Tuesday 15 March 2011

bicara kamu pada aku

hari ini aku dakap seribu rasa syukur itu, dan untuk selalu aku semat dalam hati tanda terima kasih pada Dia yang  Maha Berkuasa. Syukur masih diberi peluang bernafas hari ini, lebih sihat berbanding sebelumnya. Panjang doaku pada-Mu memohon agar diberi kesabaran menerima apa jua ketentuan dan untuk aku genggam erat kekuatan untuk menagih cinta-Mu.

Bicara aku hari ini kerana bicara kamu pada aku kelmarin. Yang nyatanya sebuah lukisan kehidupan setiap insan itu punya perbezaan, dan aku kagumi semangat yang kamu punya di sisi untuk tabah menempuh juta duri. Bicara kamu pada aku tentang dia yang tidak kenal erti cinta. Walau luka itu cuba untuk kamu buang jauh-jauh di lautan sana, tapi aku tahu kamu punya tabah untuk melalui hari. Biarkan dia yang tak mengerti itu berlalu, kerana kamu masih punya pelangi bahagia untuk dinikmati saat gerimis berlalu pergi, dan kamu punya sejuta senyuman untuk kamu ukir pada yang memahami. Dia cuma ibarat sehelai muka surat pada sebuah diari kehidupan kamu, teruskan melangkah menggapai bahagia.

Walau aku sendiri akui, bukan mudah untuk melupakan dia yang pernah menjadi bunga menghiasi hidup kamu, ikhlaskan hatimu menerima takdir ini. Dia bukan insan untuk lakar impian bahagia kamu. Kuatkan hati kamu, kerana aku percaya kamu. Tuhan penentu segala, dan cinta manusia itu cuma sementara. Bercintalah dengan Dia, kerana Dia pemilik hatimu, pemilik seluruh jiwa ragamu. Tuhan itu Maha Adil, yang terbaik hanya untuk yang terbaik, dan begitu juga sebaliknya. Dakap erat cintamu pada-Nya dan bahagia itu bakal jadi milik kamu. Dalam setiap rasa pahit yang kamu rasa, itu ujian dari-Nya, ujian kekuatan cintamu pada-Nya. Juga pada setiap manis dan indah lakaran hidup kamu, hanya Dia yang berkuasa memberi dan selayaknya cinta kamu hanya untuk Dia. Tuhan Yang Maha Kuasa. Cinta kamu lebih agung untuk insan yang ditakdirkan untukmu dan sebelum tiba saat itu, kamu selalu punya semangat dan cinta kuat dalam diri kamu. Jangan pernah lupa itu.





No comments:

Post a Comment