salam buat pembaca. disangka panas ke petang, rupanya hujan di tengahari. hari ini tertumpah lagi air mata di pipi kerana aku cuma manusia kerdil. menangisi betapa hinanya diri ini, yang punya khilaf dan salah. Aku cuma insan biasa yang masih cuba merangkak mencari redha-Nya dan ada kala dalam perjalanan itu aku tersungkur rebah. Namun hakikatnya aku sangat bersyukur kerana Dia sentiasa ada untuk aku mengadu, meluah seribu rasa. Dia Maha Mendengar dan hanya Dia Maha Berkuasa untuk menolong hamba-Nya.
hari ini hati ini berbisik lagi pada cerita yang sudah lama aku cuba padam dari kotak memori. Namun hakikatnya manusia itu tidak akan pernah lupa apatah lagi pada peristiwa yang cukup bermakna baginya. Lupa sekali bukan bererti selamanya. Ada kala perasaan hiba itu datang menjengah walau tanpa aku minta. tapi aku tahu saat peristiwa duka tiba-tiba kembali bertamu, itu juga atas izin-Nya, yang mungkin mahu aku untuk merefleksi dan mencermin diri kembali. Sejauh mana diri ini telah berusaha mendekatkan diri pada Ilahi? Sejauh mana aku sanggup berkorban untuk menegakkan kalimat Allah di muka bumi? Ya, memang hati ini ada kala terlalu degil untuk melepaskan peristiwa silam yang terkadang menghantui, namun aku kira itu adalah satu sumber kekuatan untuk aku terus melangkah jauh, meninggalkan hasutan iblis yang tidak henti-henti membolak-balikkan hati. Walau hakikat aku cuma manusia lemah, tapi bukan bermakna aku boleh berputus asa. tidak sekali.
farahfareen.tumblr.com |
Aku tidak akan benarkan perasaan ragu merosakkan kekuatan untuk meneruskan perjuangan ini. perjalanan ini masih di permulaan dan tidak sekali aku teringin untuk menoleh ke belakang kerana yang ada cuma masa depan untuk diperjuangkan. Walau seribu cerita itu masih belum tertulis dan aku ketahui, tapi diri ini akan terus berusaha memujuk hati untuk percaya kepada janji Ilahi. rasa sedih itu cuma ilusi. rasa sedih itu cuma permainan hati.
lalu apakah erti ikhlas yang aku cari? ikhlas bererti aku tidak mengharap apa jua balasan atas pengorbanan. Namun lumrah manusia adakala hebat terpaksa akur kerana kelemahannya. moga sahaja usaha aku sebagai hamba-Nya ini bakal membawa aku bertemu dengan redha-Nya. Ya Allah, bantulah aku dalam perjalanan mencari cinta-Mu, dan jangan kau benarkan aku tenggelam dalam godaan dunia yang fana. Moga Allah redha.
Sesungguhnya seorang mukmin itu tidak sepatutnya bersedih terlalu lama.
Kerana dia ada Allah di sisinya.
Dan kesedihan bukanlah cara seorang hamba Allah mengabdikan diri kepadaNya
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” (QS.Ali ‘Imran:139)
Ya Allah, aku memohon perlindungan denganMu daripada keluh kesah dan kesedihan, rasa lemah dan kemalasan, Aku memohon perlindungan denganMu daripada sifat penakut dan kebakhilan, dan aku mohon perlindungan denganMu dari bebanan hutang dan dikuasai seseorang (Hadith riwayat Abu Daud)
Assalamualaikum.. kakak ku, apa yg terjadi?
ReplyDelete