Tuesday, 25 December 2012

Episod2 :Travelog Warna Takdirku Wellington; EMC


dari cuma impian anak kecil yang berusia lima tahun; kini kuasa dan takdir-Nya yang tertulis membawanya mengenal kehidupan di bumi kiwi ciptaan-Nya...



Februari 2010.

diri bergegas ke pintu yang cuma beberapa langkah dari kamar tidurnya. dan ada wajah manis tersenyum menghulur bungkusan buat dirinya.

"adik, ni untuk makan tengahari. kirim sekali pada kawan-kawan serumah ya. petang nanti akak datang untuk bawa jalan dan cari barang" senyuman manis diukir lagi. lantas diri berterima kasih atas budi kakak yang sejak pagi tadi menyambut kami di lapangan terbang; membuat diri terlupa akan gusar sejak tiba di Stafford House ini.

baik sungguh senior ini, detik hati. dan memang rezeki yang tidak disangka-sangka, walau cuma beberapa belas jam berlalu sejak meninggalkan tanah air, nyata nasi bungkus bersama lauk ayam membuat diri rasa cukup bertuah. masih ada nasi di sini? detik hati gembira dan lantas bergegas memanggil rakan serumah, menikmatinya. Alhamdulillah.

keesokannya kami dibawa senior-senior yang teramat baik hati untuk mengenal ibu kota negara biri-biri ini. Sungguh perkara pertama yang terdetik sejak aku kenal nama New Zealand; bukanlah ibu kota canggih dihiasi hutan konkrit seperti di Wellington ini, cuma ladang-ladang terbentang luas yang dihiasi rumput segar nan hijau dihiasi lembu hitam putih dan biri-biri yang comel teramat. itu impian seorang anak kecil ketika berusia lima tahun, anak kecil yang pernah bertanyakan kepada ibunya, mana negara indah milik panorama dalam tin susu fernleaf yang selalu dilihatnya itu? jawab ibu, "itu New Zealand. jika kamu mahu ke sana, belajarlah rajin-rajin. inshaAllah ada rezeki, bakal jadi realiti."

dan anak kecil itu juga pernah terdetik dalam hati kecil yang saat itu teramat mentah untuk kenal dunia, sahabat kecil yang lainnya bertanya, mengapa New Zealand, Farah? bukannya London, Paris atau New York? 

anak kecil itu bertegas; "ahh, kota itu cuma penuh bangunan dan manusia, jauh dari ketenangan. sedang New Zealand itu hijau, penuh mendamaikan. dan aku suka begitu"

dan hari ini, anak kecil ini menjejak kaki melihat dunia; walau Wellington ini adalah ibarat New Zealand pada sudut modennya, namun dia tahu, panorama hijau itu ada di sini, satu saat nanti dia bakal menjejak kaki di ladang hijau impiannya itu, dan mengatakan pada diri, itu bukan lagi mimpi si anak kecil, tapi telah Allah tuliskan baginya menjadi realiti.


Lindale Farm, Kapiti 2010

Subhanallah, alhamdulillah agungnya aturan Tuhan. agungnya kuasa milik-Nya, yang tanpa sedar telah membimbing langkah anak kecil itu hingga ke sini. Kun fayakun...

Ertinya: Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya) dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya:Jadilah engkau! Lalu menjadilah ia.
Al-Baqarah : 117

tangga-tangga dan bukit yang didaki menuntut tenaga yang bukan sedikit. Oh, masih jauh rupanya bangunan gah yang dipanggil universiti. ya, Victoria University of Wellington. itulah sebab yang membawanya ke sini, sedang diri tidak pernah menyangka untuk bergelar mahasiswi di menara gading ini, namun takdir Allah yang mendahului segala-gala membuat diri ini akur. perjalanan masih jauh menanti. 

senior yang turut bersama tadi tidak henti berseloroh dengan kami, inilah tradisi pelajar di sini. mendaki bukit sudah jadi kebiasaan mereka setiap hari, kerana muka bumi wellington ini sudah dihias cantik oleh-Nya, maka cabaran buat kami untuk punya tenaga mendaki dan menjalankan amanah sebagai pelajar. dan setelah seharian diperkenal tentang selok-belok kehidupan sebagai mahasiswa/i di menara gading yang mencecah umur hampir satu abad ini, kami beransur pulang.


dan beberapa ketika setelah melepaskan lelah, ada sesuatu yang menangkap pandangan. nyatanya semalam diri ini masih tidak sempat untuk mengemas bagasi yang penuh berisi untuk disusun rapi, tapi hadiah dari seorang sahabat ini, membuat diri rasa tertanya. apa agaknya yang tersembunyi di sebalik balutan kemas ini?

dan sungguh, aku mengucap syukur, walau sebenarnya diri ini terkejut sedikit, saat balutan hadiah itu dibuka. ada sesuatu yang membuat diri ini kaget, subhanallah pertama kali menerima hadiah buku seumpama itu dari sahabat. terlalu lama tidak membaca sesuatu sepertinya. terlalu lama. dan saat itu aku bertanya ke dalam hati; mencari hikmah apa yang Allah cuba ajarkan kepada diri ini melalui hadiah ini?

tajuk dan kulit buku itu ditatap. karya Burhan Sodiq. 

Engkau Memang Cantik.

#EMC.

"selagi kau reda menerima Islam sebagai satu-satunya cara hidup kerana inilah satu-satunya jalan yang memandu arah dan tujuan, Oleh itu katakanlah pada dirimu sendiri bahawa "EMC selagi kau tampak cantik dalam bingkai cermin berbunga dari kamar bernama iman"

EMC, Burhan Sodiq, m/s ix

air mata mengalir laju.





bersambung.....

Monday, 24 December 2012

mata kecilku


satu masa dulu dia mungkin cuma insan biasa, salah seorang penghibur yang kita teramat kenal di malaysia. Satu masa dulu dia mungkin belum pernah memahami hakikat kehidupan yang disinari cahaya Islam seluruhnya. dan satu masa dulu, diri saya sendiri juga pernah berada kehanyutan dunia yang membuat saya terlupa akan hakikat sebenar kehidupan yang diredhai Tuhan. 

namun, saat ini hidayah Allah telah menyentuh hatinya, saat ini hatinya bercahaya dengan keindahan Islam yang sebenarnya. dan semoga lebih banyak lagi hati-hati yang tersentuh dengan usaha kita untuk mengembalikan kehidupan kita kepada Allah, semata-mata untuk mencari keredhaan Allah dengan
berbekalkan iman dan taqwa. 

buat dia, buat saya, buat mereka. dan buat anda. 
di serata pelusuk dunia, di benua ini dan teristimewa buat bumi tercinta, Malaysia.
InshaAllah. ini nukilan indah dari Afdlin Shauki buat renungan kita.


MATA KECILKU
Nukilan : Ammu Afdlin Shauki aka Abu Miasara

Kau buat mataku kecil
Kau buat badanku besar
Kau sayangkan aku

Kau buatku serba kekurangan
Supaya aku berusaha mencari kejayaan
Kemudian kau limpahkan dgn kesenangan
Kau sayangkan aku

Aku leka dengan hidup dunia
Tiada syukur tersemat didada
Hari hari bergelumang dosa
perhubungan kita tidak ku jaga
seperti seorang anak tak mengenang jasa
Kau sayangkan aku

Aku yg sudah hanyut jiwaku
Rasa tak layak lagi bersamaMu
Sangkaku tertutup sudah pintu kemaafanMu
kerana ke-alpaan diriku
Kerana kebodohan diriku
kerana keangkuhan diriku
Kerana ku butakan mata kecilku
"Masihkah Kau sayangkan Aku?"

f16 Israel membedil Gaza
Kau sayangkan aku

Bom Bom Israel mencari Syuhada
Kesengsaraan di tanah Gaza
Kehancuran merata- rata
Kezaliman yg tak terkata
Kau sayangkan aku

Kemanusiaan membawaku ke sana
Kau permudahkan segala cara
Walaupun debar menggoncang dada
Kau beri ku kekuatan minda
Selamat perjalananku ke Gaza
Agar akhirnya dapat ku guna
Mata yang lama tak bercahaya
Kerana hanya mengejar dunia
Kau Sayangkan aku

Mataku melihat, runtun hatiku
bukan kerana kematian dan kesusahan di situ
Gaza tanah barakahMU 
walaupun semuanya kelabu
Dipenuhi oleh kekasih-kekasihMU
Yang tidak pernah menyoal cintaMU
Yang tak pernah menyalahkanMU
Walaupun apa saja kesusahan yang kau beri
Kesyukuran tak pernah meninggalkan hati
Semua kekasih kekasihMU itu merindui
Bersamamu di Jannah nanti

Air mata berlinangan dari mata kecilku
Melihat Ketenangan wajah kekasihMU
Melihat Keberanian jiwa kekasihMU
Melihat keredhaan hati kekasihMU
Melihat ketaqwaan hidup kekasihMU

Senyum kekasihMU penuh cahaya
Senyun terukir walaupun duka 
Senyum di beri tak memilih siapa
Senyum penuh kesyukuran padaNYA

AKu terduduk, terdiam melihatnya
Mata aku berkelip tidak percaya, 
tidak pernah aku melihat sepertinya
Adakah aku dibumi nyata 
ataupun menghampiri ahli-ahli syurga

Palestin bergolak atas keizinanMu
Kau mahu Palestin menjadi guru
Pelajaran bagi semua umat MU
Menyuluh jalan pulang padaMU

Aku meminta pengampunan dariMu Ya Allah
Kerana setelah semua yg aku laku
kau masih sudi membuka mataku
kau masih sudi mahu bersama ku
Kau masih sudi sayangkan aku
Kau sayangkan aku

Aku bersyukur dan merasa rendah
kerana diriku yang masih kau endah
Akan ku balas cintamu dengan seluruh jiwaku
dengan badan besarku
dengan seniku, dengan jenakaku, dengan akalku
dengan mata kecilku yang kini melihat kebesaran Mu
kekuatan Mu, Ke BijaksanaanMu, PengampunanMU
Cinta Mu yang memang tidak ada seteru.
Semua yang ku lakukan kini kerana Mu

UntukMu inginku menjadi Qalam
Akan aku ceritakan kebesaranmu kepada sekian Alam
Akan ku sampaikan kasih mu yg sangat mendalam
Ya aku, Budak gemuk yg 120kg ni... ISLAM.

Barakallah Feeq



Wednesday, 12 December 2012

aku mahu jadi sahabiyyah!

lewat petang ini saya isikan dengan membaca kisah sahabiyyah yang bertangguh sebelum ini, dek kesibukan hari. sibuknya hari ini bukanlah apa jika dibandingkan hari-hari yang pernah saya lalui sebelum ini. cuma kapasiti dan graf tenaga yang naik turun ada kala meruntun jasadi ini; untuk membahagi-bahagi tanggungjawab..ibadahnya, kerjayanya, pelajarannya, tanggungjawab seorang ahli rumah juga tidak boleh diabai (ini masih banyak kurang)...emmm..

maaf jika anda kurang faham omelan saya, tetapi saya saat ini cukup risau dek kerana kesibukan yang cuma 10% daripada masa depan sebagai seorang guru pada masa hadapan, ini hatinya menjadi kosong. kerana mencuba memenuhi tuntutan dunia, kerana cuba memenuhi tuntutan dan hak diri..sungguh masih terlalu banyak yang harus saya belajar, tawazun dan tawazun dalam urusan dunia dan akhirat..

rutin hampir setiap hari sejak cuti musim panas bermula ini, cukup mencabar, bukan kerana pendeknya malam dan panjangnya siang tetapi kelemahan saya yang masih cuba menyesuaikan diri dengan keadaan ini. entah kenapa hampir semua urusan jadi agak kelam kabut, saya risaukan rehat yang tidak cukup, makan yang tidak begitu teratur, bakal jejaskan ibadah seperti selalu..risau teramat, namun saya cuba dan kerap kali mengingatkan diri, saya perlu berusaha dan cuba untuk bangkit kembali mengatur urusan hidup yang sedikit kacau bilau belakangan ini

dan saya teringatkan kata-kata Yasmin Mogahed dalam sebuah rakaman podcast beliau di YouTube, she said "sometimes Allah take something from us, to make us appreciate more of what we have loss" and  "Allah tested us with this loss, to purify and make us more and even more closer to Him"

lantas saya bermuhasabah diri; jujur saya akui ibadah seperti bangun qiamulail kini tidak lagi semudah selalu, tidak lagi sekerap selalu..maka saya cuba mengumpul kekuatan diri, berdoa dan berusaha untuk memenuhi tuntutan ibadah ini; walau sekadar minima dan yang termampu..sungguh, saat musim panas inilah saya merasakan kehilangan beberapa perkara yang menjadi rutin buat saya, antara tuntutan jasad (waktu tidur) atau tuntutan ruh (waktu qiamulail).. dan Yasmin Mogahed sekali lagi menghadirkan pencerahan saat dia mengulangi; 

"we often and always not forgotten to feed our body, our needs and desires, when the truth is that the body will eventually be rotten in the soil when we die, but we often forgot to feed our soul, with ibadah which actually will last to meet its Creator, Allah swt"

sungguh, sungguh, saya hamba Allah yang lemah..dan maka atas kesempatan untuk meluangkan beberapa bulan cuti musim panas di sini, saya mahu dan mahu terus belajar erti tawazun, erti menjadi hamba Allah yang sebenar..erti sebenar tanggungjawab sebagai abid dan khalifah..sungguh tiada apa yang mampu dikorbankan melainkan semuanya milik Allah dan cuma pinjaman buat saya di dunia..


jasad ini, masa ini, nikmat Islam dan semuanya..dan saya akan terus mentarbiyyah dan mendidik diri agar mampu mencontohi para sahabiyyah mulia; Asma Abu Bakar, Durrah Abu Lahab, Zinnirah, Sumayyah, Rabiatul Adawiyah dan semua sahabiyyah yang Allah muliakan mereka. InshaAllah..

ayuh sahabat, semak iman dalam hati; agar tidak kerugian di kemudian hari.


“Kebaikan itu semuanya terhimpun dalam 4 perkara : 
percakapan, diam, pandangan dan gerak."

Tiap-tiap percakapan yang tidak disertai dengan mengingati Allah adalah sia-sia.
Tiap-tiap diam yang tidak disertai dengan mengingati Allah adalah leka.
Tiap-tiap pandangan yang tidak disertai dengan pengambilan iktibar adalah lalai.
Tiap-tiap gerak yang tidak disertai dengan penghambaan adalah kosong.”
― Saidina Ali bin Abi Talib





Thursday, 6 December 2012

seribu maaf

as salam rakan pembaca..ini sebenarnya adalah post yang saya tuliskan kerana muhasabah satu peristiwa sebentar tadi, yang merupakan tamparan hebat buat diri..sungguh saya tidak menyangka ini adalah satu teguran dari Allah yang berat buat saya, tetapi saya sangat percaya akan ribuan hikmah yang tersembunyi disebalik ujian ini; kerana sungguh saya manusia biasa yang penuh khilaf, mana mungkin mengetahui apa hikmah yang terkandung di sebalik peristiwa itu..

yang saya tahu, saya harus belajar dari kesilapan agar ia tidak berulang. agar ia sentiasa jadi peringatan buat saya memperbaiki diri, dan agar saya sentiasa sedar, bahawa saya tidak punya apa-apa melainkan semuanya adalah milik Allah dan pinjaman dari-Nya. dan agar saya sentiasa mengingatkan diri, bahawa saya cuma seorang hamba, langsung tidak layak mencari pandangan manusia..yang ada cuma sekeping hati, yang masih dan masih saat ini cuba saya perbaiki..dengan izin Allah

lewat petang tadi, seorang sahabat menegur saya melalui private message fb, sahabat lama saya, di Malaysia yang bertanya khabar. lantas, dia menegur saya bahawa salah satu link laman web saya, merujuk kepada sebuah laman web yang tidak bertanggungjawab. saya lantas membuka link tersebut dan amat terkejut dan tersedar, bahawa link yang saya sedang guna pakai telah bertukar, dan link yang lama telah digunakan oleh pihak lain untuk meletakkan apa-apa bahan sesuka hati mereka

sungguh itu khilaf saya, dan kecuaian saya. kecuaian tidak mengemas kini laman web dan link yang sedang digunakan sebetulnya. saya mohon seribu ampun dan jutaan maaf kerana khilaf dan kecuaian ini. sungguh saya cukup risau dan takut, kerana peristiwa ini banyak fitnah yang telah terjadi tanpa saya sedari. seribu ampun dan maaf sekali lagi..dan jujurnya saya menulis post ini dengan linangan air mata, kerana saya tidak mampu menganggung dosa ini, jika peristiwa itu tidak saya ketahui pada hari ini, jika Allah tidak takdirkan saya mengetahuinya pada hari ini.

sungguh, walau khilaf ini adalah tanpa sengaja dan sebetulnya tidak kena mengena dengan perbuatan sendiri, tetapi saya menyedari ini adalah peringatan dan teguran, juga tarbiyyah dari Allah agar kelak lebih berhati-hati dengan alam maya. sungguh, tarbiyyah ini teramat tinggi nilainya dan tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila

sejurus sebelum saya dikejutkan dengan peristiwa ini; saya sempat menulis di laman peribadi Twitter saya berbunyi begini, 

 "jika difikirkan apa jua dosa & khilaf dari hanya lidah atau mata, langsung tidak mampu menebusnya, berbuatlah kebaikan untuk bersihkan diri."

dan

"sungguh takut apa jua pinjaman dan nikmat yang Allah beri di dunia ini, menjadi fitnah buat diri sendiri. Astaghfirullah."

dan beberapa minit kemudian saya diuji dengan peristiwa tadi. sungguh perkataan saya diuji dan alhamdulillah Allah telah menghadirkan tarbiyyah yang begitu bermakna buat diri dan Allah jugalah yang telah membimbing saya agar terus bertaubat dan beristighfar atas khilaf yang tidak saya sedari.



"Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa. Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman."
(Surah Ar-Rum: 36-37)


teringat sepotong ayat dalam doa zikir Al-Mathurat; ya Allah jangan Kau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri, walau sesaat atau kadar masa yang lebih pendek dari itu.

Astaghfirullah, astaghfirullah, aseef jiddan.
Farahfareen


laman web sebenar saya : tumblr

Monday, 3 December 2012

Quran, buat kita.

as salam rakan pembaca yang dihormati. Kesempatan yang singkat sebelum waktu Maghrib tiba ini, saya ingin kongsikan kisah diri tentang pelajaran dari Quran.

sungguh, kita benar-benar telah tahu dan sedar bahawa Al- Quran memang diturunkan agar menjadi rahmat buat sekalian alam, menjadi panduan dalam hidup kita dan juga merupakan manual untuk memastikan sentiasa berada di landasan yang benar.

tapi lewat belakangan ini; saya merasakan ada sesuatu kekurangan saat diri membaca tafsiran Quran, dan kadangkala terfikir adakah kerana kelemahan diri yang masih belum mampu mempelajari dan memahami bahasa Arab sepenuhnya membuatkan diri rasa seolah sukar tersentuh dengan ayat Quran. ada di kalangan sahabat, yang kelihatannya sangat khusyu' saat mentadabur dan membaca tafsir ayat Quran itu, dan ada kalanya juga saya dapat menangkap detik melihat air mata mereka tertumpah saat memahami dan menghayati makna bacaan ayat-ayat Quran yang indah itu. Bukan tidak pernah diri ini begitu mudah tersentuh dan mengalirkan mata saat hati dibasahi dengan keindahan dan peringatan yang membangunkan jiwa dan diri untuk kembali taat kepada Ilahi, tetapi detik itu jarang sekali hadir. 

maka saya bertanya, ke mana hilangnya hati? adakah terlalu kering lantas ayat Quran yang dibaca terasa begitu dingin sekali. astaghfirullah..

dan saat saya cuba mencari, apakah jawapan kepada ketidak upayaan hati untuk menghayati ayat-ayat cinta dari Allah dalam kitab al furqan ini, saya terjumpa sebuah jawapan..

Allah terlalu banyak, telah mengingatkan dalam ayat Quran, kisah para nabi, kisah kaum terdahulu, kisah manusia begini dan begitu...ada manusia zalim, ada manusia beriman, ada manusia mukminin, dan ada manusia yang munafiq, fasiq, dan banyak lagi..Allah banyak memulakan ayat-ayat dalam Quran dengan memulakannya seperti wahai orang yang beriman, wahai orang mukmin..

dan kita cuba merasakan dan begitu mengharapkan kita tergolong dalam kalangan mereka yang beriman dan mukmin inshaAllah..
tetapi sebenarnya, kita juga seharusnya merasakan saat Allah memberi peringatan tentang ancaman dan azab kepada orang-orang zalim, orang kafir, orang Yahudi, kaum nabi terdahulu dan sebagainya sebagai satu refleksi kepada diri kita;

adakah sifat-sifat mereka (golongan yang diancam Allah ini) terdapat dalam diri kita? adakah sikap sombong diri kita; yang terkadang kita lupa sebenarnya menjadi ancaman buat kita? sungguh kita bukan malaikat dan kerana kita cuma manusia biasa, dan saya juga insan biasa yang tidak pernah terlepas daripada membuat dosa.

lantas adakah kita berasa selamat, cukup selamat sehingga diri ini dirasakan sudah cukup sempurna? sungguh sentiasa ada ruang buat pembaikan diri selagi kita masih diberi nafas sehingga ke saat ini. sungguh masa masih kita miliki untuk bermuhasabah dan merefleksi diri, adakah saya, adakah kita tanpa sengaja punya sifat-sifat yang tidak Allah redhai?

maka, tersentuhlah dan bangunkanlah hati saat membaca dan mengahayati ayat cinta-Nya, rasakan setiap satu ayat itu adalah untuk kita, untuk kebaikan kita kerana Allah yang Maha Pencipta, Maha Tahu apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya. Dia Maha Tahu, yang kita mudah terlupa dan alpa, lantas dengan nikmat dan kasih sayang-Nya, Al Quran dan Sunnah hadir sebagai pembimbing.


Sudahkah kita cuba menghayati, sudahkah kita cuba menyentuh hati? ayuh, buka kitabmu, ayuh teguhkan keimananmu dengan Quran, kalamullah.

saya titipkan juga tafsir dari surah Al Kahfi ayat 54-57, yang begitu menyentuh hati, saat saya cuba mencari jawapan kepada persoalan ini beberapa hari yang lalu. Moga bermanfaat inshaAllah...


Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan; dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.Dan tiada yang menghalang manusia daripada beriman, ketika datang petunjuk Al-Quran kepada mereka, dan daripada memohon ampun kepada Tuhan mereka, melainkan (kerana kedegilan mereka dan kerana mereka) menunggu didatangi azab yang memusnahkan yang telah menimpa orang-orang dahulu, atau di datangi azab yang dilihat dan dihadapi.Dan tidak Kami mengutus Rasul-rasul, melainkan sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran; dan orang-orang yang kafir membantah dengan alasan yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan bantahan itu; dan mereka jadikan ayat-ayatku, dan amaran yang diberikan kepada mereka sebagai ejek-ejekan. Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.