Jujur walau cuti di Wellington kali ini agak panjang untuk dihabiskan, percayalah saya masih tidak punya banyak masa untuk mengemas kini blog yang berhabuk ini. Maaf dari saya. Hari ini sempat berbual singkat dengan adik di Malaysia yang sedang bercuti dari pengajiannya di Matrikulasi, saya tanyakan khabarnya kerana sudah berminggu tidak menelefon ke rumah. Alhamdulillah Allah masih memberi kesempatan untuk saya mendengar suara manja adik, walaupun tidaklah selama mana tapi itu sudah cukup menghibur diri, mengubat rindu saya sebagai anak rantau di sini. Bersyukur juga kerana kehadiran teknologi, sempat juga saya melihat sekilas wajahnya melalui Skype. Syukur, alhamdulillah.
Saya mengagumi kerajinan adik yang suka mengemas kini blog nya. Saya juga kagum dengan idea dan cerita yang dikongsi di blog miliknya. Bukan niat saya untuk mempromosi blog adik sendiri, sekadar mengagumi kelebihan anugerah Tuhan pada seorang hamba. Lantas kesempatan saya berbual dengannya petang tadi, saya tanyakan soalan padanya. Apa tajuk entri seterusnya yang patut saya tulis. Lalu adik menjawab, tulislah cerita kamu kembara di Queenstown. Adik teringin nak tahu. Pada saya, tiada banyak yang ingin saya ceritakan, tetapi bila saya fikir dan renungkan kembali, ada sesuatu yang istimewa tentang kunjungan ke South Island di New Zealand ini. Ada sesuatu yang terlintas di hati.
Queenstown. Sebelum ini saya cuma mendengar dari cerita rakan seperjuangan di bumi wellington ini, betapa indah bumi new zealand di bahagian selatan itu. Pada saya, bumi wellington yang menjadi saksi permulaan dan jerih payah seorang pelajar di perantauan ini sudah cukup indah dan menarik hati, maka saya tertanya-tanya apa pula bezanya dengan suasana di seberang sana. Kerana terlalu ramai yang bercerita, dan kerana hati ini yang tidak puas-puas mencari jawapan, lalu saya menyuarakan hasrat kepada rakan seperjuangan untuk bersama ke sana. Alhamdulillah Allah permudahkan perancangan kami, lantas perjalanan kembara di bumi south island bermula 11 november lalu.
from http://www.flickr.com/photos/farahfareen/sets/72157628138984548/ |
Perjalanan kami dari wellington menaiki penerbangan ke bumi Christchurch cuma mengambil masa sejam dari Wellington. Lalu kami sempat singgah di rumah teman seperjuangan selama semalam. Keesokannya kami bertolak ke Queenstown bersama hati yang berdebar, tidak tahu apa yang menanti.Sebaik menjejak langkah di lapangan terbang Queenstown, hati ini tidak putus-putus bersyukur melihat keindahan ciptaan-Nya yang sangat sempurna. Gunung dan bukit-bukau yang tersergam kukuh, awan yang terbentang di langit biru, semuanya bagai sebuah mimpi. Bumi Queenstown ini cukup unik dan membuat hati cukup terusik dengan keindahannya, Tidak tergambar dengan kata-kata. Tasik yang langit biru, jernihnya ibarat cermin yang memantulkan kekuasaan Tuhan. Lantas hati ini sebak. Jika syurga lebih indah dari ini, jika dunia ini sudah cukup membuat aku bahagia, aku tidak mahu kembali ke dunia realiti di mana manusia tidak sudah-sudah merosakkan keindahan bumi ciptaan Ilahi. Sedih sekali. dan sungguh tidak saya sangka, air mata tertumpah saat terbang di langit biru, kerana saya tahu bumi di bawah sana penuh dengan liku dan kerosakan akibat perbuatan manusia itu. Tidakkah mereka menyedari hakikat itu?
Siapalah saya. Siapalah saya untuk berkata. Hakikatnya saya juga hamba-Nya yang penuh khilaf. lalu saya memohon agar diberi kekuatan, diberi suntikan motivasi dan inspirasi sepanjang di bumi Queenstown itu untuk menguatkan hati meneruskan perjuangan menegakkan Islam di muka bumi ini, juga lebih penting menegakkan Islam dalam diri saya sendiri. Istiqamah inshaAllah. Perjalanan di bumi Queenstown pada hari kedua, menjejakkan kaki di bumi yang diberi nama Milford Sound.
Subhanallah. Subhanallah. Saya teringat perkongsian seorang rakan saat kami dalam perjalanan ke Milford Sound, katanya, warna hijau disekitar kami, warna hijau yang menghiasi perjalanan kami telah Allah ibaratkan dalam Al-Quran sebagai warna syurga. Lalu saya terfikir, jika Milford Sound ini sudah cukup indah bagi saya, ibarat syurga dunia, apatah lagi syurga yang kekal di akhirat sana. Wallahu'alam tiada siapa yang mampu menjangkau keindahan ciptaan-Nya. Saya merasa diri ini cukup kerdil di tengah-tengah keajaiban ciptaan Tuhan. Masih ramai manusia di luar sana yang menginginkan peluang seperti saya saat itu, untuk berada di sana, tetapi Allah memilih saya. Subhanallah, bersyukur sekali atas peluang itu.
Saat itu saya juga terfikir, jika Allah sudah memilih aku, jika Allah sudah mengizinkan aku untuk berada di bumi New Zealand ini, jika Allah sudah menghadiahkan aku perjalanan ke bumi Milford Sound ini, apakah sumbangan aku pula pada-Nya? Apakah yang aku lakukan sebagai tanda syukur pada-Nya? Adakah sekadar mengucap Alhamdulillah? Sudah tentu itu tidak cukup. Sudah tentu itu belum memadai untuk menyatakan rasa syukur saya sebagai hamba yang dipilih untuk mendapat nikmat ini.
http://www.flickr.com/photos/farahfareen/sets/72157628138984548/ |
Lalu saya ingin menganggap perjalanan saya di bumi indah bernama Queenstown itu sebagai satu hadiaah dan galakan, sebagai satu motivasi dan inspirasi untuk terus kuat bekerja untuk agama-Nya, tiada lagi alasan untuk bermalas-malasan. Untuk terus memerah keringat menyambung perjuangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat menyebarkan Islam kepada semua. Terutama rakan di sekeliling kita, terutama kepada keluarga kita. Kerana jika bukan kita yang berusaha untuk menegakkan Islam kepada rakan dan keluarga, siapa lagi yang dapat kita harapkan? bukankah setiap orang dilahirkan sebagai pemimpin untuk memimpin dirinya sendiri dan orang di sekelilingnya menuju kebahagiaan abadi? Lantas apa makna kebahagiaan abadi? jawapannya tentulah syurga milik Allah. bagaimana ke ingin ke syurga yang teramat mahal itu? Bangunlah dan berilah peringatan kepada saudara seagama tentang agama, agar kita sama-sama boleh berubah dan membentuk diri menjadi muslim yang diredhai Allah sentiasa dan muslim yang bukan Islam sekadar pada nama.
"Wahai orang-orang yang berselimut! Bangunlah, lalu berikan peringatan! Dan Rabbmu, agungkanlah! Dan pakaianmu, bersihkanlah! Dan perbuatan dosa, tinggalkanlah..!"
[al-Muddatsir, 74:1-5]
http://www.flickr.com/photos/farahfareen/sets/72157628138984548/ |
InshaAllah. Moga Allah redha. Teruskan usaha, doa dan tawakal. Jangan pernah putus asa dengan rahmat-Nya.
No comments:
Post a Comment