as salam rakan pembaca yang dihormati. Kesempatan yang singkat sebelum waktu Maghrib tiba ini, saya ingin kongsikan kisah diri tentang pelajaran dari Quran.
sungguh, kita benar-benar telah tahu dan sedar bahawa Al- Quran memang diturunkan agar menjadi rahmat buat sekalian alam, menjadi panduan dalam hidup kita dan juga merupakan manual untuk memastikan sentiasa berada di landasan yang benar.
tapi lewat belakangan ini; saya merasakan ada sesuatu kekurangan saat diri membaca tafsiran Quran, dan kadangkala terfikir adakah kerana kelemahan diri yang masih belum mampu mempelajari dan memahami bahasa Arab sepenuhnya membuatkan diri rasa seolah sukar tersentuh dengan ayat Quran. ada di kalangan sahabat, yang kelihatannya sangat khusyu' saat mentadabur dan membaca tafsir ayat Quran itu, dan ada kalanya juga saya dapat menangkap detik melihat air mata mereka tertumpah saat memahami dan menghayati makna bacaan ayat-ayat Quran yang indah itu. Bukan tidak pernah diri ini begitu mudah tersentuh dan mengalirkan mata saat hati dibasahi dengan keindahan dan peringatan yang membangunkan jiwa dan diri untuk kembali taat kepada Ilahi, tetapi detik itu jarang sekali hadir.
maka saya bertanya, ke mana hilangnya hati? adakah terlalu kering lantas ayat Quran yang dibaca terasa begitu dingin sekali. astaghfirullah..
dan saat saya cuba mencari, apakah jawapan kepada ketidak upayaan hati untuk menghayati ayat-ayat cinta dari Allah dalam kitab al furqan ini, saya terjumpa sebuah jawapan..
Allah terlalu banyak, telah mengingatkan dalam ayat Quran, kisah para nabi, kisah kaum terdahulu, kisah manusia begini dan begitu...ada manusia zalim, ada manusia beriman, ada manusia mukminin, dan ada manusia yang munafiq, fasiq, dan banyak lagi..Allah banyak memulakan ayat-ayat dalam Quran dengan memulakannya seperti wahai orang yang beriman, wahai orang mukmin..
dan kita cuba merasakan dan begitu mengharapkan kita tergolong dalam kalangan mereka yang beriman dan mukmin inshaAllah..
tetapi sebenarnya, kita juga seharusnya merasakan saat Allah memberi peringatan tentang ancaman dan azab kepada orang-orang zalim, orang kafir, orang Yahudi, kaum nabi terdahulu dan sebagainya sebagai satu refleksi kepada diri kita;
adakah sifat-sifat mereka (golongan yang diancam Allah ini) terdapat dalam diri kita? adakah sikap sombong diri kita; yang terkadang kita lupa sebenarnya menjadi ancaman buat kita? sungguh kita bukan malaikat dan kerana kita cuma manusia biasa, dan saya juga insan biasa yang tidak pernah terlepas daripada membuat dosa.
lantas adakah kita berasa selamat, cukup selamat sehingga diri ini dirasakan sudah cukup sempurna? sungguh sentiasa ada ruang buat pembaikan diri selagi kita masih diberi nafas sehingga ke saat ini. sungguh masa masih kita miliki untuk bermuhasabah dan merefleksi diri, adakah saya, adakah kita tanpa sengaja punya sifat-sifat yang tidak Allah redhai?
maka, tersentuhlah dan bangunkanlah hati saat membaca dan mengahayati ayat cinta-Nya, rasakan setiap satu ayat itu adalah untuk kita, untuk kebaikan kita kerana Allah yang Maha Pencipta, Maha Tahu apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya. Dia Maha Tahu, yang kita mudah terlupa dan alpa, lantas dengan nikmat dan kasih sayang-Nya, Al Quran dan Sunnah hadir sebagai pembimbing.
Sudahkah kita cuba menghayati, sudahkah kita cuba menyentuh hati? ayuh, buka kitabmu, ayuh teguhkan keimananmu dengan Quran, kalamullah.
saya titipkan juga tafsir dari surah Al Kahfi ayat 54-57, yang begitu menyentuh hati, saat saya cuba mencari jawapan kepada persoalan ini beberapa hari yang lalu. Moga bermanfaat inshaAllah...
Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan; dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.Dan tiada yang menghalang manusia daripada beriman, ketika datang petunjuk Al-Quran kepada mereka, dan daripada memohon ampun kepada Tuhan mereka, melainkan (kerana kedegilan mereka dan kerana mereka) menunggu didatangi azab yang memusnahkan yang telah menimpa orang-orang dahulu, atau di datangi azab yang dilihat dan dihadapi.Dan tidak Kami mengutus Rasul-rasul, melainkan sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran; dan orang-orang yang kafir membantah dengan alasan yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan bantahan itu; dan mereka jadikan ayat-ayatku, dan amaran yang diberikan kepada mereka sebagai ejek-ejekan. Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.
No comments:
Post a Comment