Monday 6 January 2014

dentingan syiling


Terkesan dan tersentuh dengan kisah anak-anak kecil ini dan datuknya; saya titipkan puisi ini buat refleksi. Terlebih lagi buat diri sendiri. Link berita penuh : http://suarainsan.net/kisah-adik-nurkhatijah-pelajar-sekolah-rendah-tak-cukup-duit-bayar-yuran-sekolah/

Syiling
Mungkin nilainya kecil untuk dipandang
Namun bagi si miskin
Itulah penyambung dan penerusan
Cucu-cucu kesayangan
Meraih gemilangnya cahaya masa depan
Kerana syiling itu
Penentuan buat penerusan didikan

Anak-anak kecil itu
Tiada mengerti dentingan syiling
Mungkin syiling-syiling terakhir milik datuknya 
Ayah dan ibu tiada lagi bersama
Tatkala si nenek membanting tulang
Mencari sesuap nasi buat keluarga yang serba kurang

Dan masih terdengar dentingan syiling
Dentingan syiling di atas meja
Saat datuk datang menatap bersama wajah hiba
Malu dan hampa dirinya, bukan lagi soalnya
Soalnya, anak kecil itu
Perlukan didikan sekolah, biarlah
Biarlah apa pandangan mereka
Walau dentingan syiling setelah dikira
Dihitung-hitung bilangannya,
Tiada cukup; belum cukup jumlahnya! 

Wajah seorang datuk yang gusar
Di saat bunyi dentingan syiling
Tiada lagi mampu dicari, sukar
Teramat sukar
Dan renungan dan rintihannya
Masih lagi didengar para warga didik
Menambah baki agar mencukupi

Wahai pemimpinku
Di manakah kamu saat dentingan syiling itu berbunyi
Dentingan syiling terakhir buat anak kecil
Yang tagihkan sedikit bantuan
Bukan buat mainan atau hiburan
Tapi buat masa depan dan didikan

Wahai pembela rakyat
Dengarkah kamu dentingan syiling
Dentingan keringat warga-wargamu yang tiada terbela
Yang bersabung nyawa mencari sesuap rezeki
Membanting tulang tiada kenal henti
Walau lelah si nenek sudah mencengkam diri
Digagahnya juga menjadi tukang cuci
Buat anak-anak kecil yang tiada dipeduli

Wahai diriku, 
Syukurilah, insafilah saat ini
Masa ini, dan kelebihan rezeki
Bukan milik kamu seorang diri
Berilah, walau sedikit
Hulurlah walau tidak berbukit
Tetapi usaha, walau teramat kecil
Memberi di saat sukar
Apatah lagi di saat suka
Akan dibalas Tuhan seadilnya
Akan dikira walau sebesar zarah cuma

Dan dentingan syiling itu
Terngiang lagi ditelingaku
Kerana itu dentingan rintihan saudaraku
Saudaramu.
Buat yang ingin membantu; berikut adalah no akaun maybank guru/ ustazah kepada anak-anak kecil ini: 

Nama : Ustazah Khadijah Binti Alang Mat Shuker
Sekolah Agama Integrasi Ar Rahmaniah Taman Dagang Taman Ampang
Pelajar : Nurkhatijah Abdullah dan Norsyafiqah Abdul Rahim
Maybank : 158024762835
No fon : 017-3078400
Ustazah tersebut dalam usaha membuka akaun khas buat anak-anak kecil ini. InshaAllah.

Jazakallahu khair.

No comments:

Post a Comment