Saturday 25 August 2012

Salam Perantauan

di saat kemeriahan syawal semakin lama semakin menggamit hati ini untuk pulang ke tanah air kerana rindu yang teramat, aku masih lagi mensyukuri keindahan lebaran di perantauan ini. Untuk kesekian kalinya, ini merupakan tahun ketiga meraikan lebaran di bumi kiwi dan biri-biri ini, sungguh terharu dan menyentuh sanubari. Walau harus diri ini akui, bahawa suasana beraya bersama ibu bapa dan keluarga sudah tentunya lebih bermakna, namun pada satu sudut aku merasakan masih ada banyak keistimewaan meraikan lebaran di bumi rantau ini bersama rakan-rakan kesayangan.

Minggu terakhir Ramadhan lalu merupakan antara minggu yang penuh sebak. Sungguh aku tidak tahu adakah bakal bertemu lagi dengannya. kerana Ramadhan ini antara Ramadhan terbaik yang pernah lalui bersama bi'ah yang cukup membina di sini. Nyatanya di Malaysia selama aku melalui Ramadhan sebelumnya, tiada pernah begitu menghargai Ramadhan seperti ini. Ramadhan tahun ini, cukup terisi dari sudut jasadi dan ruhi, syukur alhamdulillah, kerana Allah menghantarkan rakan taulan yang terlalu banyak mengubah dan memperingat diri di saat terleka dan teralpa. Sungguh, Ramadhan kali ini tiada bakal pernah sama dengan Ramadhan selepas ini, kerana ini Ramadhan terakhir di bumi kiwi tercinta. Namun aku mengharapkan walau di mana jua Ramadhan dilalui selepas ini, kita semua bakal keluar darinya dengan membawa segulung ijazah istiqamah berbekal ikhlas dan taqwa kerana Allah inshaAllah. Kerana kita bukannya hamba Ramadhan, tetapi hamba Allah sepenuh masa.


Minggu pertama syawal, sungguh sederhana namun cukup membahagiakan. walaupun aku dihimpit dengan perasaan gembira dan sedih yang bercampur baur tetapi nyatanya menyambut syawal kerana meraikan kemenangan sesudah Ramadhan itu jauh berbeza. Syawal yang disambut dengan salam kemaafan dari sahabat seperjuangan, syawal yang disambut kerana bersyukur dengan limpah kurnia-Nya sepanjang bulan yang diberkati itu. Syawal itu bukanlah disambut kerana berlumba-lumba memeriahkan suasana dengan pelbagai juadah atau warna-warni semata, tetapi kebahagiaan syawal yang sebenar kerana nikmat menjadi hamba Allah yang mencari cinta-Nya. Syawal yang walaupun tanpa disisi keluarga, namun dihadirkan perasaan cinta dan bahagia kerana kehadiran saudara seakidah dan seagama.

Syawal juga telah membentangkan kepada kita, adakah kita mampu untuk istiqamah dengan amalan seperti Ramadhan sebelumnya. nyata aku juga tidak terlepas dari ujian, namun sejauh mana kita mensyukuri ujian yang hadir kerana itu tanda sayangnya Tuhan kepada hamba-Nya, memberi peringatan untuk sentiasa dekat kepada-Nya, tanpa mengira masa. Walau aku juga turut dihimpit kesibukan akademik dalam minggu pertama syawal yang menyebabkan diri ini terasa kosong sebentar, namun akhirnya aku sedar bahawa ujian-ujian kehidupan ini hadir kerana tanda sayang-Nya kepada kita, dan bukankah dalam doa kita sering memohon dikuatkan iman? dan lantas bukankah itu tujuan ujian itu didatangkan? untuk meningkatkan iman kita? syaratnya harus redha dan ikhlas, barulah diri akan sentiasa tenang dan penuh kesabaran saat ujian menjelmakan dirinya. InshaAllah.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya, jika Allah s.w.t. mencintai sesuatu kaum, maka mereka akan diuji. Andainya mereka redha dengan ujian tersebut, maka baginya keredhaan Allah s.w.t."

syawal ini aku belajar erti sederhana. syawal ini mengajar aku erti sabar dan redha, dan teramat penting, syawal ini mengajar aku istiqamah, sungguh kehidupan yang dilimpah kenikmatan dan kemewahan mudah sahaja melekakan dan menjauhkan diri daripada Tuhan, astaghfirullah. Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba yang sentiasa dirahmati-Nya, walau dalam apa juga keadaan, semoga Ramadhan kita diterima juga semoga kita hati kita terus mudah tersentuh dengan kebesaran Tuhan seperti mana sensitifnya dan tersentuhnya hati kita dengan cinta Allah saat beribadah dalam Ramadhan. InshaAllah.

hati manusia itu mudah berbolak balik, awas dan pastikan kita sentiasa mendekatkan hati kita kepada kebaikan dan bukannya sebaliknya, istiqamah itu yang dicari. 


selamat menunaikan puasa enam syawal.

Kelburn Field VUW, 5 Syawal 1433H

salam 7 syawal dari bumi kiwi,
farahfareen


No comments:

Post a Comment