musim panas yang bakal tiba ke penghujung, persis sekali cuaca di tanah air. bumi yang menjadi ibu kota kebanggaan rakyat kiwi ini jarang sekali hilang sentuhan bayunya, bayu yang terkadang membuat diri sukar menghadirkan langkah seperti biasa. syukur atas segala nikmat dan kurniaan Tuhan, apa jua kehendak-Nya, lantas itulah yang terbaik buat kita, atas sebab dan semua dengan izin-Nya. inshaAllah.
dan diri ini akhirnya kaku lagi pada kata-kata. ya, lidah manusia ini kadang tidak mengenal mangsa, dan acap kalinya juga bisa mengukir bahagia. kata-kata yang kita hadirkan buat mereka, terkadang meluncur laju, lebih laju dari kelajuan cahaya, namun di saat kata-kata itu dibunyikan dan didengarkan mereka, hati membisik kesal. salahkah? apa silapnya? dan mengapa maksud yang dicari itu masih tidak hadir, sebaliknya mengundang respon berbisa. sayang sekali, kata-kata itu telah melontarkan prasangka, sedangkan tujuannya membungakan bahagia.
dan aku memperingat diri sendiri. betapa kata-kata ada banyaknya tidak perlu diungkap, cukup dengan sekadar diam, mengukir senyuman atau sekadar singgah di fikiran. tidak perlu terlalu diamati dan diukir dalam hati, apatah lagi kata-kata berbisa, atau kata yang tidak membawa makna. bukankah kesabaran itu tinggi dan teramat bertuah bagi mereka yang memilikinya? bukankah kita telah diperingatkan dengan kata-kata dari kitab indah dalam sebuah surah;
Dan hamba-hamba al-Rahman (Yang Maha Mengasihani) itu (ialah) orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati, dan apabila orang jahil menegur mereka, maka mereka mengucapkan kata-kata “salam” Al Furqan : 63.
rendah hati. itulah sifat manusia yang sentiasa punya kesabaran dalam jiwa, saat manusia lain mengukir kata luka atau dusta, dia tidak merasa besar, bangga diri atau jauh lebih baik, sebaliknya mendoakan sang pembicara selamat sejahtera, salam, agar dia tidak dibalas dengan kata yang lebih menyakitkan. sungguh, keimanan ini yang kita cita- citakan, dan impikan agar satu hari mampu membuahkan cinta kepada saudara seagama, menerima kelemahan mereka, bersabar dan juga akhirnya, membimbing mereka kembali ke pangkal jalan, dengan penuh ketenangan untuk mencari keredhaan Tuhan.
dakwah itu bermula dengan kata-kata, dibuktikan dengan amal, dengan niat yang suci dari sekeping hati. dakwah itu cinta," ibarat pohon yang sentiasa memberikan buah, walau dilontar dengan batu oleh mereka yang tidak memahami." kata indah, inspirasi buat diri, dari imam hasan al bana, pendukung dakwah yang memaknai cinta kerana Allah dalam hidupnya.
kebaikan itu tidak asing dengan kita, bukanlah terlalu jauh untuk menggapainya. kerana fitrah kita, sebagai manusia, makhluk Allah, akan sentiasa sukakan kebaikan. usahalah diri, perbaiki amal pancainderamu, lidah dan semuanya; agar kelak bahagia di akhirat sana. inshaAllah.
dakwah bermula dengan diri sendiri, dan kemudian ia tersebar kerana cinta, kerana cinta kepada Allah, Maha Pencipta.
"dakwah padaku ibarat pelangi, yang dikau ukirkan buat mereka agar sama-sama menikmati keindahannya; sehingga mereka juga mampu mengukir pelangi yang sama, buat yang lainnya"
No comments:
Post a Comment