Saturday, 3 November 2012

Episod1 : Travelog Warna Takdirku, Wellington; EMC

kerana dalam hidup ini, tiada istilah kebetulan bagi mereka yang benar beriman. dan mereka percayakan walau sekecil dan seremeh bilangan kerdipan mata kita setiap minit; tiada yang mengizinkan-Nya kecuali dengan izin dan takdir Tuhan..

15 Februari 2010.


dia melangkah keluar dari kenderaan yang disewa khas oleh pihak universiti ke rumah penginapan pelajar itu. Stafford House. Sungguh kerdipan mata pada papan tanda itu, disentak hebat oleh hembusan angin laju yang ibarat menusuk ke dalam tulang. Sejuk. Ahh, dahulu dia pernah terbaca, kota ini ditangga pertama, the most windy city in the world. Dia melangkah dengan degupan jantung penuh debar, bukan kerana ini kali pertama menjejak kaki di bumi kiwi, tetapi kerana inilah detik perjalanan kisah baru hidupnya, dan bangunan ini bakal jadi saksi, kehidupan tahun pertamanya jauh dari pangkuan keluarga dan tanah airnya. 

Perjuangan baru bermula. Dia kemudian disapa mesra oleh senyuman wanita yang barusia hampir separuh abad, cukup bertenaga memberi penerangan tentang peraturan dan selok-belok ruang penginapan itu. Saat melangkah, dia merasakan dirinya seolah berada di dimensi lain? khayalankah? namun dia sedar inilah takdir indah yang Allah telah pilihkan untuknya, Jutaan masih menunggu di luar sana; mahu bergelar mahasiswa dan mahasiswi luar negara; dan dia hari ini selangkah ke hadapan untuk merealisasikan impian mereka. sungguh bertuah empunya diri. namun, hati dilambung gelisah, ada sesuatu yang mengganggu fikiran. 

stafford house, 2010
 sebuah apartmen yang punya tiga bilik. ruang tamunya dikongsi dengan ruang dapur. cukup ringkas dan fleksibel. buat anak rantau yang pertama kali menjejak kaki ke tanah orang putih, ini mewah buatnya. dan kerana hidupnya di Malaysia, bukanlah dihimpit kesusahan, namun kesederhanaan telah mendidiknya membezakan dan menghargai. sekali lagi; banyak sungguh nikmat yang Tuhan beri. alhamdulillah, alhamdulillah. nafas dihela tenang, udara di bilik ini lebih nyaman dan selesa buatnya. lantas pandangan tingkap kecil yang dihiasi bangunan-bangunan pejabat yang mencakar langit itu diselak kemas. tiada lagi rumput hijau yang menjadi renungan buatnya. hembusan angin di luar masih seolah mengamuk pada dirinya, terkadang membuatnya gusar. jadi anak kota lagi, bisiknya. Mengenangkan tempat kelahirannya, tiada mampu langsung untuk dibanding dengan kota ini. tapi kehidupan menjadi anak kota ini; dalam hiruk-pikuk kesibukan, pelbagai ragam manusia yang tanpa hentinya mengejar masa, bukanlah asing baginya. tapi, pasti ada sesuatu yang berbeza di sini. lantas dia teringatkan keluarga; tahukah mereka ketibaan di sini? risaukah?

tanpa berlengah dia berlalu memanggil rakan serumah yang cuma berada di bilik sebelah. kebetulan mereka tiga gadis ini, punya 'jodoh'; sejak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); walau masing-masing punya latar belakang berbeza; seorang Biologi, dan seorang lagi Matematik. sedangkan dirinya memilih jurusan TESL di sana, mereka bertemu saat temuduga di Bangunan Mara ibu kota tak lama dulu; maka terbit bibit perkenalan tanpa sengaja kerana mereka semuanya secara kebetulan menginap di kolej kediaman yang sama; Kolej Pendeta Za'ba. Sungguh, dunia ini tidaklah besar mana. dan atas rezeki Tuhan juga, ketiga-tiga dari penghuni apartment 031 ini, berjaya menjejak kaki ke bumi ini. Wellington. itu yang telah tertulis di Luh Mahfuz- Nya. Bukan satu kebetulan lagi.

fikiran ini masih menerawang memikirkan keluarga di Malaysia. lantas dia mencuba ikhtiar untuk menghubungi keluarga melalui password online yang telah diberi. sekarang telefon bimbit bukan lagi medium komunikasi yang murah seperti selalu. dia harus terus cuba. pasti keluarganya masih tertanya-tanya akan keadaannya lagi. tidak berjaya. hampa. dia melepaskan lelah di katil yang disusun rapi; di sebelah meja belajar yang kini jadi miliknya. bagaimanakah? 

kerisauan dirinya bukan sahaja kerana keluarga, ada sesuatu yang masih tidak mahu meninggalkan kotak fikirannya itu. puas sudah dia mengingatkan diri; hidup jadi anak rantau ini harus tabah. belum pun 24 jam di negara orang, mana mungkin dia mampu melawan emosi yang kini menjadi-jadi jika diri tidak dididik untuk tabah hadapi dugaan sekecil ini. saat kerisauan dan kelelahan mulai berperang dalam hati; dia dikejutkan oleh ketukan pintu. ada suara yang memberi salam. em, kenalkah dia dengan tetamu itu?


apartment 031, stafford house

bersambung.........


No comments:

Post a Comment