Sunday, 4 September 2011

life's a battlefield


hidup tanpa ujian dan cabaran itu ibarat hidup dalam angan-angan. Kerana hidup ini suatu perjuangan. Perjuangan yang tidak akan pernah berhenti selagi roh tidak terpisah dari nyawa seorang insan. Hidup manusia itu hakikatnya penuh rintangan dan cubaan, sejak dari dilahirkan sehingga kita bakal dikuburkan. Tidak percaya? Buktinya di hadapan mata. Semua manusia hidup dalam perjuangan, ada yang berjuang untuk memuaskan hati, memenuhi impian, mengejar cita, mengumpul kemewahan, menikmati hiburan, mencari kesenangan, mencari teman? bermacam tujuan dan pengorbanan dilakukan untuk memenuhi semua impian.

Namun harus kita fahami adakah perjuangan-perjuangan memenuhi impian ini bakal menolong kita nanti? adakah semua penat lelah ini dapat membantu kita di akhirat nanti? adakah perjuangan ini bakal menjadi sumbangan untuk kita mencari syurga Allah? cuba reflek kembali perjuangan kita selama ini? 

saudaraku,
tidak salah berjuang mengumpul harta.
tidak salah berjuang memenuhi cita-cita,
tidak salah berjuang memenuhi kehendak manusia
tapi ia menjadi salah saat engkau melupakan agama dalam memenuhi kehendak-kehendak ini!

sedarlah engkau saudaraku,
jika cuma sekadar itu perjuangan kamu,
jika sependek itu angan-anganmu..
sia-sialah penat lelahmu
sia-sialah pengorbananmu
kerana bukan itu bekal yang bakal membantumu di akhirat kelak
bukan itu yang mampu menjadi pemberat timbangan yang baik kelak
bukan itu!

kerana bekal yang sebenar adalah iman. Bekalan yang bakal menjanjikan seribu kemanisan di akhirat sana. Kehidupan manusia di dunia yang dihiasi iman, tidak akan menjadi sia-sia. Perjuangan dalam apa pun urusan dunia, perlulah dihiasi iman. Jika kamu mengumpul harta kerana iman, sudah tentu harta itu dimanfaatkan ke arah jalan yang diredhai Allah, tidak ada unsur-unsur syubhah dan sebagainya. Jika kamu berjuang mencari teman, tentu kamu akan memastikan kamu tidak melanggar batas-batas syara' dan menjaga ikhtilat (hub. lelaki dan perempuan) sebaik mungkin. Jika kamu berjuang untuk cita-cita, sudah tentu kamu tidak akan melupakan agama dalam kerjaya. 

Semuanya perlu disertai dengan iman. Barulah perjuangan itu tidak sia-sia, barulah perjuangan itu menjadi satu kemenangan. Kerana apa pun perjuangan di dunia ini, jika bukan dilakukan untuk mencari redha-Nya bakal jadi sia-sia dan tiada harga. Bakal jadi satu kekalahan nyata. Mungkin indah pada pandangan mata, tapi hakikat itu adalah, keindahannya cuma sementara. Kamu punya harta dan segala-gala, tapi hati itu tidak akan pernah puas dan risau tiap saat akan kehilangan harta itu. Bahagiakah begitu? 

Maka, jadikanlah perjuangan kehidupan kamu di dunia ini sesuatu yang berharga. sesuatu yang mampu memberi pulangan yang lumayan di akhirat kelak. jangan hanya mengejar dunia, kelak akhirat kamu tercicir. Perniagaan yang paling menguntungkan adalah dengan menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya, kembali kepada agama, menghiasi hidupnya dengan iman, berpesan-pesan kepada kebenaran dan meninggalkan kemungkaran. Islam menuntut kita bersaudara, tanpa mengenal warna kulit atau bangsa atau pangkat. kamu lihat realiti saudara - saudara seagama kita di Palestin dan Somalia yang bertarung nyawa berjuang tiap hari? syukuri nikmat yang ada pada hari ini, berjuanglah selagi daya untuk agama dan akhirat, hiasi tiap penjuru hidupmu dengan iman yang suci. Jadilah muslim yang mencerminkan keindahan Islam sebenar.

"Jika kamu takutkan cabaran dan ujian, jangan pernah mengaku kamu punya kehidupan. Kerana kehidupan tanpa ujian dan cabaran itu cuma angan-angan"

1 comment:

  1. sis i really love dis entry.. can u do me a favour? translate dis entry into english.. i want to share with joey :)

    ReplyDelete