Friday, 2 March 2012

Salam buat kamu, Malaysia

anak kecil yang aku temui di Stesen ETS Ipoh. Tersentuh hati melihat didikan ibunya menutup aurat si comel ini dengan sempurna.


Salam buat sahabat juga pembaca yang aku kasihi. Sudah hampir seminggu meninggalkan bumi Malaysia yang dicintai kerana tuntutan perjuangan sebagai hamba Ilahi juga, sebagai pelajar yang mencuba menggapai impian di bumi asing ini. Namun, rindu pada keluarga sudah mencengkam hati dan ada kala membuat aku terfikir bahawa saat pertemuan kita, dan bumi kelahiran itu akan dijejaki lagi, tiada aku punya jawapannya bila. maaf dari aku, buat kamu keluarga, saudara dan sahabat yang teramat aku sayang di Malaysia, tanah air tercinta. Tanah air yang mengajar aku erti tabah dan indahnya kasih sayang. Maaf dari aku atas segala khilaf diri ini, buat keluarga, saudara mara juga rakan dan taulan yang tidak pernah jemu-jemu berkongsi kasih dan sayang, juga perhatian kamu yang teramat berharga buat aku. Mungkin aku tidak berpeluang untuk bersua muka dengan kamu, kerana jarak dan masa yang menduga. Tapi ketahuilah sahabat aku sangat berterima kasih atas perhatian dan sokongan kamu, mahu sahaja aku berada bersama kamu saat ini, namun mungkin juga aku terdiam seribu bahasa. Sedih kerana aku terpaksa meninggalkan tanah air itu yang menghadiahkan terlalu banyak memori buat diri.

Malaysia,
kamu banyak mengajar aku tentang manusia. Manusia di sekeliling yang teramat aku hargai, saudara seagamaku di luar sana. Kamu dan kamu yang membaca tulisan ini saat ini. Sungguh aku menyayangi kerana Allah. Bukankah muslim itu semuanya bersaudara? yakinlah, dan berusahalah menjadi hamba-Nya yang terbaik, kerana impian aku adalah untuk berjiran dengan kamu di syurga. Syurga yang tidak pernah kita mampu bayangkan keindahannya. Adakah kamu percaya? Namun hakikatnya perjalanan ke syurga itu tidaklah dihampar dengan permaidani merah atau ditaburi bunga haruman yang mewangi. kerana itu berhati-hatilah dalam memilih haluan hidupmu, pilihlah haluan yang bakal memberi bekal buat kamu saat bertemu dengan Maha Pencipta, bukannya jalan yang mengundang sengsara. 



Al-Ankabut : 2-3
... "Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: 'Kami telah beriman', sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."

 Buat kamu yang mengerti, jalan ke syurga itu penuh onak dan duri, menuntut pengorbanan yang bukan sedikit, menguji hati dan kekuatan rohani. Kuatlah, berbekallah dengan doa, usaha dan tawakal kepada-Nya. Allah itu sentiasa bersama. Sentiasalah berusaha membersihkan hati dan menilai niat kembali dalam meniti hari, kerana amalan tanpa niat mencari redha Ilahi itu tidak akan diberkati. Cubalah, walaupun aku tahu teramat payah mendidik diri dan jasad yang bernama hati itu menjadi ikhlas, untuk beramal dan berbudi di dunia ini, kerana inshaAllah ganjaran yang lebih besar akan menanti.

Al-Baqarah : 45
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sholat; dan sesungguhnya sholat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"Tiada daya dan upaya kecuali atas pertolongan Allah semata"


Bersabarlah dan teruskan perjuangan kamu. syaitan itu sentiasa menunggu peluang untuk mencari kelemahan dan terus melekakan kamu dari mengingati-Nya.

Malaysia,
kamu yang banyak mengajar aku. Bahawa diri ini tidak lagi boleh bersuka-ria dengan hiburan dan godaan dunia sementara, walau hakikatnya tanah air aku sendiri, Islamnya sudah semakin hilang seri. Islamnya cuma pada nama. Sungguh aku rindu teramat melihat Malaysia menjadi bumi yang diberkati Ilahi, seindah dan semekar saat Madinah dipimpin oleh kekasih Allah. Azam aku untuk mengubah semua ini, walau perjalanannya panjang tanpa henti. Malaysia, kamu juga mengajar aku bahawa aku perlu mempersiapkan diri, diri yang masih terlalu banyak khilaf di sana sini, kerana pertolongan Tuhan itu sesuatu yang pasti. Ya, pasti.




"Dialah yang telah mengutus RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkanNya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai."
 ( At-Taubah : 33 )


Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat 
( An-Nashr : 1-3 )



Sungguh, aku takut tanah air aku dilaknat Allah s.w.t kerana manusia yang ingkar. Sungguh aku takut kehilangan saudara seagama yang meniggalkan dunia tanpa menyumbang apa-apa pada agama. Sungguh aku takut akan balasan-Nya, bukankah laknat Allah yang menimpa di bumi kaum nabi Musa itu telah tertulis di dalam kitab-Nya, dibuktikan penemuannya dengan jasad firaun yang masih elok tertimbus di lautan dalam ciptaan-Nya? Kerana aku tidak mahu Malaysia menerima nasib yang serupa akibat perbuatan manusia yang tamak haloba, manusia yang lupakan dan melanggar fitrah kejadiaannya. Kerana manusia yang lupa tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah. Kerana manusia yang ingkar akan pertemuan dengan Tuhan-Nya di padang mahsyar sana.

"Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat sebelum kamu, ketika mereka berbuat kezaliman, padahal rasul-rasul mereka telah datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, tetapi mereka sekali-kali tidak hendak beriman. Demikianlah Kami memberi pembalasan kepada orang-orang yang berbuat dosa. Kemudian Kami jadikan kamu pengganti-pengganti (mereka) di muka bumi sesudah mereka, supaya Kami memperhatikan bagaimana kamu berbuat." ( Yunus : 13-14 )

 Malaysia,

Satu hari Islam akan tertegak di bumimu. Dan kemenangan Islam itu adalah pasti, cuma adakah kita salah seorang penyumbangnya atau sekadar memerhati?

Diri ini mahu kembali ke tanah air, satu hari nanti jika diizinkan Ilahi. Aku mahu menjadi batu-bata yang menegakkan Islam seperti di zaman kegemilangannya. dan aku mahu mengajak kamu, saudaraku untuk turut bersama. Kerana kita punya impian untuk terus bersahabat di syurga milik-Nya. Namun sehingga saat itu perjuangan di bumi asing ini harus aku teruskan, dan bekalan yang dikutip saban hari di sini begitu banyak mengajar diri erti Islam sebenar yang dicari. Alhamdulillah, sehingga saat ini Allah masih memberi peluang buat aku mencari dan terus mencari jejak memperbaiki diri juga rakan seperjuangan di sini. InshaAllah.


Salam buat Malaysia yang menyimpan seribu cerita sepanjang cuti musim panas ini. Cukuplah sekadar ini aku coretkan buat kamu, saudara seagama yang aku sayang di tanah air.

Salam dari aku, seorang hamba yang rindukan Allah Maha Pencipta dan Rasul-Nya. 

p/s : Suhu musim panas ibarat musim sejuk ini sungguh menguji ketahanan fizikal dan mental diri. Moga sahaja setiap saat dalam hidup kita sentiasa diberkati walau apa jua keadaannya.

Ana ukhtikum fillah, 
Fareen.

No comments:

Post a Comment