Thursday, 18 August 2011

kisah ramadhan kali ini

assalamualaikum, rasanya belum terlewat untuk aku coret kisah aku di bulan ramadhan ini. Pengalaman berpuasa di bumi new zealand untuk tahun yang kedua ini sangat aku syukuri. Walau beberapa hari sebelum menjelang ramadhan ini aku hampir menyangka aku bakal tidak bertemu dengannya kerana satu peristiwa ngeri. Alhamdulillah, alhamdulillah Allah masih memberi peluang untuk aku memanfaatkan sepenuhnya bulan yang sangat dicintai umat islam ini. Saat itu aku merasa nyawa seolah di hujung tanduk. Ya Allah cukup sudahkah bekalan untuk aku menemui-Mu, jika ditakdirkan aku tidak lagi bernafas saat ini. Syukur sangat aku masih diberi peluang berdiri, berusaha dan berdoa untuk mencari redha-Nya hingga saat ini.


Realiti yang harus aku terima adalah, setiap hari yang baru menandakan dekatnya kita kepada kematian. Semoga kita terus istiqamah beribadah kepada-Nya, dan meneruskan iabadah-ibadah itu sehingga ke bulan seterusnya. teringat kata-kata seorang blogger di facebook awal ramadhan lalu, "jadilah hamba Allah, bukannya hamba Ramadhan". Maknanya semua ibadah kita haruslah dilakukan semata-mata kerana mengharap redha Allah, bukan kerana mengharap pahala sahaja, kerana jika kita ikhlas kerana Allah, inshaAllah kita akan terus kuat beribadah walaupun selepas Ramdhan berlalu meninggalkan kita.



Cerita aku tentang ramdhan kali ini. Aku mahu ramadhan ini berbeza. Tidak mahu lagi sama seperti tahun dahulu. Tidak mahu lagi ia berlalu tanpa meninggalkan kesan pada diri. Alhamdulillah diberi kekuatan untuk meneruskan ibadah sebelumnya, juga menambah lagi amalan lainnya. Istiqamah. Itu peringatan buat diriku sepanjang ramadhan. Walau sudah hari ke lapan belas berpuasa, dan berbaki cuma dua minggu, tapi sepuluh hari terakhir ramadhan itu bakal jadi kayu ukur kemampuan aku untuk terus istiqamah. Moga diizinkan-Nya inshaAllah.

Musim sejuk ramadhan kali ini memang mencabar. Sibuk dengan tugasan, ujian dan peperiksaan. Bumi wellington yang tidak pernah bersalji selama hampir 50 tahun, menerima kehadiran salji yang pada aku cukup menggambarkan kekuasaan Allah Maha Esa. Dia Maha Pencipta, dan tidak pernah aku menyangka aku bakal melihat salji turun di rumah, subhanallah. Moga jadi pengajaran untuk diri, kerana semua yang ada di langit dan bumi itu cuma milik-Nya. manusia itu cuma hamba yang lemah tidak berdaya. 

salji di belakang rumah- 15 julai 2011

Teringat ayat surah An-Nur : 41 "Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menjadikan awan bergerak perlahan, kemudian mengumpulkannya, lalu Dia menjadikannya bertumpuk-tumpuk, lalu engkau lihat hujan keluar dari celah-celahnya, dan Dia juga menurunkan (butiran-butiran) ais dari langit, iaitu dari gumpalan-gumpalan awan seperti gunung-ganang, maka ditimpakan-Nya butiran-butiran ais kepada siapa yang Dia kehendaki dan dihindarkan-Nya dari siapa yang Dia kehendaki. Kilauan kilatnya hampir-hampir menghilangkan penglihatan" Subhanallah, subhanallah. Indahnya nikmat kurniaan Tuhan.


Dua minggu terakhir ramadhan akan menjadi minggu yang teramat sibuk. Cuti pertengahan semester yang bakal bermula, juga sebenarnya bermakna tiada cuti untuk aku kali ini. perlu menyahut cabaran tugasan seorang guru. Praktikal akan bermula selama dua minggu di Waineomata High School. Tapi aku tahu, betapa sibuk dan penat pun nanti, hari-hari terakhir Ramadhan perlu aku isi sebaik mungkin. Penat itu cuma ilusi, dan kekuatan itu dari Ilahi. Jika merasa lemah, berdoalah pada-Nya agar diberi kekuatan untuk menghadapi apa juga onak duri. InshaAllah.


Ramadhan kali ini penuh makna. Penuh warna-warni. Juga sarat dengan peringatan yang berguna untuk diri. Walau tanpa kehadiran keluarga disayangi. ramadhan kali ini aku merasai keindahan ukhuwwah sahabat-sahabat sejati. Bersyukur sekali. Ya Allah, moga diri ini tidak akan pernah berhenti mencari redha-Mu. Kuatkan hati dan himmah (semangat) diri. InshaAllah.

ayahanda dan bonda ketika aidilfitri 2009

untuk keluarga di malaysia, moga bertemu di penghujung tahun ini. kasih dan rindu aku pada kalian tidak akan pernah terhenti walau sesaat, moga Ramadhan ini lebih diberkati dan lebih membawa erti. Salam ramadhan untuk semua. 

No comments:

Post a Comment