Friday, 24 February 2012

nota buat sahabat #1



salam dari aku yang teramat sayang kamu, sahabat seperjuangan, saudara seagama, saudara seakidah yang aku cinta kerana Allah. aku cuma mahu menukilkan kata ringkas buatmu sahabat kerana diri ini teramat bersyukur dan merasa dihargai kerana masih dikurnia insan yang sentiasa hadir membimbing diri yang serba kekurangan ini mengejar redha-Nya, membisikkan kata semangat tatkala aku lemah tiada daya, yang menghibur tatkala aku menangisi khilaf diri yang tak sempurna. Sungguh, kehadiranmu sahabat begitu bermakna buat aku, seorang hamba milik-Nya. Seperti juga dirimu.

Aku berpesan kerana aku mengingatkan diri yang terkadang alpa dalam mengejar impian dan cita. Tiada yang aku banggakan selain melihat kamu sahabat, terus maju melangkah dalam membina diri, malah lebih baik dari diriku ini, mengubah apa yang selama ini tidak pernah terlintas. Ya, kamu yang sentiasa cuba memperbaiki diri, walau dalam apa jua keadaaan masih mencari dan terus cuba mencari cinta-Nya. Aku doakan kita bertemu dan bersama di syurga sana sahabat. Ketahuilah tiada lagi cinta yang layak kamu kejari, selain cinta Ilahi. Kerana hanya dengan cinta Ilahi, persahabatan ini bakal membimbing kamu dan aku untuk terus sama mengingati, untuk terus sama memperbaiki apa jua khilaf dan mencari solusi.

Sahabat, dunia ini sementara, dan sudah tentu aku semahunya bersahabat dengan kamu selamanya. Kerana itu ayuhlah membina kembali cinta kepada Yang Esa, kerana akhirat itu yang kekal buat kita. Tidak tergamak aku lihat aku atau kamu sengsara kerana godaan murahan dunia. Ayuhlah sahabat, masa tidak menunggu kita, dan esok juga belum tentu kita yang punya.

Sahabat, kamu dan aku. Kamu dan kamu, jauh dalam sudut hati itu sentiasa mencintai kebaikan, kerana itu memang satu fitrah. Jangan biarkan ego dan nafsu menghalang ia kembali kepada fitrah. Bersyukurlah atas nikmat dan ujian. Kerana keduanya itu adalah cara untuk kita sentiasa mendekatkan diri pada-Nya. Jangan alpa dengan nikmat juga, jangan terlupa saat diuji. Kerana semua itu dari-Nya, kerana Dia sayangkan hamba-hamba-Nya. Basahkanlah lidah dengan zikrullah, Dia itu Maha Mendengar dan rindu rintihan hamba-Nya.

Firman Allah s.w.t. dalam Al Imran 142 : "Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad antara kamu, dan belum nyata orang yang sabar."

Sahabat, buat kamu yang merasa sunyi tatkala sendiri, bergembiralah. Bukankah Allah sentiasa bersama? "Dan sungguh Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan olehnya, dan Kami lebih dekat kepadanya dari urat lehernya." Al : Qaf : 16

Moga sahaja nukilan ringkas dari aku buat kamu mampu menghadirkan kekuatan untuk terus sama mengejar redha-Nya. Aku mahu bersama kamu. Di syurga abadi ciptaan Maha Pencipta.

"Maka adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, maka mereka di dalam taman (syurga) bergembira." Ar-Rum : 15

InshaAllah &Uhibbukifillah. 

No comments:

Post a Comment