Saturday, 13 August 2011

kuat sangat ke?



alhamdulillah hari ini masih bernafas di bumi wellington ini. semalam hari yang sangat indah, jumaat yang cukup memberi makna untuk aku. Berbuka puasa dengan sahabat-sahabat seperjuangan juga saudara-saudara seagama yang menuntut di universiti yang sama. Seolah-olah terasa sebuah kekuatan dari keindahan ikatan ukhuuwah yang terbina. "Muslim itu bersaudara". Satu ayat rigkas, tapi punya makna yang cukup mendalam. Saudara itu ertinya kita dari satu ayah yang sama, iaitu Islam. Aku teringat kisah seorang sahabat ketika dalam perang badar, adik kandungnya menjadi tawanan tentera islam saat itu. Adiknya memohon untuk dilonggarkan sedikit ikatan tangannya, tetapi sahabat itu menyatakan kepada tentera muslim yang mengikat adiknya, agar mengetatkan lagi ikatan itu. Katanya, "kau bukan saudaraku. Dialah saudaraku (tentera muslim), dan aku tiada ayah melainkan islam" Subhanallah, utuhnya pegangan, teguhnya pendirian sahabat ini tentang ikatan ukhuwwah dalam islam, sehingga adik kandungnya sendiri itu dilupakan, kerana bukan islam.


Hari ini aku mahu berbicara tentang kekuatan. Kuat? apa makna kuat? siapa rasa dirinya kuat sila angkat tangan! kuat itu bererti mampu, mempunyai daya dan usaha untuk melakukan sesuatu. Sekurang-kurangnya itu definisi kuat pada aku. Tapi sekuat mana pun seorang manusia itu, semuanya datang dari Allah s.w.t. Ya, SEMUANYA DAN SEGALANYA. termasuklah kekuatan untuk kita bernafas, kekuatan untuk bangun pagi, kekuatan untuk makan, kekuatan untuk pergi bekerja juga kekuatan untuk mengerdipkan mata! Selemah-lemah kekuatan yang kita ada untuk melakukan sesuatu itu, semuanya dari Allah. Apa jadi kalau Allah tarik nikmat kekuatan pada diri kita? Mampukah aku menaip entri ini? Mampukah aku untuk menggerakkan jari menulis blog ini? mampukah kamu membaca tulisan ini? Sudah tentu sekali tidak mampu! Bahkan untuk melihat skrin laptop ini juga ini aku tidak mampu tanpa izin-Nya. Sekarang kita faham satu hakikat..

SEMUA KEKUATAN MANUSIA ITU DATANGNYA DARI ALLAH S.W.T

jadi setujukah kamu jika aku katakan manusia itu TIDAK LAYAK mengatakan dirinya cukup kuat. Ya, mungkin tabah dan kental fizikalnya, tapi tanpa izin Allah semua itu tidak mungkin dan jauh sekali dari genggaman. Fitrah manusia itu adalah sebagai hamba. Apa konsep hamba? hamba bereti lemah dan sentiasa mengharap pertolongan dan pemberian daripada tuannya, dengan syarat dia berkhidmat kepada tuannya. Maka dia akan mendapat ganjaran. Kamu faham itu bukan? Sekarang, hakikat kedua yang kita WAJIB faham adalah:

MANUSIA ITU ADALAH HAMBA, HAMBA LEMAH YANG PERLU BERBAKTI KEPADA TUANNYA, IAITU ALLAH S.W.T.

Baik, sekarang apa kaitan hakikat sumber kekuatan manusia itu dengan konsep hamba? Tanggungjawab hamba adalah berbakti kepada tuannya bukan? Jadi, bagaimana manusia berbakti kepada tuannya, iaitu Allah s.w.t? Maka sudah tentu dengan beribadah, menyeru manusia ke arah kebaikan dan meninggalkan larangan. Itu antara tuntutan sebagai seorang hamba. Namun manusia itu juga banyak beralasan. Aku tidak cukup kuat, aku malu, aku segan, diri ini tidaklah sebaik mana. Emm, beribu-ribu alasan. Nak beribadah pun masih memilih. Malaslah, dah buat yang wajib pun cukuplah. 

Baik. Sekarang kita tanya pada diri kita. Kalau nak kekuatan dalam beribadah, kalau nak kekuatan untuk menunjukkan contoh akhak yang baik, dan apa juga kekuatan pun, maka kita perlu berdoa pada Allah. Doa itu senjata orang mukmin. Allah itu Maha Pengasih, berdoalah dengan penuh harap dan redha, nescaya dia memakbulkannya dan mengurniakan kita dengan kekuatan yang tidak pernah fikir kita mampu. Masalahnya anda percaya atau tidak? 

Dalam hadis sahih yang lain yang bermaksud : Doa adalah senjata bagi orang mukmin, tiang agama dan cahaya yang menerangi langit dan bumi.

Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Tiada daripada seorang muslim yang memohon doa sedangkan dia sendiri bersih dari dosa dan juga dia tidak pernah memutuskan perhubungan silaturrahim sesama manusia melainkan Allah akan menganugerahi kepadanya satu dari tiga perkara ini : sama ada terus diterima doanya, sama ada Dia akan menangguhnya sehingga hari akhirat ataupun disimpan(ampun) segala kejahatan yang seumpanya (permintaan tadi). Maka para sahabat bertanya : Sekalipun banyak? Sabda 
baginda S.A.W : Allah lebih banyak pemberian-Nya.



Daripada Anas bin Malik Radhiallahu 'anhu telah berkata : Aku mendengar Rassulullah S.A.W bersabda : Sesungguhnya Allah berfirman (maksud) : Wahai anak Adam! Apabila engkau memohon dan mengharapkan pertolonganKu maka Aku akan mengampunimu dan Aku tidak menganggap bahawa ia suatu yang bebanan. Wahai anak Adam! Sekalipun dosa kamu seperti awan meliputi langit kemudian kamu memohon keampunanKu, nescaya Aku akan mengampuninya. Wahai anak Adam! Jika kamu menemuiku(selepas mati) dengan kesalahan sebesar bumi, kemudiannya kamu menemuiKu dalam keadaan tidak syirik kepadaKu dengan sesuatu nescaya Aku akan datang kepadamu dengan pengampunan terhadap dosa sebesar bumi itu.
-Riwayat imam Tarmizi dan kata beliau ia adalah hadis Hasan Sahih-


Menitis air mata baca hadis yang terakhir ini. Besarnya kurnia dan kasih Allah pada kita, sedangkan Dia sentiasa memberi nikmat pada kita tiap saat, tidak terhitung jumahnya. Namun, soalan penting yang kita harus tanya pada diri kita adalah : sejauh mana aku telah melaksana tugas sebagai hamba? apa sumbangan aku pada Maha Pencipta?


Jangan risau jika kamu merasa lemah, kekuatan itu ada di sisi-Nya berdoalah, berusahalah dan bertawakallah. Jangan pernah putus asa, kerana putus asa itu sifat orang yang GAGAL. Teliti, fahami dan hayati. Moga tulisan aku yang tidak seberapa ini, mampu meniupkan semangat pada diri sendiri, juga saudara-saudara segama yang aku cintai.


InshaAllah. Amin. 

No comments:

Post a Comment