Saturday, 30 July 2011

surat untuk sahabat


-a letter written to a close friend of mine, she's studying in victoria university-

Buat sahabat yang sangat aku sayangi,
Perjalanan hidup manusia itu begitu pantas. Harap aku tidak terlewat menyatakan rasa penuh syukur bertemu dirimu, berkongsi suka dan duka, pahit manis ragam manusia di bumi Wellington ini. Dua tahun yang cukup pantas berlalu. Hari yang berganti hari, matahari yang terbit dan terbenam di petang dan pagi hari dan adakalanya angin yang sejuk membeku menusuk jauh ke dalam tubuh kaku. Semuanya dengan kuasa dan izin-Nya.

Namun sahabatku,

jangan pernah kau bekukan hatimu. Ya hati itu sedang mencari sesuatu. Hati itu mahukan ketenangan, kebahagiaan, juga dahagakan perhatian dari pemilik hati itu. Hati manusia itu terlalu banyak keinginannya, adakala meruntun jiwa, membuat tubuh meronta dalam memenuhi semua kehendak hatinya. Sampai bila? Sampai bila hati ini akan pernah puas? Penat, sungguh penat melayani kehendak dan kemahuan hati. Ini, itu dan ini. Sana, situ dan sini. Aku melangkah ke sana ke mari, bangun dan jatuh dan bangun lagi. Namun hati tidak pernah berhenti. Mana bahagia dan ketenangan yang aku cari? Percayalah aku juga seperti kamu, hidup dalam perjuangan memenuhi kehendak hati. Walau ada kala tanpa kita sedari.
Namun sahabatku, tahukah kamu hati itu perlu diisi? Hati itu perlu sentiasa dijaga dan dipelihara, agar bukan hati yang mengawal kita, sebaliknya kita yang mengawal hati. Hati manusia itu tidak pernah sunyi dari dua penggoda; syaitan dan hawa nafsu. Bahaya. Teramat bahaya. Hati perlu dididik, dijaga dan dirawat setiap masa. Kerana penggoda-penggoda hati manusia itu sangat pandai bermain kata, memujuk rayu, juga mereka tipu daya agar kita tertipu, terpedaya dan lupa akan hakikat dunia yang sementara. Dunia yang sekejap dan sebentar cuma.

“Sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu, maka perlakukanlah ia sebagai musuh, kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongannya agar menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.” 35: 6

Dunia ini sementara, sahabatku. Apa juga keindahan, kenikmatan dan keseronokannya akan berakhir. Betapa bahagia pun manusia itu, dia tidak akan mampu tersenyum selama-lamanya, adakalanya dia menangis. Sesaat senyuman dan ketawa, begitulah singkatnya dunia. Sahabat, kehidupan akhirat itu kekal, bahagia atau tidak bergantung kepada pilihan kita di dunia. Semuanya akan dihitung dan menjadi bekal. Syurga itu benar, neraka itu juga benar. Sahabat, masa yang sekejap tidak akan pernah menunggu kita. Umur manusia itu juga singkat. Bernyawa atau tidak kita pada minit yang seterusnya, masih belum tentu. Semuanya atas kehendak-Nya. Sahabat, adakah kita bersedia menghadap-Nya? Cukupkah bekal saat maut tiba-tiba menjemput tiba? Maaf sahabat, aku juga hamba lemah, langsung tidak layak mengatakan aku punya bekal yang cukup. Aku juga manusia kerdil, masih bertatih dan merangkak dalam menambah bekal yang secebis cuma. Tuhan saja yang tahu cukup atau tidak. Manusia itu cuma mampu berusaha dan berikhtiar. Sedangkan kekuatan untuk mengerdip mata juga adalah dengan izin-Nya, aku juga tidak mampu untuk mencari bekal jika bukan kerana izin-Nya, jika bukan kerana kasih sayang-Nya, jika bukan kerana kekuatan yang diberi oleh-Nya.

“Dan kehidupan dunia ini, hanyalah permainan dan senda gurau. Sedangkan negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa.” 6 : 32

Sahabat yang aku cintai,

Hidup ini satu perjuangan. Dari saat kita dilahirkan, manusia itu sentiasa dalam perjuangan. Ada yang berjuang untuk sesuap nasi, berjuang untuk segulung ijazah, berjuang agar seribu menjadi dua ribu atau puluhan ribu, berjuang mencari pasangan idaman, berjuang melawan perasaan. Terlalu banyak untuk aku senaraikan semuanya. Aku dan kamu juga berjuang. Dunia itu fitrahnya sukar dan susah, semuanya perlu usaha. Namun sahabat alangkah ruginya jika semua yang kita perjuangkan dengan penat lelah yang payah, menyusahkan kita di akhirat pula. Kita mahukan apa saja perjuangan kita di dunia ini, mampu memberi kita kenikmatan, kerehatan juga kebahagiaan yang kekal di syurga sana, bukan yang sebaliknya. Namun itu tergantung kepada apa yang kita perjuangkan. Perjuangan paling sukar tentulah mendapat nikmat paling tinggi. Iaitu perjuangan melakukan semuanya kerana untuk mendapat redha Allah, memang itu teramat sukar, tapi ganjarannya paling mahal, syurga. InshaAllah.

“Dan kembalillah kepada Tuhanmu dan datang berserah dirilah kepada-Nya sebelum azab datang kepadamu, dan kemudian kamu tidak akan dapat ditolong” 39:54

“Tetapi barangsiapa datang kepada-Nya dalam keadaan beriman, dan telah mengerjakan kebajikan, mereka itulah yang memperoleh darjat yang tinggi dan mulia, iaitu syurga Adn’ yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, itulah balasan bagi orang yang menyucikan diri” 20: 75 & 76

Sahabat, tiada niat aku untuk meluka, atau menakut-nakutkanmu. Juga tiada niat aku mencipta apa-apa kebohongan. Tapi sahabat inilah kebenaran. Inilah hakikat. Maafkan aku teramat sahabat, aku bukanlah insan sempurna, cuma hamba Allah yang sayangkan saudaranya, saudara seagamanya, kamu. Aku ingin bersamamu di syurga milik-Nya bersama. Aku menulis coretan ini kerana rasa cinta pada saudaraku. Langsung tiada daya dan kuasa untuk aku memaksa, menyentuh atau membuka hati manusia. Itu semua kuasa Tuhan Yang Maha Esa, pencipta aku dan kamu. Ketahuilah sahabat, janji-Nya itu benar. Aku sekadar menyampaikan pesan. Maafkan aku yang lemah lagi hina, kerana aku cuma seorang hamba milik-Nya yang serba kekurangan. Tiada lain yang aku mahukan, tetapi yang terbaik untuk dirimu. Maaf sahabat jika kata aku mengguris rasa. Seribu maaf aku mohon darimu. Yang baik itu dari-Nya, yang lemah itu kerana kelemahanku jua.

“Dan barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka tiada seorang pun yang dapat menyesatkannya. Bukankah Allah Maha Kuasa dan mempunyai kekuasaan untuk menghukum?” 39: 37

“Dan Dialah Allah (yang disembah) di langit dan di bumi, Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan, apa yang kamu nyatakan dan mengetahui (pula) apa yang kamu kerjakan.” Al-An’am : 3

Sahabat, ayuh bersama mengejar cinta milik-Nya. Islam itu indah dengan kebersamaan, bukan dengan seorang.

Dari sahabat yang sayangkanmu kerana Allah,
Fareen.

No comments:

Post a Comment