Sunday, 27 March 2011
cinta yang lebih indah : bahagian II
aku pernah bicara tentang setiap orang yang punya definisi cinta berbeza itu. Tapi aku tahu, dan sentiasa mahu ingatkan hati itu, tiada cinta yang lebih agung selain cinta kepada Tuhan yang satu. Dan selayaknya sebagai hamba, cinta kita hanya untuk Dia, bukan pada manusia atau harta. InshaAllah.
Mengapa kita bercinta? Atau mengapa kita rasa perlu dicintai? memetik kata Burhan Sodiq dalam karyanya, beliau mengatakan ada tiga sebab manusia itu jatuh cinta.
-Pertama, kerana Allah memberi fitrah kepada manusia untuk mencintai keindahan sehingga kita mudah kagum dengan dan kecantikan yang nampak pada zahir. Allah memang menciptakan keindahan kerana Allah itu indah dan mencintai keindahan.
-Kedua, kerana manusia cenderung dengan sifat lemah dan tidak berdaya. Oleh itu manusia akan mencari seseorang atau sesuatu yang dapat memberi kekuatan, keperkasaan dan kegagahan.
-Ketiga, kerana sifat manusia cenderung memerlukan orang lain. Tidak berdaya hidup sendirian sehingga rasa memerlukan itu akan menimbulkan rasa sayang, rasa untuk tidak menyakiti, lantaran dia atau mereka itu adalah orang yang kita perlukan.
Al Imran: 14 " Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta dari emas dan perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang sebaiknya (syurga)"
Dalam Islam terdapat peringkat-peringkat cinta, siapa yang harus didahulukan dan siapa pula yang harus diutamakan dan siapa pula yang harus diakhirkan.
Pertama, yang juga peringkat paling tinggi dan utama adalah tatayyum, iaitu cinta kepada Allah, yang merupakan hak Allah semata. Kedudukan-Nya tidak boleh diletakkan kedua atau ketiga. Ungkapan " kau selalu di hatiku, ku sebutkan namamu dalam setiap detik jantungku" cintaku hanya untukmu' selayaknya ditujukan hanya kepada Allah, kerana Dia yang telah memberi rahmat kepada kita sejak dari dalam rahim ibu itu.
Al Baqarah: 165 " Bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya"
Peringkat kedua, 'isyk yang hanya milik Rasulullah s.a.w. Cinta yang melahirkan sikap hormat, patuh, ingin selalu membelanya, ingin mengikutinya, mencontohinya tapi bukan untuk menghambakan diri kepadanya. Kita rindu kepada baginda kerana kemuliaan yang ada pada Rasulullah dan kita mencuba untuk mencontohinya dalam setiap aspek kehidupan itu. Demikian juga membela sunnah-sunnahnya bila sunnahnya diinjak-injak orang lain.
Al Imran: 31 " Katakanlah jika kalian cinta kepada Allah, maka ikutilah aku Rasulullah, maka Allah mencintai kalian dan mengampuni dosa-dosa kalian"
Subhanallah, besarnya nikmat cinta kepada Rasul itu. Alangkah indahnya jika manusia memahami cinta kepada Rasul itu. Dan aku sendiri, sentiasa cuba untuk mengingatkan diri, cinta kepada Allah dan Rasul itu harus tersemat kuat dalam hati, semoga menjadi kekuatan untuk menegakkan agama Allah di muka bumi. InshaAllah :)
Peringkat ketiga, syauq iaitu cinta antara mukmin dan mukmin yang lainnya. Antara suami isteri, ibu bapa dan anak-anak yang membuahkan rasa mawaddah wa rahmah. Cinta suami yang sepenuhnya kepada isterinya, cinta ayah kepada anaknya. Walau ada kalanya timbul perselisihan, akan mudah diselesaikan kerana aspek cinta mereka yang begitu besar. Cinta ayah kepada keluarga, yang sanggup berkorban harta, jiwa dan raga untuk kebahagiaan rumah tangganya. Subhanallah.
Peringkat keempat, shababah iaitu cinta sesama muslim yang melahirkan ukhuwwah islamiah. Cinta yang menuntut kesabaran untuk menerima perbezaan dan melihatnya sebagai sebuah hikmah yang berharga. Misalnya berbeza cara gerakan solat. Walau ada kalanya perbezaan sekecil ini mampu menimbulkan perpecahan kerana tidak ditangani dengan dewasa.
Peringkat kelima, 'ithf, (simpati) yang ditujukan kepada sesama manusia. Rasa simpati yang cenderung menyebabkan manusia untuk menyelamatkan manusia lain, termasuk juga dalam konteks dakwah, iaitu menyebarkan prinsip agama sebenar yang seharusnya menjadi pegangan hidup saudara seagamanya.
Peringkat keenam, cinta yang paling akhir iaitu cinta yang paling rendah martabatnya, iaitu cinta atau keinginan kepada selain manusia, iaitu harta benda. Namun cinta in sering kali menggelincirkan manusia jika tidak dikawal. Justeru kita harus bijak menanganinya dengan menguatkan iman untuk mengawal hawa nafsu dan pujukan syaitan itu.
Masih panjang penjelasan tentang cinta yang lebih indah itu. Mohon maaf aku jika tersilap bicara, aku manusia lemah dan hanya mengharap belas dari-Nya, yang buruk itu kelemahan aku, yang baik itu datangnya dari Allah Yang Maha Kuasa. Harap sabar menanti sambungan seterusnya :)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment