Saturday, 2 April 2011

cinta yang lebih indah : bahagian akhir

aku masih di sini. Mensyukuri nikmat cinta itu. Cinta yang hadir dalam hati kepada Ilahi, keluarga dan sahabat yang setia berada di sisi. Maaf, diri ini masih belajar dan akan terus belajar erti cinta hakiki itu. Dan saat ini aku coretkan bicara cinta itu lagi, sekadar bisik ikhlas aku dari hati dan cuma insan kerdil di hadapan-Nya. Semoga sentiasa di jalan-Nya yang lurus untuk kembali menemui Ilahi. Suatu hari nanti.

Cinta dalam hidup manusia itu ibarat nafas yang manusia dahagakan untuk terus menyambung hasrat  menggapai mimpi, meniti hari suka dan duka. Nafas yang menguatkan jiwa tatkala diri berdiri lemah tidak berdaya, juga nafas yang menyembuh segala semangat yang pernah luput dalam diri. Cinta itu hebat dan seharusnya begitu. Selalu. 

Allah berfirman;

Ar-Rum: 21 " Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang berfikir"

Dan kerana cinta itu lumrah dan fitrah dalam jiwa setiap makhluk bernama manusia, lantas ia pasti menyapa kita tanpa kenal waktu dan masa. Namun, saat cinta itu datang, harus bagaimana? Cinta kurniaan Tuhan itu indah dan kerana cinta itulah kita kenal erti pengorbanan, kesetiaan, kejujuran dan keikhlasan. Bagaimana ukuran kamu terhadap cinta? Cinta manakah yang kuat tersemat dalam hati? Jika benar cinta, haruskah dibuktikan? Tanya pada hati, cinta kamu didasari atas apa? 

Dalam karyanya Burhan Sodiq menambah islam tidak menghalang perasaan cinta itu, khususnya cinta kepada wanita, namun cinta itu harus sentiasa terjaga dan terpelihara kesuciaannya. 
Lantas cara paling tepat untuk menjaga dan memelihara agar cinta sentiasa suci, tiada cara lain melainkan akad nikah, dan Islam melarang sama sekali perhubungan  cinta yang tidak dibingkai oleh ikatan perkahwinan. Alangkah indahnya menjalin cinta dengan ikatan halal yang diredhai Allah. 

Hakikat ini mengingatkan aku pada kata-kata indah dari seorang teman, "kasih sayang dan cinta suci manusia kepada manusia lain (termasuk keluarga, sahabat) itu, jika hanya kerana Allah Yang Maha Kuasa,  itulah yang memberi kekuatan kepada mereka untuk saling mengingati dan menuju syurga-Nya" Subhanallah. Tambah temanku, "manusia itu akan saling menyalahkan antara satu sama lain termasuk ibu bapa mereka sendiri, walau mereka begitu kuat sayang cintanya di dunia, jika tidak mencintai kerana Allah s.w.t., "

Cintalah kerana Allah......



Mencintai seseorang kerana Allah? Sayang keluarga dan sahabatmu hanya kerana-Nya. Memang seharusnya begitu. Jika cinta kepada manusia hanya kerana Allah, lantas dia akan selalu memohon kepada Allah agar menjaga hatinya, supaya tidak digoda syaitan dan hawa nafsu yang melekakan. Jika benar cinta kerana Allah, dia akan berusaha sedaya upaya mencapai cinta dengan jalan yang diredhai-Nya, iaitu perkahwinan. Jika benar cinta kepada Allah, dia akan berkorban segala dan  mengubah diri menjadi yang terbaik, sehabis daya supaya Allah redha dan bukan supaya dipandang manusia.

Manusia itu punya kelemahan. Tidak akan pernah sempurna, kerana sempurna itu hanya milik Tuhan. Dia Maha Kuasa atas segala. Tapi manusia dikurnia kudrat untuk berusaha, tawakal dan berdoa. Berdoalah kepada-Nya agar sentiasa diberi petunjuk menuju cinta hakiki. 


Dan saat cinta itu hadir dan mekar dalam hati, tanya pada diri. Sediakah kamu mengharung juta diri mencapai cinta itu melalui jalan yang Allah redhai?

Punya jawapannya? Jika tidak bersedia, lantas mungkin masanya belum tiba dan diri ini masih banyak perlu diperbaiki. Maka, simpan dan pendamlah cinta itu jauh dalam sudut hati. Suatu saat nanti, dengan izin-Nya, bakal jadi realiti dengan usaha, doa dan tawakal itu. Kerana semuanya telah tercatat di Luh-Mahfuz sejak roh manusia itu ditiupkan ke dalam jasadnya termasuk rezekinya (jodoh). Jangan pernah ragu hakikat itu.


Dalam sebuah hadis marfu' dari sahabat Abbas dan Aisyah, "barangsiapa yang bercinta lalu mampu menahan diri dari perkara yang dilarang, serta dapat menyembunyikan perasaannya, kemudian dia mati, maka dia mati syahid"


Analogi menarik Burhan Sodiq dalam karyanya, "jika benar sudah bersedia bercinta dalam redha-Nya (perkahwinan), maka tekan minyak. Namun jika masih ragu dan tidak bersedia, tekanlah brek sekuatnya, dan lepaskan bila anda sudah bersedia menghadapi segala."


Percayalah pada janji Allah, yang terbaik hanya untuk yang terbaik begitu juga sebaliknya. Berusahalah sehabis daya memperbaiki diri, kerana Allah Yang Maha Mengetahui segala yang terbaik buat hamba-Nya, bukan manusia. Cinta itu milik-Nya, juga kurniaan-Nya. Juga peringatan buat diri aku sendiri, hamba yang sentiasa ingin mengharap redha-Nya. InshaAllah.




No comments:

Post a Comment