dalam hidup ini, pernah mengisi kotak ingatan dan hati kita. Barangkali mungkin juga pernah membuat kita lupa kepada satu ikon, yang sepatutnya menjadi ikutan sejak kita mula mengenal dunia, ikon yang sepatutnya menjadi contoh dan teladan tiap saat dan ketika. Ikon yang jika diikuti sepenuhnya, bakal menjadikan kita manusia yang benar-benar kenal Tuhannya dan tahu hakikatnya sebagai seorang hamba. ya, cuma seorang hamba.

Ikon yang sering kali kita lupakan. Ikon yang sering kali kita ambil mudah dalam kehidupan. Ikon yang mungkin juga kita ingat pada sesetengah masa cuma. Ikon yang mungkin tidak banyak mempengaruhi hidup dan pilihan kita. Ikon yang kurang kita jadikan panduan saat kita menghadapi dugaan juga dikurnia kesenangan. jangan, sahabat jangan. Jangan begitu. jangan lupakan ikon ini, kerana dia benar sayangkan anda, dia benar rindu akan anda, dia benar-benar mendoakan anda, dan cuma dia yang diberi kelebihan untuk membantu kita di akhirat kelak. Jangan lupakan dia, kerana dia tidak pernah melupakan anda, meskipun saat dia hampir menghembus nafas terakhir, anda yang terlintas di fikirannya. 

Contohilah beliau. Teladanilah beliau. Dia insan paling mulia yang telah Allah hantar ke muka bumi untuk memakmurkan kehidupan manusia, dialah yang sepatutnya menjadi ikutan kita, setiap waktu dan ketika. dia yang sepatutnya kita jadikan panduan dalam mengenal erti sebenar kehidupan, erti sebenar menjadi hamba, erti sebenar menjadi seorang Muslim. kata-katanya, akhlaknya, tingkah laku, amal, ibadah dan semua tentang dirinya yang menggambarkan sikap manusia yang diredhai Allah itu ada padanya. Lalu, ikon manakah lagi yang layak untuk dijadikan contoh sebegini jika bukan beliau?

Saya yakin inshaAllah anda sudah punya jawapannya dan anda sudah mampu mengagak di saat anda mula membaca tajuk entri ini barangkali. Benarlah dan benarlah sejak kecil kita telah dididik mengenal baginda, mengetahui asal usul kelahiran baginda, sejarah hidup baginda, akhlak baginda, hampir semua tentang baginda telah diibaca, diingat, dipelajari, dihafal. Lalu kemudian, ke mana hilang semua kisah-kisah yang pernah kita tahu dulu? Mengapa di saat usia mula menginjak dewasa, ikon lain yang menjadi pilihan kita? Sedangkan kita tahu tiada insan semulia baginda di atas muka bumi ini. 

Jawapannya, kerana kita tidak mempelajarinya dengan hati. Kita belajar kerana kita harus tahu dan fahaminya hanya untuk satu tempoh yang singkat. hanya untuk lulus mata pelajaran agama dengan cemerlang. hanya untuk menambah ilmu sebagai seorang pelajar Islam. Itu pengetahuan asas, mana mungkin kita tidak tahu? Maafkan saya jika andaian-andaian ini mengganggu perasaan anda, tetapi itulah realitinya, realiti yang pernah terjadi pada diri saya juga. Tahu dan kenal, inshaAllah cukup kenal tentang baginda, mendengar kisah tentang baginda, tetapi saya juga pernah tanpa sedar mengkagumi ikon lain selain baginda. Oh ya, "tanpa sedar" itu berlaku kerana sebab-sebab yang saya telah ceritakan tadi.

Belajar tanpa hati. Ilmunya hanya berat di otak, lalu berkarat kerana tidak diamalkan. 

Dan cerita tentang baginda itu hanyalah antara cebisan ilmu-ilmu yang kita pernah belajar di sekolah dulu. Masih ada banyak, dan terlalu banyak. Kisah sahabat contohnya. Semuanya ibarat satu persinggahan sementara dalam ingatan kita. Saat ini, sudah banyak yang terlupa dan dilupa.

Mengapa? Sebab yang sama. Belajar tanpa hati. Belajar tanpa tahu tujuan, mengapa harus memahami. Itulah kelemahan kita yang perlu diperbaiki saat ini, belajarlah dengan hati, belajarlah apa jua ilmu dengan niat kerana Allah,semata-mata untuk mencari redha Ilahi, dan teramat perlu untuk kita berdoa agar apa jua yang kita pelajari, dan fahami, dipermudahkan untuk diamalkan dalam kehidupan sehari-hari. Walaupun hanya sepotong ayat Quran yang terbaca di mana-mana.

Doa itu senjata orang mukmin. Kekuatan itu milik Allah. Tapi doa tidak akan makbul tanpa adanya usaha.Itu hakikatnya.

Ikon yang saya maksudkan dan bercerita panjang lebar tadi adalah Rasulullah s.a.w. Rasul dan kekasih Allah yang telah diutus untuk menjadi rahmat kepada kehidupan manusia. Dan satu-satunya manusia yang layak kita jadikan ikon dalam kehidupan ini, kerana bagindalah sebaik-baik manusia yang Allah hadiahkan agar menjadi panduan, contoh, teladan dan ikutan untuk kita. Dan bukan sekadar menjadi bahan bacaan tatkala zaman kecil di sekolah rendah yang kemudiannya dilupakan entah ke mana. Nauzubillah.

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ 
اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Katakanlah (wahai Muhammad), “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu.” Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran, 3: 31)


“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” 
(Surah al-Ahzaab, 33: 21)


“Sesiapa di antara kamu yang paling banyak berselawat kepadaku maka dialah yang paling dekat kedudukannya denganku.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi, Lihat: Shahih at-Targhib wa at-Tarhib, 2/137, no. 1672) 


Seribu maaf dari saya jika terdapat kecelaruan bahasa. Sungguh, saya juga masih berusaha menjadikan baginda satu-satunya ikon dalam hidup ini, kerana yang dikejar itu adalah mardhatillah (redha Allah).

Masih belajar erti tawadhu'. Doakan saya.

Farah Fareen.




1 comment:

  1. Assalamualaikum.. Is everything fine dear writer? we haven't heard from u for a while already.. This blog feels awfully quiet without your postings. Hope to hear from you soon. Even if just a hi saying you are okay.

    ReplyDelete