sungguh terlalu lama tidak menukilkan bicara dan untaian fikiran di ruang yang kerdil, namun cukup memberi erti di sini. Kerana tidak semua kata-kata itu, layaknya lahir daripada sang lidah. Dan terkadang ada banyak kata indah dari minda, yang lebih cantik tertafsir melalui pena. Hari ini, aku cuba mencari inspirasi itu, inspirasi yang jarang-jarang dapat aku nukilkan dengan tulisan....
Sudah tentu apa yang ditakdirkan Tuhan itu punya seribu hikmah yang tersimpan, tetapi kerana diri yang lemah mengatur perjalanan, diri ini teraba-raba mencari hikmah dalam perjalanan hidup yang cukup menguji kesabaran. Dan diri ini juga terkadang alpa, mendoakan kekuatan dari Allah yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui apa yang terbisik dalam setiap hati hamba milik-Nya. Ahh, kamu yang terlalu suka melayan perasaan! terlalu banyak masa yang telah dibazirkan; biarlah ada usaha yang dicipta, tatkala dirimu cuba merenung kesalahan, memperbaiki kesalahan, bukannya sekadar merintih kosong, dihanyut kesedihan. Masih, dan masih lagi aku ulang nasihat itu pada diri. Namun itulah, manusia yang terlalu cepat alpanya kerana merasakan dirinya serba cukup, apabila ditimpa kesusahan, mulalah merintih seolah tiada kesudahan.
Merintih kamu biar pada yang sudi mendengar. Merintih kamu, biarlah ada juga doa dan sisi harapan yang membangkitkan, membangunkan jiwa yang kepenatan kerana alpanya mengikut godaan dunia. Merintih kamu, biarlah diiringi usaha untuk menambah daya dan merintih kamu bukan kosong semata. Merintih kamu dalam sujud, adalah semata-mata untuk mencari rahmat dan kekuatan yang cuma datang dari-Nya. dan kerana dirimu sedar, bahawa kerdilnya diri seorang hamba, lemahnya sebagai insan, tiada punya apa jika bukan kerana Allah yang Maha Mengasihi tiap jiwa yang sentiasa cuba kembali ke pangkal jalan, mencari redha-Nya.
Dan moga juga, dalam tiap sujud, doa dan ibadah yang dirimu usahakan, biarlah sentiasa kerana mengharapkan rahmat-Nya, mengharapkan bimbingan hidayah-Nya yang lurus, kerana dunia ini terlalu bersimpang-siur, entah ke mana-mana jalan yang dituju, jika tiada tujuan yang memandu hidupmu.
Moga sahaja dalam tiap kata atau janji yang cuba engkau zahirkan kepada mereka, diiringi niat yang tulus dan ikhlas untuk memenuhinya. Kerana percayalah, sesaat engkau mengambil mudah kata atau janji yang pernah engkau lafaz pada mereka yang bernama manusia; tidak mudah, terlalu payah untuk mereka mempercayaimu semula. kerana mungkir janji itu bukanlah sifat seorang yang benar-benar tahu dan menghargai, betapa mahalnya harga sebuah janji yang lahir daripada mereka yang disayangi, dan betapa kata-kata itu perlukan pada pembuktian; bukan sekadar angan-angan yang dikau canangkan sebagai harapan kepada mereka.
Hidup ini indah atau tidak, tergantung kepada pilihan dirimu. Kerana pilihan itu sentiasa terbentang luas, terhias indah berbagai warna, cuma yang membezakan adalah mengapa pilihan itu dibuat, adakah sekadar buat kepuasan atau benar-benar kerana ingin mencari redha Tuhan..usahalah, berdoalah dan bertawakallah, kerana hidup ini tidak punya jalan singkat dan kerana syurga itu, milik mereka yang benar-benar menyerah diri sebagai hamba....
No comments:
Post a Comment