Jika ya, kenapa?
Harapan itu merujuk pada satu impian, cita-cita atau apa juga yang diinginkan dalam kehidupan, yang "selalunya" relevan dengan kemampuan kita sebagai manusia. Angan-angan pula lebih kepada cita-cita atau impian yang 'selalunya' tidak setimpal dengan usaha dan kemampuan kita, bahkan juga boleh jadi sesuatu yang tidak pernah kita mungkin capai, namun masih membayangkan diri kita di situasi itu. Sekarang, apa beza yang anda lihat?
Kenapa ramai yang mengatakan angan-angan itu negatif?
Pada saya, angan-angan dan harapan adalah perkara yang sama. Punya sifat positif dan negatif yang sama. Punya impak yang sama selagi mana anda menyandarkan niat anda hanya pada yang satu.Tidak salah berangan-angan, juga tidak salah mempunyai harapan setinggi gunung selagi kita ingat bahawa apa juga yang kita harapkan dan inginkan, semuanya kuasa Tuhan. Kita sebagai hambanya hanya mampu berusaha, berikhtiar, berdoa dan bertawakal untuk merealisasikan apa jua angan-angan atau harapan. Tapi jangan lupa, niatkan segala perkara dan perbuatan kita hanya kerana Allah, nescaya kita memperoleh keredhaan-Nya.
Di mana silapnya?
Ramai di antara manusia hari ini, malah sebagai peringatan buat diri ini, tergelincir kerana angan-angan juga harapan. Angan-angan yang sekadar sesaat, yang hanya menurut pujukan syaitan, terpedaya dengan keindahan dunia, juga menurut hawa nafsunya. Nah, inilah sebabnya angan-angan itu bahaya kerana sandarannya kerana cinta kepada dunia, bukan akhirat yang jauh lebih menjanjikan bahagia. Contohnya manusia yang mengimpikan kehidupan serba mewah, yang punya segala-galanya sehingga sanggup bergelumang dengan dosa untuk menggapai citanya itu. Sedangkan dia lupa kematian yang mencari-carinya juga balasan di akhirat yang kekal selama-lama. Muhasabahlah diri kita, apa jua harapan, impian, cita-cita dan angan-angan kita, tercapai atau tidak, semuanya ditentukan oleh-Nya Yang Maha Berkuasa dan Maha Kaya.
Lalu, bagaimanakah?
Apa jua harapan dan cita yang kamu punya, sandarkan hanya pada yang satu, Yang Maha Esa. Jua ingatlah bahawa kita hidup di dunia sementara cuma, sedangkan akhirat mungkin terjadi bila-bila masa. Sebagai seorang muslim, harapan, angan-angan, cita-cita dan impian kita cuma satu, iaitu untuk bertemu dengan Allah Yang Maha Pencipta di syurga sana. Jika inilah cita-cita yang kita tanamkan, nescaya kita tidak akan membazir walau sesaat untuk berusaha melaksanakan syariat-Nya dan meninggalkan larangan-Nya agar bahagia itu milik kita, sampai bila-bila. InsyaAllah =)
No comments:
Post a Comment