Sunday, 20 May 2012

refleksi


rindunya pada blog usang ini. maaf kerana terlalu lama menghilang, hakikatnya dunia itu perlu dikejar, namun berpada-padalah kerana dunia dikejar kerana akhirat nanti, bukan kerana memuaskan hati sendiri. hari ini aku masih lagi mencuba refleksi, pada satu sisi kehidupan yang banyak orang mengetahuinya, namun tidak ramai yang cuba menghayati makna sebenar perkataan ini. Islam.

hakikat islam itu seperti sebuah pantulan atau refleksi. Sekuat mana cahaya terang sang mentari pada cermin, sekuat itulah seharusnya perbuatan dan perkataan serta semua tingkah laku kita menggambarkan Islam yang sebenar. Islam yang benar tidak mengajar kita berkata buruk atau keji, Islam sebenar mengajar kita untuk berhikmah dalam setiap kata, kerana perkataan itu refleksi diri. Islam sebenar tidak mengajar kita untuk leka dan lalai dalam kehidupan dunia, namun Islam sebenar mengajar kita apa erti menjadi seorang hamba, hamba kepada Yang Maha Esa. dan kerana sesungguhnya hamba itu tidak punya hak untuk mempersoal apa jua ketetapan Maha Pencipta, apatah lagi menyalah guna untuk kepentingan diri, berhibur dan bersuka ria. 

atas alasan apa juga kita cintakan dunia, ia tidak akan mampu membela kita di akhirat sana. kerana dunia ini cuma persinggahan sementara, semuanya bakal hilang dari pandangan mata, saat malaikat maut menjemput tiba. wahai saudara seagama yang aku kasihi, nyatanya manusia itu mudah tertipu dan terpedaya, dengan hakikat dunia yang dihias indah pelbagai rupa, tetapi kitalah, yang telah diberi amanah oleh Allah untuk menjaga agama-Nya. Menjadi seorang hamba.

Tiada lagi yang mampu menjaga kita sebagaimana Allah telah menjaga kita dari saat roh ditiupkan kepada jasad dalam kandungan seorang manusia, tiada lagi yang mampu memberi rezeki kepada kita saat ini sehingga tiba masa kita meninggalkan dunia yang fana. Tiada siapa tahu, apakah takdir yang sudah tertulis untuk kita? mengapa kita masih sanggup melupakan-Nya? mengapa kita masih lalai dalam berdoa? mengapa kita melupakan ajaran kitab-Nya? mengapa kita masih tewas kepada hawa nafsu yang menggoda? mengapa kita masih memilih hukum mana yang mahu diamalkan, dan hukum mana yang telah kita pandang ringan tanpa sengaja? Mengapa dan mengapa?

surat Ibrahim ayat ke-52, Allah menyatakan, "(Al Quran) ini adalah penjelasan yang sempurna bagi manusia, dan supaya mereka mengetahui bahwasanya Dia adalah Ilah Yang Maha Esa dan agar orang-orang yang berakal mengambil pelajaran."

Kita boleh bertanya beribu, malah jutaan soalan pada diri. Namun, disebalik soalan-soalan ini, adakah kita sudah cukup berusaha mencari jawapannya dan beramal dengannya? Berapa banyak masa yang telah kita korbankan untuk berfikir dan menyumbang kepada agama-Nya? berapa banyak tenaga yang kita telah sumbangkan untuk beribadat dan mencari redha-Nya? berapa? dan cuba kita bandingkan dengan nikmat yang kita peroleh sehari-hari? soalan yang sama. Mengapa dan mengapa?

maaf, bukan niat saya untuk membuat anda serabut kepala kerana soalan-soalan ini. Kerana apa yang saya cuba ceritakan adalah kepentingan untuk kita sentiasa cuba merefleksi, bermuhasabah diri. apakah imej diri dan yang telah kita pantulkan selama ini? Jika cukup baik, bersyukurlah kerana itu semua atas izin-Nya. Jika masih kurang dan perlu diperbaiki, maka berusahalah. Kerana kita tidak mahu menjadi fitnah kepada agama. Jangan kerana pantulan diri kita yang tidak mengamalkan Islam yang sebenar, seluruh umat ini dipersalah dan dihina. Nau'zubillah.

'Namun realitinya, tidak ramai yang memahami. Apa maksud refleksi. Ya, bukan cuma refleksi tetapi diikuti dengan tindakan-tindakan yang boleh mendekatkan kita kepada Ilahi. Perbaikilah diri.'

"Segala puji bagi Allah, dia akan memperlihatkan kepadamu tanda-tanda kebesaran-Nya, maka kamu akan mengetahuinya. Dan Tuhanmu tiada lalai dari apa yang kamu kerjakan." (QS. An-Naml: 93)




No comments:

Post a Comment