salam syukur dan selawat aku panjatkan untuk junjungan Rasulullah s.a.w. sempena hari mulia ini. Sesungguhnya aku insan kerdil yang masih belajar mencontohi akhlak mulia baginda, semoga diri ini terus kuat melangkah menambah cinta pada-Nya dan rasul yang dikasihi. InsyaAllah. Hari ini aku mahu coretkan bicara singkat tentang adilnya kita dalam menerima takdir hidup ini. Salah satu pegangan yang kita percaya dalam rukun iman ialah beriman dengan qadha dan qadar. Dulu pada aku, itu cuma satu ungkapan ringkas, yang mana kita cuma perlu menerima segala yang telah ditentukan untuk kita. Aku mengaku saat itu diri ini cuma anak dangkal yang tidak mengerti apa-apa, tapi aku yakin Tuhan itu Maha Berkuasa atas segala.
Saat ini aku cuba bertanya pada diri. Sejauh mana kepercayaan aku pada salah satu prinsip islam yang wajib diimani ini. Dan nyatanya pengalaman, jatuh bangun, suka duka, juga bunga dan duri yang aku susuri sepanjang hidup ini telah banyak mematangan diri. Matang dalam menilai setiap kejadian itu ada hikmahnya, buruk ataupun baik, kita harus terima dengan hati terbuka dan lapang dada. Al- Baqarah ayat 216: Allah berfirman, "sesungguhnya boleh jadi sesuatu yang kamu suka itu buruk bagi kamu, dan sesuatu yang kamu benci itu baik bagi kamu" Maksud ayat ini jangan pernah menyalahkan takdir atas segala yang menimpa..kita sebagai hamba-Nya sentiasa diuji mahupun dengan kesenangan atau kesusahan sekali pun, Tuhan itu Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita.
Satu soalan yang sering bermain dalam minda aku, adilkah aku pada diriku sendiri? adilkah aku pada takdir hidup ini, ketentuan Ilahi? Jika benar adil, jangan pernah ditangisi hiba jika ujian datang menimpa, kerana hidup ini tidak bahagia atau gembira belaka. Jangan pernah kamu suka pada takdir yang indah sahaja, dan mengeluh duka saat ujian datang menjelma. Ketahuilah, Tuhan itu pemilik segala, pemilik jiwa dan ragamu. Lantas atas alasan apakah kamu berhak menolak takdirnya dan menyalahkan semua atas sesuatu yang tidak kamu sukai, datang mengujimu? layakkah kamu? Lalu, jika kamu masih sedar akan kerdilnya diri di hadapan Tuhan Maha Pencipta, tadahkan tanganmu memohon doa, sesungguhnya Tuhan Maha Pengampun dan insyaAllah ujian itu dapat kamu tangani dengan hati yang tenang dan ikhlas. Allah itu ingat pada hamba yang ingat pada-Nya, begitu juga sebaliknya.
Aku cuma insan biasa yang punya khilaf dan lemah. Lantas bicara ini aku coretkan agar menjadi peringatan buat diri, yang akan terus melangkah menempuh juta duri itu, dan aku tahu jalan ke syurga-Mu itu sangat mahal harganya, semoga terus istiqamah menempuh liku untuk menegakkan agama islam tercinta di atas muka bumi ini, insyaAllah :)
No comments:
Post a Comment