Dunia ini terbalik. atau dalam kata lainnya, apa yang aku lihat, apa yang tersurat dalam hakikat dunia ini adalah semuanya tidak seperti yang kita sangka. Benar, dunia semakin berubah, semakin hari ada saja benda baru ciptaan manusia. Teknologi, kemudahan, tempat tinggal semuanya yang canggih belaka. Ya, manusia itu bijak mencipta, mereka dikurnia akal istimewa untuk berfikir dan memanfaatkan pengetahuan untuk penduduk dunia yang lainnya. Syabas dan tahniah kerana anda telah menyumbang kepada kemajuan manusia sejagat dengan pelbagai hasil cipta yang maju segala.
Tapi kenapa aku lihat, makin canggih dunia yang manusia reka untuk dirinya, makin tenat pula penyakit yang menyerang jiwa mereka. Kenapa? Bukankah kecanggihan bertujuan untuk memudahkan manusia, atau dalam erti kata lainnya, memberi manfaat dalam kehidupan mereka? Apa yang tidak kena?
Mengapa semakin maju dunia yang manusia cipta, makin runtuh pula akhlak dan agama mereka?
Mengapa semakin kaya manusia dengan harta, makin miskin pula mereka dengan budi dan nilai syukur dalam jiwa?
Mengapa begitu?
Jawapan aku : apa definisi MAJU dan KAYA pada diri kamu?
Adakah maju dikira dari canggihnya kemudahan, tingginya bangunan, beraneka macam hiburan dan juga mewahnya gaya kehidupan? Ya, memang maju. Aku tidak nafikan. Tapi apa gunanya maju jika runtuhnya nilai agama, hilangnya akhlak manusia dan tipisnya iman seorang hamba.
Bukti kebanyakan manusia yang 'runtuh' dalam kemajuan itu jelas terpampang, berapa banyak statistik bayi dibuang, kes zina, dadah dan sebagainya? Bukankah statistik itu juga MAJU dan makin MELAJU ke puncak sana? Masih mahu kata kita maju? Ya, maju hanya pada nama, tapi hakikatnya runtuh dalam pembinaan manusia. Runtuh kerana mengejar maju yang cuma fantasi belaka.
Maju itu fantasi?
Fantasi itu ilusi, yang tidak benar, bersifat sementara dan menipu. Harta, hiburan, bangunan, apa saja yang telah melalaikan seorang hamba, dari menjalankan amanah dan membuat dia lupa tentang realiti, yang dia cuma seorang hamba kepada Maha Pencipta.
Kembalillah ke realiti itu wahai manusia. Hidup ini bukan fantasi. Berhenti dari terus bermimpi. Harus kita sedar hakikat realiti, setiap manusia itu akan kembali, seperti yang Allah s.w.t janjikan satu hari nanti. Setiap satu perbuatan dan amalnya akan diteliti. Saat itu, semua 'fantasi' bakal jadi mimpi ngeri. Nauzubillah.
Realiti seorang hamba seharusnya adalah menjalankan amanah dari Penciptanya, yang tertulis dalam Al- Quran dan Sunnah. InshaAllah, realiti yang lebih manis menanti; itulah syurga yang hakiki dan kekal abadi.
No comments:
Post a Comment