Monday, 13 August 2012

mujahadah kata-kata

sedih, tetapi saya tidak mahu menangis. gembira tetapi saya tidak mampu mengukir senyuman. astaghfirullah, diri ini masih lagi mencari kekuatan untuk menjadi hamba Allah yang cekal hatinya, kuat kesabaran dan keredhaannya. Sungguh, Allah akan menguji setiap butir kata-kata kita kepada manusia, dan sebenarnya menuntut kita mengamalkan apa juga kefahaman kita selama ini. hakikatnya hidup ini bersulamkan ujian dan ditaburi pelbagai onak duri. ya, saya masih lagi bertatih mencari kekuatan dari Ilahi, tidak putus mengharap dalam doa saban hari. Putus asa itu bukan satu pilihan.

hidup ini bukan atas diri kita sendiri, tugas sebagai seorang khalifah di muka bumi, menuntut pengorbanan yang bukan sedikit, juga membutuhkan pelaksanaan segala ilmu dan amal yang dipelajari untuk diterjemahkan ke dalam kehidupan dan perbuatan sehari-hari. Akhlak, tutur kata, hati dan semuanya. ya, semuanya. Ada kala jiwa sebagai seorang muslimah yang begitu halus ini, terlalu amat sensitif dengan kata-kata manusia. ya, memang mereka tiada langsung niat apa-apa yang tidak baik, namun hati yang mudah berbolak-balik ini seolah-olah tidak mahu melepaskan diri dari cengkaman kata-kata manusia itu. Sungguh, mujahadah itu pahit, namun kerana kita manusia yang ditarbiyyah, dan belajar erti berlapang dada sebagai batu-bata dalam pembinaan ukhuwah, maka kita tidak boleh mengaku kalah dan akur dengan kehendak hati yang sensitif itu.



Sungguh aku manusia biasa, masih dan akan terus mencari kekuatan menjadi hamba Allah yang tawadhu' dan mengharapkan satu hari nanti dapat memiliki jiwa yang mutma'innah, (jiwa yang tenang) jiwa yang setiap saat memandang dugaan hidup ini sebagai seni kehidupan yang harus dipelajari sebaik dan setenang mungkin. Jiwa yang ibaratnya seluas lautan, tidak terkesan dengan lontaran batu-batu kecil ke dalamnya. Dan pembentukan jiwa yang tenang itu sudah tentu mengambil masa bukan sehari dua untuk dimiliki.

aku tidak kuat tetapi tidak bermakna aku harus akur dan mengaku kalah kepada kerapuhan hati, sungguh iman itu sahaja yang mampu menjaga dan memelihara hati agar cuma tunduk kepada-Nya, Allah Maha Pencipta dan Maha Kuasa. dan kekuatan itu datang hanya dari Dia, langkah ini tidak akan terhenti di sini kerana redha Ilahi itulah destinasi.

"kerana kata-kata itu juga menuntut pengorbanan untuk diamalkan, agar ia menjadi pengalaman dan pengajaran, bukan angan-angan kosong semata"

"wahai hati yang bersedih, umat ini sedang dimamah oleh keindahan dunia dengan dahsyatnya, anda tiada masa untuk melayan perasaan remeh temeh seperti ini kerana kerja membina umat masih jauh perjalanannya"

Sungguh ayat ini memujuk diri, sangat memujuk diri. syukur. 


"dan janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, kerana kamu orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman" 
Al -Imran : 139

"Sungguh, Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu menyedihkan hatimu, (janganlah bersedih hati) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakan engkau, tetapi orang-orang zalim itu mengingkari ayat-ayat Allah"
Al -An'am : 33

senyum itu sedekah,
farahfareen

No comments:

Post a Comment