Thursday, 28 November 2013

cuma titanic

Dalam hidup ini terkadang aku banyak impian. Itu dan ini, serba serbi. Kerana lumrah dan fitrah insan, tidak terlepas daripada kemahuan, keperluan dan mungkin jua kepuasan. Tetapi hidup ini bukanlah serba indah, ada saat yang menduga, ada saat yang meluka dan ada saat juga berduka. Dalam banyak impian yang aku cuba usahakan saat ini, aku mahukan sesuatu yang bukan mampu dibeli dengan wang, bukan juga dibeli dengan pangkat seangkatannya, tetapi keikhlasan dan keimanan.

Banyak dari kita mahu hidup yang indah belaka, walau kita cukup sedar diri kita tidak sempurna, mereka tidak sempurna bahkan tiada siapa yang sempurna, melainkan Maha Pencipta. Allah yang Maha Kuasa. Dan lantas, bagaimanakah kita boleh menyangka, hanya dengan kekuatan diri kita, kita mampu harungi semua, ketidaksempurnaan diri, dia, dan mereka.

Dan kerana itulah jua tujuan kita diciptakan. Untuk sentiasa punya keimanan. Keimanan setinggi yang dapat kita gapai agar mampu menjejak syurga dan redha-Nya kelak, inshaAllah. Dan aku, moga saja dengan keimanan diri yang terkadang compang-camping atau koyak-rabak kerana kelemahan diri, Dia sentiasa ada untuk menerima taubat dan insaf hamba-Nya. aku sebenarnya impikan hati seluas lautan, bahkan jika bisa, lebih luas dari itu. Aku tidak mahu terusik atau tercemar oleh sekadar setitis nila, pecahan kaca atau apa jua yang dilontarkan kepadaku. 

Aku tidak mahu ketidaksempurnaan dunia, merosak hati, meluka dan membarah dalam jiwa. Aku mahukan hati setenang dan seluas lautan, sedalam mungkin kesabaran. Tiada tergugat walau kapal sebesar dan segagah titanic kau hanyutkan dalam lautan hati ini. Ia tiada kesan, kerana keimanan yang memenangkan hati, tidak terusik dengan benda kecil dan kerdil. Hati seluas lautan, yang redha mengharung apa jua gelora dunia, tidak terpikat, tiada tergugat.

Sungguh iman seluas itu, dan sedalam lautan itu, mungkin masih jauh beribu batu langkahan usaha harus ditempuh, namun kerana ada impian dan harapan, aku harus teruskan langkahan, kerana Allah menjanjikan balasan kebaikan bagi mereka yang benar-benar cuba mencapai keikhlasan beriman kepada-Nya. 

Percaya. Hatimu mampu seluas lautan, walau tiada seluas iman umar al khattab atau uthman bin affan, tetapi tetaplah menjunjung dan mencontohi jejak mereka, yang syahid kerana Allah.

No comments:

Post a Comment