Wednesday 1 January 2014

Baru

Tahun baru. Saya yakin, mungkin terdetik sesaat di hati kita? Bagaimana pencapaian diri sendiri pada tahun yang berlalu? Berjayakah? Atau walau kurang berjaya, berjayakah pula kita belajar dan muhasabah diri tentang perkara yang kurang berjaya dalam hidup kita? 

Memang lumrah manusia, sukakan yang baru. Kasut baru, rumah baru, kerana kita sukakan perkara indah. Dan memang yang baru, hakikatnya lebih baik, lebih cantik, lebih segar dan lebih terkini. Namun saat tahun baru menjenguk ke dalam kehidupan kita, yang baru cumalah pengiraan masa, bertambah dari 2013 ke 2014. Umur kita juga baru, bertambah satu digit lagi di belakangnya. Tahun baru, tiada makna jika kita sendiri tidak memperbaharui diri kita. Maksud saya, bukan dengan harta. Tapi jiwa.

Jiwa baru, dan niat baru. Sungguh dalam meniti kehidupan sehari-hari, melakukan rutin itu dan ini, kita mungkin terbawa-bawa niat yang lama dan usang. Lantas, semangat dan kesungguhan itu makin pudar dan hilang. Niat yang terkadang usang kerana kesilapan, dosa atau mungkin juga kelemahan dan kealpaan. Memang fitrah manusia tidak sempurna. Dan imannya juga sentiasa turun dan naik. Dalam sebuah hadis disabdakan bahwa al-iimanu yazid wa laa yankus. Iman itu kadang bertambah, kadang berkurang, kadang naik, kadang turun. 

”Iman itu kadang naik kadang turun maka perbaharuilah iman kalian dengan la ilaha illallah.”
 (HR Ibn Hibban) 

Namun, jika niat dalam hati itu sentiasa cuba kita perbaharui, tanpa perlu cuma menunggu tahun baru atau hari baru, yang entah bakal hadir atau tidak, inshaAllah jiwa kita akan sentiasa segar dengan semangat baru, melakukan yang terbaik sebagai hamba Allah untuk mencari redha-Nya dalam setiap perlakuan kita.

Moga sahaja tahun yang baru membuat kita sentiasa bermuhasabah diri agar iman dipelihara, kerana hakikat hati itu mudah berbolak balik, lebih mudah ibarat isi periuk yang menggelegak. Perbaharui niat, dan tingkatkan amal kerana umur yang bertambah itu bermakna ajal menghampiri. Astaghfirullah, moga selalu diberkati-Nya, inshaAllah. 

No comments:

Post a Comment